SOALAN
Ada bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau yang berhajat sesuatu, ditolongi dengan jampi mantera menggunakan bahasa Jawa. Saya orang Jawa asli yang tinggal di Parit Jawa, tetapi saya sendiri tidak faham apa dibaca dukun tersebut. Apakah pengubatan secara ini boleh diterima pakai dan tidak mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan syarak?
JAWAPAN
Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga tertunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu mengikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia. Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, mengharapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membebankan pesakit.
Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang banyak.
Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab sebagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-kadang amat digalakkan.
Rasulullah s.a.w. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.
Adapun menjampi seseorang itu dengan menggunakan bahasa khusus seperti Jawa, atau bahasa Mendiling, Inggeris dan Sepanyol diharuskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui maknanya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT. Jangan ada sebarang tafsiran yang boleh membawa syirik.
Oleh yang demikian jika lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya, jika seperti saudara seorang berketurunan Jawa tidak memahami jampi yang dibaca dalam bahasa Jawa. Tetapi mungkin seperti disebut orang bahawa Jawa ada dua bahasa, iaitu bahasa kasar dan bahasa halus. Biasanya bahasa Jawa halus jarang diketahui orang.
Saya sendiri sememangnya tidak memahami bahasa Jawa sama ada kasar ataupun halus. Sekiranya anda tidak faham bahasa tersebut, tetapi orang yang membacanya faham dan makna bacaan itu tidak ada sebarang petanda menuju kepada syirik, maka dia boleh berbuat demikian.
Tetapi jika dukun itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, maka tidak boleh digunakan perubatan dengan bahasa tersebut.
Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya) : “Dan Kani turunkan
dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’ , ayat 82)
Oleh itu maka ulama bersependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggunakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharuskan, kadang-kadang digalakkan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:
Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah atau ruqyah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.
Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan dengan syarak.
Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebenarnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.
Oleh itu saya suka menjelaskan, jika sudah ternyata al-Quranlah bacaan utama sebagai penawar terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik selain al-Quran, maka mengapakah kita tidak menggunakan bacaan ini sebagai rawatan?
Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT.
WalLah hu a’lam. Petikan, www.darussyifa.org/Harakah
PERBEZAAN ANTARA JAMPI, MANTERA DAN SERAPAH.
"Hey panah ranjunaku
PERBEZAAN ANTARA JAMPI, MANTERA DAN SERAPAH.
Artikel pada kali ini akan membawa para pembaca mengetahui erti jampi, mentera dan serapah serta perbezaan antaranya. Masyarakat Melayu dan masyarakat lain di asia amat sinonim dengan jampi, mentera dan serapah baik dalam rawatan penyakit malah ia menjadi amalan dalam masyarakat dahulu kala. Jampi, mentera dan serapah sebenarnya telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi.
Malah kaedah pengubatan menggunakan jampi telah wujud sejak zaman jahiliyyah lagi. Konsep kepercayaan kepada 'semangat' dan roh jahat serta animisme merancakkan lagi penggunaan jampi, mentera dan serapah dimana melalui penggunaannya menunjukkan bahawa manusia perlu bergantung kepada kuasa luar yang dikatakan dapat membantunya.
Jampi merupakan susunkata yang dipercayai dapat memberi kesan keatas perkara tertentu yang dihajati. Contohnya untuk menyembuhkan penyakit, air, minyak atau bahan tertentu yang dijampikan dan digunakan sama ada dengan menyapukan ketempat yang sakit atau dimandikan untuk menyembuhkan penyakit. Jampi juga digunakan oleh orang dahulu kala dalam melakukan amalan harian seperti ketika mandi, ketika menyikat rambut, ketika keluar rumah dan sebagainya sama ada bertujuan untuk kecantikkan, keselamatan dan sebagainya.
Berikut diperturunkan contoh jampi bagi tujuan pengasih:-
Panah ke langit langit runtuh
Ku panah ke bumi, bumi tembus,
Ku panah ke laut, laut kering
Ku panah hati engkau,
Hancur lebur mabuk kasih sayang padaku
Berkat doa La ilaha iLlah
Muhammadu 'r-Rasulullah".
Jampi diatas merupakan salah satu contoh jampi yang mengandungi unsur-unsur Islam. Malah terdapat penggunaan kata La ilaha iLlah, ungkapan bismillah, sebutan nama Allah, malaikat dan sebagainya menunjukkan adanya pengaruh Islam diadunkan dalam jampi tersebut sedangkan sebelum kedatangan Islam jampi yang diungkapkan tidak langsung menggunakan ungkapan tersebut sebaliknya menggunakan perkataan yang kadangkala tidak difahami. Sungguhpun jampi diatas diakhiri dengan kalimah tauhid kepada Allah, ianya bukanlah membuktikan jampi tersebut dapat diterima di sisi syara'.
Terdapat jampi yang mengaitkan dengan kalimah-kalimah tertentu yang tidak difahami, nama-nama yang tidak pernah diketahui, ungkapan lucah dan jahat dan diakhiri dengan kalimah tauhid jelas menunjukkan jampi tersebut menyimpang dari hukum syara'. Malah penggunaannya juga yang bertujuan tidak baik merupakan satu bentuk tujuan yang amat bertentangan syara'.
Sebuah hadis rasulullah jelas menunjukkan keharusan penggunaan jampi selagi mana ia bertujuan kebaikan serta menggunakan bahasa yang difahami dengan tidak mengandungi perkara dan perbuatan syirik kepada Allah. Auf bin Malik berkata, kami pernah menggunakan jampi mentera ketika jahiliyyah dahulu lalu kami bertanya: "Wahai rasulullah apakah pendapat kamu tentang perkara ini ?" Baginda menjawab: " Kemukakan padaku mentera kamu itu. Tidak mengapa jampi mentera itu selagi tidak mengandungi syirik".
Setiap masyarakat mempunyai kepercayaannya tersendiri termasuk dalam penggunaan jampi. Orang kristian mempercayaai penggunaan bible dapat menyembuhkan penyakit yang diakibatkan oleh rasukan jin, demikian juga dengan golongan hindu dan budha yang turut mempunyai jampi tertentu dalam menanggani masalah seharian.
Masyarakat orang asli, masyarakat eskimo di kutub utara turut mempunyai ritual dan jampi mereka sendiri dalam menghadapi masalah. Kesemua jampi ini dihukumkan harus selagimana ia tidak menyandarkan kesembuhan dan keberkesanan jampi selain Allah disamping penggunaan bahan yang halal, perkataan yang difahami tidak mengandungi ungkapan yang menyekutukan Allah serta tidak juga menggunakan perkataan lucah atau apa-apa nama mahupun sebutan yang tidak difahami maksudnya. Jampi juga boleh digunakan dalam apa-apa bahasa sekiranya bahasa tersebut difahami maksudnya serta tidak bercanggah dengan perkara diatas.
Atas dalil daripada hadis diatas, dapat disimpulkan bahawa jampi adalah harus disisi syara' sekiranya ia mempunyai ciri-ciri yang disebutkan diatas sebaliknya adalah haram disisi syara' sekiranya ia menggunakan ungkapan yang berikut:-
1. Menyebut perkataan yang tidak difahami maksudnya kerana dibimbangi perkataan yang digunakan merupakan kata-kata penyekutuan kepada Allah.
2. Memuja nama-nama jin dan syaitan mahupun nama-nama sembahan berhala
3. Menggunakan kata-kata lucah dan nista
4. Menggunakan bahan-bahan yang diharamkan seperti darah dan sebagainya serta sembelihan yang bukan kerana Allah.
5. Menyakini adanya kuasa lain selain Allah dalam menjayakan permintaan.
6. Penggunaan jampi dalam perkara kejahatan
Beberapa keterangan daripada hadis telah menjelaskan keharusan menjampi dengan bersandarkan kaedah yang dibenarkan syara' malah jampi juga turut boleh digunakan dengan menggunakan ayat al-Quran sebagaimana yang dijelaskan melalui kisah Abu Hurairah yang pernah menjampi ketua kampung yang disengat binatang berbisa dengan menggunakan al fatihah.
Setelah dirujuk kepada rasulullah, baginda membenarkan tindakan Abu Hurairah dan meminta sebahagian daripada upah yang diberikan. Keharusan jampi ini juga dapat dilihat pada sebuah hadis dimana Abdullah b. Masud ia berkata ketika rasulullah S.A.W sedang bersolat, ketika sujud jari baginda telah disengat oleh seekor kala jengking. Lalu rasulullah s.a.w berkata:" Allah melaknat kala ini, juga dilaknat oleh nabi dan tidak pada yang lain. Kemudian baginda berdoa pada sebuah mangkuk yang berisi air dan garam. Baginda meletakkan tempat yang kena sengat dalam air garam dan membacakan Qul huwa' Llahu ahad dan al-mu' awwizatain sehingga sembuh.
Ulama' sepakat menyatakan keharusan menjampi terutamanya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Ulama' meletakkan taraf jampi seperti berikut:-
1. Menjampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan doa para nabi yang terdapat di dalam al-Quran. Inilah yang terbaik
2. Menjampi dengan menggunakan jampi dan doa yang bersumber daripada hadis nabi s.a.w
3. Menjampi dengan menggunakan jampi atau doa-doa yang diamalkan oleh salafussoleh
4. Menjampi dengan menggunakan jampi yang difahami maksudnya dimana ianya mestilah menepati syarat berikut:
a) Jampi yang digunakan hendaklah tidak menyekutukan Allah
b) Jampi yang digunakan tidak memuja nama-nama jin dan syaitan atau apa sahaja nama-nama kerana dibimbangi ianya nama-nama berhala.
c) Jampi yang digunakan tidak menggunakan sebutan yang langsung tidak difahami manusia
d) Jampi yang digunakan tidak mengandungi kata-kata lucah, nista serta pembohongan.
5. Menyakini hanya Allah sahajalah yang memberi bekas atas setiap perbuatan
DEFINISI MANTERA JAMPI DAN SERAPAH
Mentera diambil daripada perkataan sanskrit "mantra" atau "manir" yang merujuk kepada kata-kata dalam kitab suci penganut Hindu, Veda. Dalam masyarakat Melayu, mentera atau juga dikenali sebagai jampi, serapah, atau seru merupakan sejenis pengucapan yang berentak puisi yang mengandungi unsur sihir dan bertujuan bagi menpengaruhi atau mengawal sesuatu perkara untuk memenuhi kenginan penuturnya. Antara lain, mentera merupakan ayat yang dibaca bagi melakukan sihir, iaitu melakukan sesuatu secara kebatinan, seperti menundukkan musuh, melemahkan musuh, atau memikat wanita.
Selain itu mentera dianggap mempunyai kuasa ghaib yang luar-biasa yang membolehkan pembacanya mengawal seseorang atau alam semulajadi.
Antara ciri-ciri mentera adalah ia berbentuk puisi, isi dan konsepnya melambangkan kepercayaan masyarakat masa itu, dicipta bagi satu tujuan tertentu.
Secara kebiasaannya, ia bersifat sihir simpati, iaitu sesuatu sifat disebut atau dikaitkan agar pembaca mentera tersebut dapat memiliki sifat yang sama. Sebagai contoh bacaan mentera, "....Aku bukan tepuk bantal, tetapi tepuk hatimu....." dan yang lain-lain yang seumpama dengannya.
Ciri-ciri umum sesuatu mentera biasanya adalah :-
1.Ia terdiri daripada beberapa rangka yan berirama.
2.Kandungannya mempunyai kaitan dengan kuasa ghaib
3.Ia diamalkan dengan mempunyai matlamat tertentu.
4.Ia diwarisi daripada perguruan atau melalui cara ghaib seperti menurun atau mimpi.
5.Biasanya memerlukan pengamalnya yakin bersungguh-sungguh, dan sekiranya pengamalnya
6.berasa kurang keyakinan, ia akan menjadi tawar dan tidak berkesan.
Antara jenis mentera adalah:
Mentera pakaian diri
Mentera perubatan
Mentera pendinding
Mentera upacara tertentu
Mentera pembinasa bagi melakukan sesuatu perkara terhadap musuh.
Mentera dalam kepercayaan Melayu telah mengalami perubahan daripada kepercayaan anisma, kepada kepercayaan Hindu dan kemudiannya kepada kepercayaan Islam. Oleh itu tidak menghairankan bahawa terdapat istilah-istilah Islam yang digunakan dalam mentera yang menggantikan istilah Hindu pada awalnya. Salah satu contohnya adalah mentera pengasih seperti di bawah.
Bismi’Ilahi ’L-Rahmani’L-Rahim
Tepuk bantal panggil semangat
Semangat datang dalam mimpi
Semangat datang dalam mimpi
Aku tak menepuk bantal
Aku menepuk jasad dan roh (si anu)
Satu badan dua nyawa
Satu jasad dua nyawa
Rindu kasih sayang kasih
Goncangkan jasad dan roh .........
Kesemua artikel tajuk di atas ialah hasil jawapan oleh Y.Bhg.Datuk Dr.Amran Kasimin. Ini juga artikel ulangan yang mencapai hit tertinggi. Moga segala ilmu yang dipaparkan dapat berkongsi bersama dan moga Allah ganjari pahala kepada penulisnya.
No comments:
Post a Comment