FOLLOWERS

Thursday, September 30, 2010

HUKUM MANDI PEREMPUAN YANG DISETUBUHI JIN?

Pernah kita mendengar kisah, ada perempuan yang didatangi oleh Jin dan disetubuhinya. Setelah perempuan itu menyedari dan merasakan sesuatu, apakah ini mewajibkan perempuan itu mandi atau tidak?

Ada dua pandangan ulamak tentang perkara ini :-

1. Tidak wajib mandi menurut sesetengah pendapat mazhab Hanafi. Abul Ma'ali berkata, sekiranya seorang wanita berkata, "Saya disetubuhi oleh Jin seperti seorang lelaki" tidak wajib mandi kerana tidak ada sebab yang membawa kepada wajibnya mandi iaitu "masuknya zakar". Maka ini hanya seperti bermimpi tanpa adanya keluar mani.

2. Menurut pandangan pengarang kitab Gharaibul Jin Wa-Ajaibuhu (Oleh Al-Allamah Al-Muhaddith Badrudin bin Abdullah Asy-Syibli 89) katanya, kalaulah dikatakan sebab yang mewajibkan mandi tidak wujud, maka tidaklah wajib mandi. Namun begitu, apabila ia merasakan secara jelas disetubuhi bermakna adalah sebab untuknya mewajibkan mandi. Oleh itu, wajib mandi dikala diyakini ia disetubuhi.

Untuk mengambil dua pendapat yang berbeza ini, kita hendaklah mandi apabila memang terasa disetubuhi atau ada sesuatu yang masuk ke dalam faraj manusia berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang maksudnya apabila bertemu dua khitan, maka wajiblah mandi. Pokok persoalannya pula ialah setakat manakah zakar jin ini memasuki ke dalam farajnya.

Tetapi apabila mani perempuan ini keluar maka tidak syak lagi wajib mandi kerana apabila keluar mani dengan apa cara sekalipun, menurut Sabda Rasulullah s.a.w. : " " apabila keluar mani wajiblah seseorang itu mandi.

Petikan daru Buku Tuan Guruku Ust.Dato' Ismail Kamus :  Jin,Rasukan & Pengubatannya/ms/44-45/Cetalan Keempat/Penerbitan Malindo.




Wednesday, September 22, 2010

AS-SYIFA' : HENTIKAN TABIAT JAHAT

Tabiat jahat seperti melakukan zina, hisap dadah, minum arak dan segala kegiatan yang tidak bermoral dari segi agama adalah sesuatu yang perlu ditangani segera. Mereka yang terlibat mestilah dinasihati supaya menghentikan tabiat buruk tersebut. Mungkin usaha ini sukar kerana kelakuan jahat itu mungkin sudah sebati dalam diri mereka apatahlagi yang dinasihati itu adalah suami kita, anak-anak kita, adik-beradik kita dan mereka yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita.

Walaupun begitu disini dicadangkan kepada pembaca untuk berikhtiar dengan kaedah pengubatan Islam yang boleh dilakukan dengan kaedah yang diharuskan. Berikhtiarlah janganlah menderita, berdoalah demi kebaikan hidup muslim yang sejati.

BAHAN RAWATAN

1. Sehelai baju yang telah digunakan (sebaiknya pakaian yang tidak akan ditanya lagi oleh pemakainya)

KAEDAH RAWATAN

1. Baca dan tuliskan ayat 1 dari Surah Al-Maidah secara putus-putus ke atas pakaian tersebut. (Dimulakan dengan Bacaan Asas10)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ
1. Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu [388]. Dihalalkan bagimu binatang ternak, kecuali yang akan dibacakan kepadamu. (Yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya. [388] Aqad (perjanjian) mencakup: janji prasetia hamba kepada Allah dan perjanjian yang dibuat oleh manusia dalam pergaulan sesamanya

2. Hendaklah ditanam di tanah perkuburan yang tidak bertuan.

3. Hendaklah dibacakan doa supaya mereka akan terus melupakan tabiat buruk tersebut.

4. Rujuklah kepada pengamal yang mahir.

Kita berikhtiar demi kebaikan hidup insan yang tersayang. Berdoalah agar Allah SWT memakbulkan hajat yang kita pohonkan bersama.

As-Syifa' Melaka : 013-2006363

Tuesday, September 21, 2010

KITAB TAJUL MULUK & BUKU BERKAITAN ILMU RAWATAN ISLAM, BOLEHKAH DIBELI DAN DIAMALKAN?

SOALAN

Saya pernah mendengar adanya Kitab Tajul Muluk yang dikatakan mengandungi tilikan dan tafsiran mengenai tubuh badan manusia. Sejauh mana kebenaran kitab itu. Bolehkah ia dibeli dan dibaca. Adakah Islam menerima pakai tafsiran yang tidak bersumberkan al-Quran dan Hadis. Bagaimana pula dengan buku-buku lain yang banyak dijual dan dikatakan sama sahaja isi kandungannya dengan kitab Tajul Muluk.

Saya khuatir, kitab-kitab ini boleh merosakkan akidah dan menyesatkan pembaca, tetapi mengapa ia tidak diharamkan. Harap ustaz dapat memberi maklumat ringkas tentang kitab itu.

JAWAPAN

Bahan-bahan bacaan, kecuali al-Qur`an dan hadis sahih, bagaikan makanan yang mengisi keperluan jasmani kita, ada yang baik untuk dimakan dan ada yang memudaratkan. Jika kita ingin makan, pilihlah makanan yang membina kesihatan. Jangan lupa ada makanan yang lazat, tetapi mudarat atau tidak sesuai dengan tabiat semula jadi yang ada dalam badan kita.

Bahan-bahan bacaan juga begitu, hinggakan kitab agama pun tidak terkecuali, kadang-kadang ada racun disamping penawarnya yang sangat berfaedah. Terpulanglah kepada pembaca yang bijak, memilih sendiri bahan bacaannya, kemudian menentukan sendiri yang mana racun untuk dan yang mana penawarnya untuk ditelan.

Sebelum saya memberi maklum balas, sama ada buku yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas baik atau tidak baik dibaca, benar atau tidak benar maklumat dan fakta dalam kandungannya, saya nyatakan dahulu maklumat ringkas tentang kitab Tajul Muluk yang saudara maksudkan.

Judul penuh kitab ini ialah Taj al-Muluk al-Murassa` bi al-Durar wa al-Jawahir al-Manzumat Terjemahannya: “Mahkota raja-raja yang bertatah berlian dan permata”. Dicetak dalam dua versi rumi dan jawi. Versi jawinya mengandungi 136 muka surat. Kitab ini diringkaskan daripada sumber asalnya berjudul Siraj al-Zalam atau terjemahannya “Pelita kegelapan”. Naskhah yang ada pada saya ialah cetkan Dar al-Ma`arif Pulau Pinang. Tanpa tarikh cetak. Dipercayai naskhah asalnya dicetak di Percetakan Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah, Kaherah, tetapi maklumat itu tidak dilengkapkan sepenuhnya.

Maklumat yang terdapat pada kulit buku itu, pengarangnya ialah Syeikh Abbas orang Acheh, selesai ditulisnya pada hari Isnin 9 Rajab 1266 Hijrah. Kitab asalnya berjudul Sirajul Zalam selesai ditulis Di Makkah pada hari Sabtu 28 Rabi` Awwal 1306 Hijrah. Disamping Tajul Muluk sebagai kitab induk, ada dua lagi kitab yang dicetak bersama kitab itu, pertama, Hidayat al-Mukhtar “Bimbingan Terpilih”, karangan Tuan Hasan Besut Bin Tuan Ishak Patani, iaitu pada akhir kitab Tajul Muluk. Kedua, Kitab Bad` al-Khalq Terjemahannya “Asal Penciptaan” pada tepinya dicatat karangan Nusruddin Muhammad Jilani al-Raniri.

Dalam mukaddimah kitab Tajul Muluk ini menyatakan ia ditulis kerana menyahut permintaan raja Acheh bernama Sultan Mansur Billah Syah Bin al-Sultan Jauhar al-Alim Syah, katanya:

.. maka sanya, bertitah oleh yang ampunya kebesaran dan kemegahan pangkatnya, ialah yang menanggung panji-panji syariat dalam negeri Acheh yang mahrus (terpelihara), dan iaitulah tuan kita sultan yang kebesaran pangkatnya dan kemuliaan nasabnya dan kebesaran kepujiannya, itulah sultan yang dilakab dengan sultan Mansur Billah Syah Ibn Sultan Johor Al-Alim Syah, akan bahawasanya aku kerjakan baginya suatu risalah yang mukhtasar dengan bahasa Jawi (bahasa Melayu) pada menyatakan mengenal segala hari bulan Arab dan mengenal segala saat bagi segala hari dan daripada bulan daripada saat bahagia dan celaka.

Antara kandungan buku ini ialah menyatakan ubat-ubatan tradisional, bagi mengubati berbagai-bagai penyakit, suratan azimat dan rajah dan juga bacaan doa, jampi serapah dan hal-hal berkaitan nujum, jin dan sebagainya. Kitab ini dijual di pasar-pasar kaki lima dan kedai-kedai kitab. Peminat ilmu perbomohan beranggapan buku ini mencukupi bagi memenuhi kehendak masyarakat yang memerlukan khidmat bomoh.

Selain buku ini, banyak lagi buku yang kandungannya hampir sama, seperti Senjata Fakir. Senjata Sulit. Bintang Dua Belas. Pati Rahsia dan lain-lain. Dalam bahasa Arab juga ada, bahkan lebih banyak lagi. Antara judulnya al-Rahmah fi Tibb wa al-Hikmah, karangan Imam al-Suyuti, Syams al-Ma`arif, karangan al-Buni, Mujarrabat, karangan al-Dayrabi dan lain-lain.

Saya berpendapat, kitab-kitab berupa rawatan tradisional boleh dibeli, dibaca dan dicuba kaedah rawatannya oleh pesakit atau bomoh yang berkenaan. Tetapi hendaklah tidak terlibat dengan unsur-unsur sihir, rajah-rajah dan amalan khurafat, seperti amalan mendapat khidmat jin dan makhluk halus, kerana unsur-unsur ini dibimbangi terjebak dengan akidah syirik. Jika pembaca berpendapat, dirinya tidak akan dipengaruhi unsur-unsur yang menyesatkan akidahnya, maka terpulang kepadanya kerana pembaca sendiri lebih kenal siapa dirinya.

Secara kebetulan, saya membaca fatwa Dr Nasr Farid Wasil mufti Mesir, tetakala menyatakan pandangannya tentang kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah yang saya klasifikasikannya sebagai menyamai kita Taj al-Muluk dalam bahasa Melayu, katanya:

Tiada apa-apa halangan bagi siapa jua membeli dan mengamalkan apa yang baik dalam kitab itu, seperti rawatan dengan memakai kaedah al-Qur`an, kerana Allah berfirman yang membawa maksud: Dan kami turunkan al-Qur`an perkara yang mendatangkan penawar dan rahmat bagi orang mukmin. (al-Isra`: 82).

Firaman-Nya lagi yang membawa maksud: Wahai manusia!

Sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar kepada penyakit yang ada dalam dada kamu. (Yunus: 57)

Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:

Berubatlah kamu, kerana Allah tidak menimpakan sebarang penyakit, melainkan ada ubatnya, kecuali penyakit tua.

Sebaik-baiknya gunakanlah bacaan jampi yang diperolehi daripada ayat al-Qur`an, kerana menyelamatkan seseorang pesakit atau bomoh daripada syirik dan khurafat.

Jika sesebuah kitab atau buku itu mengandungi ilmu hitam atau pujaan, maka jauhilah daripadanya, kerana nabi saw menyatakan sihir itu haram dipelajari dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan. Sabadanya dalam riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud:

Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Apa yang dimaksudkan tujuh perkara itu? Sabda baginda: Syirik kepada Allah, sihir, bunuh nyawa manusia yang diharam bunuhnya, makan riba, makan harta anak yatim, mengundur diri pada hari perang dan menuduh zina terhadap wanita suci.

Jumhur ulama sepakat berpendapat, haram belajar atau mengajar sihir (ilmu hitam). Seseorang muslim dilarang sama sekali menemui bomoh yang menggunakan ilmu itu, sama ada bagi merawati penyakitnya atau menyelesaikan sesuatu masalah yang menimpanya. Sehubungan ini, baginda bersabda yang membawa maksud:

Tidak masuk syurga peminum arak, pengamal ilmu hitam dan pemutus rahim.

Berpandukan hadis ini, kitab yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas harus dibeli, dibaca dan diambil isinya yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Qur`an dan sunnah Rasulullah saw jua. Seseorang hanya boleh mengambil yang baik dan menolak yang buruk daripada apa jua buku dab bahan bacaan sekalipun.

Jika ada kitab lain yang lebih besih dan baik kandungannya, serta tiada padanya kaedah-kaedah rawatan dengan mengamalkan ilmu hitam, maka kaedah itu lebih baik . Demikian pendapat Mufti Mesir yang dipetik dari Islamonline.net

Jawapan ini difahamkan, jika saudara tidak dapat membezakan antara ilmu hitam dengan ilmu-ilmu lain, sama ada kerana kurang maklumat tentang Islam atau kerana ada kecenderungan kepadanya, dinasihatkan agar anda tidak membeli dan membaca kitab-kitab itu. Sabda nabi saw: Jauhilah amalan yang meragukan anda, ambillah yang tidak meragukan.

Sehubungan ini saya fikir baik juga diterangkan jenis-jenis ilmu hitam yang haram dipelajari, kerana boleh memesungkan akidah. Saya terjemahkan di sini fatwa Syeikh Ahmad al-Sharbasi, seorang ulama yang terkenal di Azhar, dalam bukunya Yas`lunak fi al-Din wa al-Hayat katanya:

Apa jua jenis ilmu yang mendakwa bolah tahu perkara ghaib, semuanya dikategorikan sebagai ilmu hitam yang haram dipelajari atau dipercayainya, sama ada yang menggunakan kaedah hisab bintang, rajah, malihat tapak tangan, melukis pada pinggan mangkuk dan lain-lain. Kaedah ini banyak diguna oleh penipu-penipu yang berminat mencari rezeki dengan cara mudah, kadang-kadang ada yang membuat promosi khidmatnya secara profesional.

Jawapan ini dikeluarkan tetakala menjawab soalan sorang wanita yang bertanya, mengapa ia tidak diminati lelaki untuk mengahwininya, sehingga usianya meningkat lebih lanjut, padahal rupa parasnya biasa atau sederhana dan tiada unsur-unsur yang mengaibkan. Wanita itu bertanya lagi, sama ada benar atau tidak tuduhan seorang bomoh yang menyatakan ia terkena buatan orang yang tidak dikenali. Untuk merawati penyakit itu, bomoh tersebut menasihatkan agar suatu upacara rawatan dilakukan di atas kubur setelah berpuasa beberapa hari.

Jelas, betapa bahaya jawapan bomoh ini, kerana secara tidak langsung mendakwa tahu punca penyakit itu disebabkan buatan orang. Tuduhan ini tidak membantu wanita berkenaan menamatkan penderitaan jiwanya. Sebaliknya ia akan mencari siapa yang melakuakan perbuatan jahat itu dan akan mengsyakki sesiapa jua yang ada di hadapannya.

Bukankah lebih baik jika wanita ini dinasihatkan supaya berdoa kepada Allah, mohon kepadaNya supaya masalah yang ditanggungnya diafiatkan. Jelaskan bahawa semua masalah tidak dapat diselesaikan tanpa izin Allah. Dia yang menghidup dan mematikan, Dia juga Yang mengambil dan memberi.

Dakwaan bomoh, bahawa masalah wanita itu disebabkan buatan orang, adalah suatu pembohongan yang sangat berani. Mempercayai pembohongannya pula adalah salah dan berdosa. Sabda Nabi saw yang bermaksud:

Sesiapa yang mendatangi bomoh nujum, lalu membenarkan tilikannya, nescaya tidak diterima amalannya selama 40 hari.

Demikianlah Islam tidak pernah mengajar kita supaya merujuk kepada tukang tilik dan tukang nujum yang memangnya suka berdusta.

Wallah A`lam.

Petikan dari : http://www.drhayei.com/

Sunday, September 19, 2010

GUNA KHIDMAT JIN UNTUK ILMU KEBAL DAN MERAWAT PESAKIT.

SOALAN:

Saya ingin bertanya tentang jin. Siapa jin dan apa peranannya. Apa bezanya dengan syaitan dan iblis. Bolehkah kita mendapatkan khidmat mereka untuk tujuan ilmu kebal dan merawat pesakit.  Apa pandangan Islam terhadap amalan itu.  Benarkah jika orang mengatakan amalan itu syirik.  Apakah sebab-sebab yang membawa kepada syirik. Bolehkah sembelihan dilakukan apabila jin meminta sesuatu sebagai balasan kepada khidmatnya.

JAWAPAN:

Sebenarnya saya tidak mendalami tentang hal ehwal jin atau makhluk halus mengikut istilah perbomohan tradisional, walaupun  akhir-akhir ini, pengajian tentang makhluk ini begitu diminati oleh sebahagian ilmuwan Islam. Memang pun ia  boleh di dalami sebagai suatu bidang pengajian yang ada disiplin dan kaedah-kaedah khas untuk berinteraksi dengan makhluk ini dan mengambil langkah-langkah sewajar terhadapnya. Saya percaya para ahli dalam bidang ini, banyak menyimpan pengalaman sejauh yang berkaitan dengan makhluk jin. Namun, untuk tidak menghampakan saudara yang bertanya,  saya kemukakan di sini maklumat-maklumat yang saya perolehi hasil daripada  pembacaan umum saya yang terbatas, tetapi terikat dengan disiplin Islam dan akidah tauhid.

Jin adalah suatu makhluk yang dicipta Allah daripada pucuk api yang menjulang, dia tidak mampu dilihat oleh mata kasar manusia, tetapi kewujudannya tetap dan tidak boleh dipertikaikan, kerana dalil-dalil al-Qur`an dan hadis banyak memperkatakan kewujudannya, malah dalam al-Qur`an ada satu surah yang diberi nama surah al-Jin. 

Ketiadaan upaya melihat makhluk ini, tidak boleh dijadikan alasan untuk  menolak kewujudannya. Sungguh banyak perkara yang ada, tetapi sukar dibuktikan dengan pengelihatan mata, seperti tenaga elektrik, roh dan sebagaianya.  Saya tegaskan demikian, kerana ada orang yang menafikan kewujudan makhluk itu, nama-namanya disebut dalam al-Qur`an hanya sebagai lambang dan simbolik semata-mata kata mereka.

Perkataan-perkataan jin, syaitan, ifrit dan iblis adalah sinonim, ia menunjukkan kepada suatu makhluk yang degil dan derhaka pada Allah,  tetapi jin terbahagi kepada beberapa kumpulan, ada yang degil dan ada yang taat, ada yang baik dan ada yang jahat, ada yang muslim dan ada kafir, malah yang muslim juga terbahagi kepada berbagai-bagai puak, kumpulan, mazhab dan aliran, seperti puak sunni, puak syi`ah dan lain-lain. Al-Qur`an menyebutkan pengakuan yang menunjukkan mereka berpuak-puak dalam firman Allah: 

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا [الجن:11]

Terjemahan: Dan sesungguhnya di kalangan kita ada yang baik-baik, ada yang tidak baik, masing-masing menurut jalan dan cara yang berlainan (al-Jin: 11)

Oleh kerana jin tidak kelihatan pada pandangan mata kita, sedang ia mempunyai beberapa keistimewaan yang tiada pada kita, seperti pantas bergerak dari tempat-tempat yang jauh, boleh menghilang diri, boleh merasuk manusia, boleh meninggalkan  pengaruh dan kesan-kesan jahat pada mereka, maka ramai orang tertipu dengan keistimewaan itu, terutama pengamal-pengamal ilmu hitam dan ahli nujum yang berminat  mendampinginya bagi menjayakan tujuan dan cita-cita tersendiri, seperti memukau mangsa, mendapatkan wang dengan mudah, menanamkan rasa benci atau cinta pada pasangan, meramalkan sesuatu yang masih dalam alam ghaib, ingin mencapai sesuatu dengan jalan mudah, kerana dipercayai jin dapat membantu mereka secara berkesan dalam kegiatan ini. 
   
Tidak dinafikan pengamal-pengamal ilmu hitam, ahli-ahli nujum dan sebagainya boleh mendampingi jin dan berdialog dengannya, boleh mengambil dan memberi sesuatu, malah ada yang cita-citanya berjaya dengan jalan itu. Memang jin sama juga manusia, boleh memberi dan mengambil, boleh pergi dan datang, boleh menerima dan menolak sesuatu. Tetapi sebagai orang Islam, kita diperingat oleh  al-Qur`an bahawa jin adalah musuh ketat manusia, kita disuruh memohon kepada Allah, agar kita sentiasa dilindungi daripada bisikannya yang jahat. Firman Allah yang bermaksud:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ [الأنعام: 112]

Terjemahan: Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia. Dan jika Allah kehendaki nescaya mereka tidak mampu melakukannya. Oleh itu tinggalkanlah mereka dan segala pembohongan yang diada-adakan mereka

Syaitan sama ada daripada jenis jin atau manusia memang kerjanya menipu, ia telah berjanji dengan Allah untuk menumpukan  keseluruhan hidupnya pada menyesatkan manusia.  Jika ada manusia yang ingin berbaik-baik dengannya, maka ia sedia menerima bagi menghasilkan tujuan penipuannya. Tidak pernah wujud dalam agenda jin dan syaitan usaha-usaha untuk menyampaikan hidayat kepada manusia atau untuk berkerjasama membela Islam dan kehidupan pada jalan Allah.  Jika manusia mempunyai cita-cita sendiri apabila berbaik-baik dengannya, maka jin juga mempunyai cita-citanya  pada  manusia.

Memohon sesuatu perkhidmatan daripada jin memang terjadi, ia memebrikan khidmatnya, tetapi apakah percuma atau ada imbangannya. Jika ada imbangan, apa dan bagaimana imbangannya?.  Beberapa pengalaman menyatakan imbangannya ialah melakukan apa jua amalan yang menyebabkan syirik kepada Allah, bertutur atau berbuat sesuatu yang membawa penutur atau pengucapnya  terkeluar daripada Islam. Jin pernah meminta imbangan kepada perkhidmatannya supaya pelanggannya menghina al-Qur`an, seperti memijak atau duduk mencangkung di atasnya ketika membuang air, menutur bahasa-bahasa yang memuja selain Allah dan sebagainya. 

Pengamal ilmu hitam ada harapan berhasil  dalam cita-cita   mereka melalui khidmat jin, jika ia sanggup  menjadi insan yang paling derhaka pada Allah,  atau pasti tidak berhasil, jika enggan melayani kehendak-kehendak jahat mereka. Saya mempunyai beberapa pengalaman hasil daripada maklumat beberapa pengamal ilmu hitam sendiri, bahawa ilmu kebal yang sangat mujarab katanya ialah membaca Qul Huwallah dengan bacaan songsang. Pengamal bacaan ini pasti dirinya  kebal atau  tidak ditembusi peluru dan besi-besi tajam.  Kadang-kadang amalan itu diusahakan melalui tulisan atau azimat yang tidak difahami, tetapi hakikatnya mengandungi pemujaan terhadap jin, atau dicampur aduk dengan beberapa ayat al-Qur`an bagi mengelirukan orang awam, seolah-olah ia hanya menggunakan ayat-ayat al-Qur`an yang tidak ada sebab untuk diragui. 

Saya mempunyai seorang kawan yang mengamalkan ilmu itu, ia boleh mengubati penyakit-penyakit sawan yang biasa menyerang pelajar-pelajar yang tinggal di asrama.  Kebetulan pada suatu hari saya  membawa kepadanya seorang pelajar yang diserang sawan, saya berasa malu apabil kawan itu berkata, ustaz juga boleh menjampinya, tetapi saya cuba meyakinkannya, bahawa saya telah berusaha segala-galanya tetapi gagal. Kawan saya pun mula memegang kepala pesawan itu, lalu membaca dengan nyaring ayat-ayat al-Qur`an, saya juga turut membaca dengan mudah apa yang dibacanya. Tiba-tiba bacaan terhenti, lalu menukar kepada bacaan yang begitu cepat tetapi tidak didengari lagi apa yang dibaca, hanya bibir mulutnya sahaja kelihatan mengumat-ngmitkan bacaan. 

Saya pun gagal mengikuti bacaannya lagi, walaupun saya berhasrat sangat mengikutinya.  Bagaimananpun hasrat awal saya membawa pesawan itu tidak sia-sia, kerana sawannya hilang, keadaannya pulih seperti biasa, tetapi hati saya tetap terbuku dengan apa yang dibaca pada saat-saat akhir yang tidak kedengaran itu. 

Apakah yang dicbaca dengan cepat itu pertuturan syirik atau perjanjian sulit antara dia dengan jin?.  Tidaklah diketahui.  

Kadang-kadang pengamal ilmu hitam atau pelanggan jin itu seorang yang kelihatan pada zahirnya warak, mengamalkan ajaran Islam seperti sembahyang, puasa dan sebagainya, namun akidahnya  terhadap jin itu keseluruhannya salah dan syirik, ia sanggup bertawar menawar pada akidahnya, ia membaca sesuatu yang tidak sepatutnya dibaca, kadang-kadang bahasanya yang tidak difahami itu adalah bahasa syirik dan kufur, bahasa memuja jin dan syaitan. Kadang-kadang disuruh berpuasa atau berbuat amal kebajikan tertentu, tetapi bukan kerana Allah hanya jin, itu syirik.  Barang dijauhi Allah.

Tidak benar jika ada orang mempercayai jin tahu sesuatu yang ghaib, jin boleh membantu manusia menyembuhkan penyakit, jin boleh diguna bagi mendapatkan sesuatu melalui jalan-jalan halus dan sembunyi, seperti mendapatkan wang dengan mudah, ambil dan beri, tetapi jin bijak mewaswaskan pada jiwa manusia, ia bijak menggunakan bisikan yang menyebabkan manusia terpukau dengan khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata, ia meminta supaya sembelihan dilakukan kerananya, sedangkan sembelihan yang halal dimakan, hanya sembelihan kerana Allah. 

Saya juga membaca dan mendapat maklum daripada  beberapa pengalaman yang ditulis oleh ulama, bahawa mereka boleh merawat pesakit-pesakit yang diganggu oleh jin, iaitu dengan meminta supaya jin keluar daripada badan pesakit, membebaskan diri mangsa daripada gangguan. Mereka lakukan dengan membaca ayat-ayat suci yang disahkan oleh hadis dan ayat-ayat al-Qur`an sebagai jalan melindungi daripada gangguan syaitan.  Saya tidak menafikan kesahihan cara ini, malah sangat perlu dilakukan, saya katakan mereka sebenarnya bukan bomoh, tetapi pengamal ruqyah (jampi) yang betul.

Amalan ruqyah (jampi) atau jampi yang betul ini memangnya memerlukan ahli yang mendalam pengetahuan agamanya. Justeru itu saya bersetuju, jika ruqyah ini menjadi salah satu subjek dalam pendidikan Islam, kalaupun tidak diperkenalkan di sekolah-sekolah tinggi, peringkat masjid dan pengajian-pengajian yang tidak formal sangat perlu diperkenalkan.   Saya ingin menegaskan juga bahawa ilmu kebal atau kuat boleh dicapai menerusi khidmat jin, namun kejayaan itu mengesahkan ia betul dan harus diamal.  Jin adala makhluk penyesat dan sangat berbahaya kepada manusia.  Wallah A`lam.


Petikan dari : www.drhayei.com

Thursday, September 16, 2010

TAZKIRAH : MENYOROT PERISTIWA PERANG UHUD DI BULAN SYAWAL TAHUN KE-3 HIJRAH (eKhutbah Pilihan)


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين
Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

            Kita sekarang ini masih berada di dalam bulan Syawal di mana kehangatan sambutan eidil fitri masih hangat terasa. Anugerah hari raya bagaikan suatu majlis penerimaan ijazah kepada umat Islam yang baru sahaja berjaya menamatkan pendidikan dan tarbiah diri di universiti Ramadhan yang baru lalu.  Malah galakan berpuasa 6  hari di bulan Syawal ketika umat Islam sedang  berseronok menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu dengan meneruskan segala amal soleh seperti puasa sunat, membaca serta mengamalkan al-Quran, jinak dengan masjid dan sebagainya. 

Adalah suatu yang amat rugi apabila seseorang yang telah berjaya mendidik nafsu dalam diri ketika berlangsungnya tarbiah Ramadhan akhirnya kembali menjadi hamba kepada nafsu dengan berlalunya Ramadhan. Apakah untungnya jika sebulan Ramadhan dijadikan medan untuk merapatkan diri kepada Allah sedangkan kedatangan Syawal dijadikan medan untuk memperbanyakkan maksiat terhadap Allah. Ingatlah bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang bersiap menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya sedangkan orang yang dungu ialah orang yang sibuk dengan habuan dunianya yang pasti ditinggalkan bila-bila masa sahaja. 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana sebelum keluar berperang maka Rasulullah s.a.w telah bermesyuarat dengan para sahabat samada mahu berkubu di dalam di dalam Kota Madinah di mana pendapat ini merupakan cadangan daripada Rasulullah s.a.w sendiri berdasarkan kepada mimpinya iaitu tentang baginda melihat beberapa ekor lembu disembelih yang ditakwil dengan beberapa orang para sahabat yang gugur syahid, pedang yang sumbing yang ditakwil dengan ahli keluarga baginda yang ditimpa musibah manakala baju besi ditakwil dengan Madinah. 

Tetapi ada cadangan kedua daripada golongan muda terutama mereka yang tidak sempat keluar dalam peperangan Badar dahulu termasuk Sayyidina Hamzah yang mencadangkan agar tentera Islam keluar berperang di Uhud luar Madinah dengan alasan supaya musuh tidak menganggap bahawa tentera Islam takut. Akhirnya Rasulullah s.a.w memilih pendapat supaya keluar berperang di Uhud sehingga adanya suara daripada para sahabat agar baginda menarik balik cadangan itu lalu Rasulullah s.a.w dengan tegas menyatakan : “ Tidak patut bagi seorang nabi apabila sudah memakai baju besi maka dia meletaknya semula sehinggalah Allah membuat keputusan antaranya dan musuhnya”.

            Tentera Islam pada asalnya berjumlah seribu orang tetapi pada pertengahan jalan menuju ke Uhud maka ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai bersama 300 orang lagi telah menarik diri yang menyebabkan tentera Islam yang terus kekal bersama dengan Rasulullah s.a.w hanya berjumlah 700 orang terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Ini merupakan antara ujian awal kepada keimanan dan ketaatan tentera Islam kepada Allah dan rasulNya di mana umat Islam pada hari mesti mengambil pengajaran penting daripadanya antaranya bahawa dalam berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini maka kita terpaksa berdepan berdepan musuh nyata iaitu kuffar dan juga musuh dalam selimut iaitu munafik.

 Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan  tetapi pada peringkat kedua  tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Antara sebab yang jelas kepada berlakunya kekalahan peringkat kedua ini ialah keengkaran sebahagian besar daripada kumpulan pemanah yang turut turun mengutip harta rampasan perang dengan alasan tentera Islam telah pun menang dan juga ada yang bimbang jika habuan untuk mereka akan dinafikan.

Peperangan Uhud telah menjelaskan sikap di kalangan tentera Islam sendiri di mana ada yang berjuang kerana mahu habuan dunia antaranya berbentuk harta rampasan perang dan ramai yang berjuang benar-benar ikhlas kerana Allah. Sebab itulah adanya ahli tafsir daripada kalangan para sahabat ketika menafsirkan beberapa ayat  dari surah Ali ‘Imran berkenaan Peperangan Uhud menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyangka bahawa ada juga di kalangan tentera Islam yang telah ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w sendiri masih lagi tamak kepada habuan dunia. Sekiranya Allah tidak membongkarkan perkara ini dalam al-Quran maka ia tidak diketahui oleh sesiapa. Perkara ini boleh kita dapati melalui firman Allah antaranya dalam ayat  145 surah Ali ‘Imran :

وما كان لنفس أن تموت إلا بإذن الله كتـبا مؤجلا  ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الآخرة نؤته منها وسنجزى الشــكرين

Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Menyedari tentang bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan maka umat Islam mesti berusaha menghindari penyakit merbahaya ini daripada terus subur apatah lagi menjadi budaya hidup. Selagi masih ramai pemimpin dan rakyat yang beragama Islam yang mengamalkan budaya rasuah atau mudah dijual beli dengan wang maka perjuangan dalam menegakkan Islam masih jauh lagi untuk dicapai.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada peringkat ketiga dalam Peperangan Uhud ini, tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya membangkitkan kembali semangat pejuang Islam selepas diuji dengan kekalahan agar musuh tidak terus berdabik dada dengan kemenangan yang tidak seberapa disamping semangat musuh bertambah kurang bukannya semakin kuat.

Lanjutan daripada Peperangan Uhud ini maka Rasulullah s.a.w telah beberapa kali mengejar musuh agar mereka menjauhi Madinah malah hampir berlaku beberapa peperangan walau pun dengan keadaan ramai tentera Islam yang masih letih dan cedera. Walau pun tidak berlakunya peperangan itu tetapi tindakan bijak ini telah menaikkan semangat juang yang tinggi kepada umat Islam disamping meletakkan musuh dalam penuh kehinaan apabila tentera kuffar yang diketuai oleh Abu Sufian telah diejek oleh masyarakat Mekah kerana bukan sahaja gagal membawa pulang harta rampasan perang walau mendakwa telah menang malah tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w apatah lagi menawan Madinah disamping sentiasa lari dari medan peperangan walau pun berdepan dengan tentera Islam yang sedikit dan cedera.

Cara dan taktik yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w wajib diikuti dalam memastikan semangat juang umat Islam pada hari ini tidak terus luntur sekali pun diuji dengan pelbagai kekalahan samada melalui peperangan, pilihanraya dan sebagainya agar kita menjadi umat yang bersyukur atas kemenangan dan bersabar dengan ujian kekalahan kerana yakin bahawa segala perjuangan ini adalah kerana Allah sedangkan kemenangan musuh Islam adalah sementara dan kekalahan mereka pula merupakan kehinaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير  فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Petikan dari : www.ekhutbah.wordpress.com

Saturday, September 11, 2010

SALAM AIDILFITRI

Salam Lebaran buat semua pengunjung dan salam kemaafan jua kerana blog ini lama tak diupdate kerana kesuntukan masa cuti sempena Aidilfitir. Alhamdulillah Xpdc pengubatan Islam telah berjaya dilaksanakan di bumi Johor. Kini bermulalah Xdc ke-2 yang akan bermula di negeri Pahang Darul Makmur mulai esok sehinggalah khamis 16.9.2010. Moga Allah akan mempermudahkan hajat serta doa kalian.

Diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.



Salam Aidilfitri.
As-Syifa' Melaka
013-2006363

Friday, September 3, 2010

PENGEMBARAAN INSAN BERMULA.....Selamat Menyambut AidilFitri Buat Semua Pengunjung, Teman-Teman, Sahabat-handai dan Semua Yang Dikenali.

Sebentar lagi akan bermulalah pengembaraan insan sempena cuti yang diambil untuk persiapan menyambut Hari Lebaran yang mulia disamping berazam mengakhirkan malam-malam ramadhan dengan segala kudrat yang ada.

Maka bermula jugalah x-pdc rawatan yang juga akan bermula petang ini di Kulai, Johor.  Pengembaraan bermula dari Melaka ke Kota Tinggi pagi ini dan sehingga balik semula moga-moga dipelihara Allah keselamatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Diari pengubatan x-pdc yang dicadangkan :-

4 Sept. 2010 : Sabtu  : 8.00pg    : Melaka  (Gangguan) 1
9.00pg    : Melaka  (Gangguan+Resdung) 1
3.00 ptg : Kulai, Johor : (Stroke dan Kanser) 2
Sampai kampungku Felda Bukit Aping Barat Kota Tinggi Johor.

5-10.9.2010               
Kota Tinggi, Tiram dan kawasan sekitar.
Buat mereka yang berhajat dan teman persekolahan yang telah   membuat temujanji, pilihlah hari yang sesuai untuk membuat rawatan, yang pastinya, siapa dulu dialah dapat. Moga Allah Permudahkan.

11 atau 12 Sept. 2010  : Mersing (Kanser+Syis)

12 - 16 Sept. 2010  :  Temerloh, Felda Gugusan Jengka, Maran,Jerantut, DLL.
 (Jadual dah penuh. Yang lain hubungi ustaz untuk masa yang lain.)

Semoga Allah mempermudahkan x-pdc ini. Selagi mana kudrat dan ikhtiar diperlukan maka selagi itulah curahan keringat pasti dilaksanakan demi menunaikan hajat sesama insan yang pasti berusaha dan sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah Taala jua.

Diucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN AIDILFITRI yang mulia buat semua yang saya kenali dan kepada pengunjung setia blog ini. Buat Tuan Guruku Ybhg.Dato' Ismail Kamus sembah salam kasih sayang buatmu sepanjang hayat kerana curahan dan keberkatan ilmumu, buat Tuan Guru Dato' Dr.Haron Din, doaku sentiasa mengiringmu , moga cepat sembuh setelah pembedahan di USA baru-baru ini.

Buat guruku Kiyai Dr.Ali Bakri di Riau, teman seperjuangan Ust.Hanif Hj.Ghazali, Ust.Syeikh Hanafi Rahman, Ust.Mokhtar Bin Kasan, Ust.Mohd Fauzi Mustaffa, Ust.Dr.Jahid Hj.Sidek, Ust.Mohd Abadi, Ust.Rashdan Naqia, Ust.Komaruddin Ramli, Ust.Sharif Kulim, ampun maaf kupinta, salah silap MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Ikhlas dari kerendahan hati hambamu ini,

Md Zaini Zainal
As-Syifa' Melaka
013-2006363



Thursday, September 2, 2010

BEDAH BATIN? APAKAH KESILAPAN TEKNIK BEDAH BATIN? Isu Popular.....

Assalamualaikum ustaz,

Pembedahan batin telah muncul sebagai teknik perubatan yang semakin popular dalam masyarakat kita. Ia sering kali dijadikan alternatif kepada pembedahan biasa untuk penyakit-penyakit yang melibatkan ketumbuhan dan barah. Pada luaran dan zahirnya, pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat alquran dan tidak memperlihatkan ciri-ciri yang boleh diragukan dari sudut syara’ (Contoh: kemenyan, jampi serapah dan sebagainya). Apa pandangan Majlis Ulama ISMA dalam isu ini?

Jawapan :

Islam menyuruh umatnya berikhtiar apabila sakit. Nabi S.A.W sendiri pernah mengubati kaum keluarga, sahabat-sahabatnya dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran serta ubat tradisional. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T bahawa ayat-ayat suci al-Quran menjadi ubat penawar, firmanNya,

"Yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al¬-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”  (Al-Isra’: 82)

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak Hadith yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam Hadis-hadis baginda S.A.W.

Sebelum saya memperincikan jawapan soalan di atas, terlebih dahulu saya ingin mendekatkan saudara dengan pengalaman yang dilalui oleh beberapa pesakit yang pernah mendapat rawatan tersebut. Tujuan saya adalah untuk memastikan adakah rawatan alternatif ini benar-benar menepati kaedah syara’ ataupun tidak. Saya perturunkan beberapa pengalaman yang dilalui oleh mereka seperti di bawah :

Pesakit 1

Encik Ibrahim (bukan nama sebenar) pernah mendapat rawatan ini. Beliau menceritakan pengalaman peribadinya sewaktu beliau dibedah secara batin.Katanya cara dia bedah macam doktor..dibelah dengan keris kecil (besi kuning) , lepas itu potong urat (terasa macam kena gentik pada perut), lepas itu digunting, dijahit…darah tak nampak…tapi beliau seorang sahaja yang nampak urat yang telah dipotong dan darah yang memancut tu… kita tak nampak darah, tapi boleh rasa kena hiris, kena jahit, urat kena potong…pedih pun ada, ngilu pun ada, macam kena jentik pun ada.. Bayarannya terpulang kepada keiklhlasan pesakit, katanya beliau merawat secara ikhlas bukan bertujuan komersial. Pengamal menggunakan alat bedah seperti keris kecil, alat jahit dan gunting. Alat itu beliau tak beli dari mana-mana kedai, tapi datangnya dari dunia ghaib (dihantar atas sejadah masa sembahyang). Katanya beliau sembuh sehingga ke hari ini.

Pesakit 2

Pada tarikh 25hb Feb 2009, Encik Fauzi (bukan nama sebenar) menziarahi pesakit kanser kolon yang meninggal. Belum pun genap satu tahun selepas rawatan kemoterapi mengunakan 5-Flurouracil.

Pada hari yang sama juga, beliau ditunjukkan klip rakaman pembedahan batin ke atas pesakit itu, dilakukan sehari sebelum dia meninggal dunia. Bayaran pembedahan RM10,000. Keluarga berpuas hati kerana telah berikhtiar habis-habisan.

Adakah beliau percaya? Apabila melihat, beliau yakin pembedahan dilakukan, tetapi di luar kemampuan manusia biasa. Rumusan beliau, pembedahan dilakukan dengan bantuan lain. Kanser yang dihidapi pesakit sudah begitu teruk, menghalang perjalanan makanan dalam usus. Risiko telah diberitahu kepada pesakit serta keluarga dan mereka telah menandatangani surat menanggung risiko di atas diri sendiri.

Di dalam hati beliau bertanya sama ada pembedahan sebegini mengambil kira margin keselamatan (safe margins) atau tidak. Mungkin tidak, kerana ada pesakit kanser payudara yang beliau jumpai di klinik, mendapat kanser berulang selepas dibuang ketumbuhan secara pembedahan batin semasa mula menjumpai ketulan kanser di payudara. Akhirnya, kena terima kemo yang kuat dan kanser sudah merebak ke paru-paru dan tulang.

Kita dapat merumuskan beberapa persoalan yang timbul daripada pengalaman mereka di atas :

1. Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syara’ ?

2. Adakah Pengamal tersebut menggunakan khidmat khadam ghaib untuk menyembuhkan pesakit ?

1. Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syarak ?

Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab se¬bagai Ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-¬kadang amat digalakkan. Ini dapat kita lihat daripada sumber periwayatan Imam Muslim yang menyatakan :

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ: «كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ فَقَالَ اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ »

Maksudnya : Daripada Auf bin Malik r.a berkata:

“Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi s.a.w. : Ya ! Rasulullah S.A.W. apakah pandangan anda tentang jampi ? lalu baginda S.A.W. meminta kepada mereka agar mereka memperdengarkan jampi yang digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda S.A.W menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik”.

(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab La Ba’sa bi al-Ruqaa, Hadis bernombor 4079)

قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ وَسَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ لَدَغَتْ رَجُلاً مِنَّا عَقْرَبٌ وَنَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ

»اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْقِي قَالَ : « مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya :

Abu Zubair berkata : Aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah S.A.W. Maka berkata seorang lelaki wahai Rasulullah S.A.W. ! bolehkah aku jampi ? Baginda S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang mampu di antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.”

(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4076)

Menurut keterangan hadis ini, jampi mantera ada kalanya boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Seorang Sahabat, Jabir R.A memberitahu Rasulullah S.A.W bapa saudaranya pandai menjampi. Mendengarkan kata-katanya, itu, baginda S.A.W terus melarang amalan jampi mantera. Bapa saudara Jabir R.A kemudian menemui baginda S.A.W dan memperdengarkan bacaan jampinya untuk merawat sakit sengatan kala jengking. Setelah mendengar, baginda S.A.W menjawab, “sekiranya ada di antara orang Islam yang berupaya menolong saudaranya, ia hendaklah berbuat demikian”.

(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4077)

Dalam peristiwa ini baginda S.A.W mula-mula menegah bapa saudara Jabir R.A melakukan jampi kerana menyangka jampi dituturkan dengan kalimah yang boleh mendatangkan syirik. Setelah mendengar jampi itu, baginda S.A.W membenarkannya apabila mendapati jampi itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Daripada sumber ini, para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat terhadap penggunaan jampi mentera atau serapah yang dibolehkan dan digunakan :

1. Menggunakan ayat al-Quran.

2. Menggunakan bahasa yang difahami.

3. Jangan mengi’tiqadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.

Berbalik kepada amalan tradisi kita yang menggunakan ayat-ayat al-Quran oleh Pengamal perubatan alternatif tidak semesti membuktikan apa yang dilakukan oleh individu yang terlibat adalah sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam jampi mantera serapah Melayu, sebahagian daripada jampi yang dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan bismillah, salam, sebutan nama nabi, nama-nama khalifah dan sebagainya, termasuk sebutan syahadah di akhir pertuturan tersebut.

Walaupun demikian di tengah-tengah jampi, mantera atau serapah tersebut, dipanggil nama-nama jin, yang “diperintahkan” datang, mengganggu orang-orang tertentu, merasuk, menguasai roh orang berkenaan membolehkan orang yang berkenaan hilang akal, sasau atau sebagainya dengan izin Allah.

Sebutan-sebutan terhadap jin atau jin-jin itu dituturkan dengan perlahan, yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja, tidak difahami atau didengar dengan jelas oleh pelanggan yang berada di hadapannya. Ungkapan kata yang berunsurkan Islam disebut dengan kuat dan jelas pada permulaan juga pada akhir jampi.

Mengenai soalan yang berkaitan ayat-ayat al-Quran, kandungan Hadith ataupun doa dalam jampi mantera ataupun serapah, perlu dijelaskan bahawa sebutan-sebutan seperti ini juga tidak menjamin bahawa kewujudan kalimah-kalimah ataupun ayat-ayat tersebut menjadi alasan atau bukti bahawa amalan yang dilakukan itu sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga kalimah-kalimah yang memperlihatkan adanya pengaruh Islam. Kalimah-kalimah tersebut seperti sebutan nama malaikat, Rasul atau Nabi, khalifah, kalimah-kalimah berkat ataupun rangkaian kata syahadah yang digunakan dalam ungkapan jampi mantera ataupun serapah.

Penggunaan ayat-ayat al-Quran seperti dijelaskan, juga kalimah-kalimah yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Islam pada hakikatnya lebih banyak mengelirukan. Dalam banyak hal, kalimah-kalimah tersebut dicampuradukkan dengan nama-nama jin yang tidak diketahui hakikatnya, juga kata-kata yang tidak difahami maknanya, tidak dapat ditafsirkan dengan tepat.Ungkapan seperti ini terdapat dalam jampi, mantera dan serapah yang digunakan oleh mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan Melayu, terutama untuk rawatan dan persembahan teater tradisional.

Penggunaan kalimah-kalimah Allah yang diselit-selitkan dengan nama malaikat, Nabi, kalimah syahadah di samping sebutan nama jin dan syaitan merupakan perbuatan menghina atau mempersenda keagungan Allah yang diistilah sebagai istihza’ malah dalam ungkapan jampi pengasih misalnya, penggunaan kalimah-kalimah tersebut bagi tujuan jahat, menundukkan seseorang supaya jatuh kasih kepadanya menyebabkan mangsa rindu dendam, tertumpu akal fikiran dan ingatannya kepada orang yang memuja.

Walaupun demikian, kerana ungkapan tadi selalunya dituturkan dengan cepat, suara perlahan dan sukar didengar dengan jelas, selain kalimah Bismillah di awal kata, diikuti sebutan salam dan kalimah syahadah di akhir ungkapan, maka ia akan menimbulkan anggapan bahawa apa yang dibaca oleh penutur adalah terdiri daripada ayat-ayat al-Quran.

Di bawah ini diperturunkan satu rangkaian kata jampi pengasih sebagai contoh:Bismi ‘Llahi ‘r-rahmani r-rahim; bismillah urat daun; bismillah tembakau cina; bismillah asap pucuk; hei jin segala jin; pergi ambil hati (dengan menyebut nama mangsa dan nama ibunya); hantar mari kat aku; kalau tidak aku sumpah engkau; sumpah baginda rasulullah; dengan baginda rasulullah; dengan berkat doa; la ilaha illa ‘llah; muhammad ‘r-rasulullah.

Ungkapan di atas mengandungi Bismillah sepenuhnya sebagai pembuka kata. Selepas menyebut sebanyak tiga kali, jin dipanggil mengambil hati gadis yang dipuja, untuk dihantar kepada penutur atau pemuja. Perbuatan seperti ini, iaitu yang melibatkan jin sama ada disedari penutur atau tidak, termasuk dalam amalan sihir. Berdasarkan keterangan ini, biarpun dalam ungkapan yang dikenali sebagai jampi, mantera atau serapah itu mengandungi ayat-ayat al-Quran, kandungan hadis, doa ataupun hanya sebahagian daripadanya, tetapi ia disertakan dengan sebutan nama iblis dan syaitan, disertakan sebutan nama-nama dewa ataupun Tuhan sembahan selain daripada Allah, maka sebutan itu adalah terlarang. Untuk memperkuat arahan, penutur kepada jin, agar ia pergi mengambil hati si gadis, dikatakan bahawa ia akan disumpah dengan menyebut nama baginda Rasulullah.

Hal demikian memperlihatkan bahawa sumpah yang dikenakan terhadap jin yang ingkar seolah-olah datang daripada Rasulullah ataupun berlaku hasil keberkatan menyebut nama nabi. Dalam masa yang sama sumpah juga dikenakan dengan menyebut keberkatan doa kalimah La ilaha illa ‘Llah, Muhammada ‘r-rasulullah.

Penutur kata ungkapan kata ini hakikatnya melakukan pemujaan dengan mencampuradukkan kalimah Allah untuk memanggil jin bagi menundukkan mangsa. Kalau enggan, ia akan kena sumpah. Ini memperlihatkan seolah-olah jin itu khadam penutur. Orang yang meminta pertolongan, sama ada perlindungan diri atau lain-lainnya boleh menyebabkan pemesongan iktikad seperti yang dijelaskan. Mereka adalah terdiri daripada orang yang sesat seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah S.W.T,

Yang bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri)” . (Al-Hijr : 42)

Bagi orang awam, apatah lagi mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab menganggap dan berkeyakinan bahawa orang yang terlibat menggunakan ayat-ayat al-Quran, padahal sesetengah ayat al-Quran yang digunakan telah diseleweng daripada ayat yang sebenar, pada barisnya, pada kalimah-kalimah tertentu dan sebagainya. Selain itu, masyarakat masih banyak beranggapan bahawa amalan kebatinan, tidak kira sama ada untuk rawatan, ilmu kebatinan mempertahankan diri diharuskan sekiranya menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa. Anggapan ini adalah salah.

Penggunaan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa diharuskan. Namun, sekiranya ia disertai dengan sihir, iaitu melibatkan jin-jin, perbuatan tersebut adalah salah kerana amalan itu termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir. Berdasarkan keterangan ini, juga bukti-bukti lain yang dapat difikir logiknya ternyata bahawa bukan mudah seseorang itu, iaitu orang awam untuk mempastikan amalan itu sebagai menggunakan ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir dan sebagainya.Ia juga dikenali sebagai al-mu’awwizat atau at-ta’awwuz, juga bererti perlindungan. Penggunaan ruqyah lebih terkenal.

Di antara sebutan yang boleh menyebabkan syirik ialah ungkapan meminta perlindungan kepada makhluk seperti jin, menyamakan qudrah Allah dengan keupayaan makhluk-makhluk, beriktikad keberkatan jampi mantera yang boleh menyembuhkan penyakit, memberi kuasa, kekuatan atau hikmat terhadap objek-objek tertentu.

2. Adakah Pengamal tersebut menggunakan khidmat jin untuk menyembuhkan pesakit ?

Mengikut pengalaman yang dilalui oleh pesakit dan pelanggan yang pernah mengunjungi pusat rawatan ini percaya bahawa Pengamal perubatan ini menggunakan khidmat khadam ghaib seperti pengalaman yang dilalui oleh Pesakit 1 di atas. Kata beliau : “Pengamal menggunakan alat bedah seperti keris kecik, alat jahit dan gunting. Alat itu beliau tak beli dari mana-mana kedai, tapi datangnya dari dunia ghaib (dihantar atas sejadah masa sembahyang)”.

Disokong lagi dengan pengalaman Pesakit 2 katanya : “Apabila melihat, beliau yakin pembedahan dilakukan, tetapi di luar kemampuan manusia biasa. Rumusan beliau, pembedahan dilakukan dengan bantuan lain”.

Perkara ini telah menimbulkan persoalan kepada banyak pihak adakah perubatan alternatif ini bertepatan dengan syara’ atau sebaliknya. Untuk menyelesaikan isu ini, marilah kita menjenguk sekejap pandangan ulama’ muktabar yang pernah menghadapi situasi ini yang telah meletakkan beberapa kaedah setelah penelitian kepada nas-nas yang ada. Pandangan ini ada yang pro dan kontra. Saya cuma ingin meneliti kesemua hujah yang ada supaya kita boleh sampai kepada beberapa kesimpulan nanti.

1. Pandangan Pro :

Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa, Jil. 11 / hal. 307-308) dan Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah (fatwa bernombor 193) mengharuskan khidmat Jin dengan syarat penggunaan mereka pada perkara-perkara yang diharuskan di samping wasilah juga diharuskan oleh syara’. Ini bermakna rawatan kepada pesakit menggunakan khidmat jin di antara perkara yang diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Pandangan beliau disokong oleh Syeikh Abdullah Al-Faqih, Penasihat Institut Fatwa yang mengutip beberapa Kaedah Usul dan Amalan Salafussoleh, di antaranya :

1.1 Kaedah syara’ menyatakan : Asal sesuatu perkara itu adalah harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya. Oleh kerana tidak ada nas yang melarangnya maka ia kembali kepada kaedah asalnya iaitu hukumnya harus.

1.2 Khidmat yang diminta adalah khidmat masyarakat yang diharuskan seperti mengawal rumah daripada dicerobohi, mengembalikan duit yang telah dicuri atau mengelakkan sebarang mudarat yang datang daripada musuh dan sebagainya sebagaimana pertolongan manusia sesama manusia.

1.3 Khidmat jin ini hendaklah daripada jin Muslim kerana ianya tidak akan membawa sebarang mudharat kepada diri mereka. Kalau sekiranya khidmat datang daripada jin Kafir maka hendaklah dipastikan terlebih dahulu khidmat itu tidak membawa kepada unsur-unsur syirik.

1.4 Ada pendapat yang menolak keharusan khidmat jin ini kerana beralasan bahawa khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah kurniaan dan anugerah Allah S.W.T hanya kepada baginda a.s. dan tidak kepada selain baginda a.s. Sebenarnya dalil tersebut bukan menjadi hujah yang qat’ie di kalangan para ulama’ mujtahidin kerana khidmat jin kepada Nabi Sulaiman a.s. adalah merupakan kewajipan yang diwahyukan oleh Allah S.W.T sedangkan khidmat jin yang kita maksudkan ialah pertolongan dan bantuan jin pada perkara-perkara yang diharuskan oleh syara’ berdasarkan pilihannya bukan kerana kewajipannya.

2. Pandangan Kontra :

Tidak harus berinteraksi dengan jin dalam melakukan rawatan kepada pesakit. Mereka yang menyokong pendapat ini adalah terdiri daripada Sohibus Samahah Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (Majallah al-Dakwah, bil. 1602, Rabiul Awal 1418 H, hal. 34), Fadhilah Syeikh Soleh al-Fauzan ( Al-Sihr wa Sya’uzah, hal. 86-87), Syeikh Soleh bin Abdul Aziz Al Al-Syeikh (Majallah al-Dakwah, bil. 1683, Zulqaedah 1419 H, hal. 23), Dr. Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd (Al-Sihr Bain al-Haqiqah wa al-Khayal, hal. 211), Syeikh Mohd Nasiruddin Al-Bani, Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin (Al-Qaul fi Murtakazat Mu’alaji al-Sor’ie wa al-Sihr wa al’Ain) , Abdul Rahman Hasan Hanbakah al-Maidani (Al-Aqidah al-Islamiah, hal. 290) dan lain-lain. Di antara hujah-hujah mereka seperti berikut :

2.1 Banyak riwayat dalam kitab-kitab Hadith menceritakan cara-cara Nabi S.A.W. merawat dan mengubati penyakit sebagaimana yang biasa diketahui oleh orang ramai di zaman ini. Baginda S.A.W. sendiri berbekam dan menyuruh orang lain berbekam, juga baginda S.A.W. menghantar Tabib (Doktor) bagi mengubati sahabatnya R.A. Begitu juga baginda S.A.W. mengamalkan jampi mentera dan dijampi dan menyuruh para sahabatnya dengan jampi mentera. Kalaulah beliau mendapat khidmat jin Muslim sebagaimana dakwaan setengah-setengah pihak tentulah pada hari Nabi S.A.W. terkena sihir daripada Yahudi dan juga para sahabat baginda R.A di mana ada yang dirasuk jin, diserang pelbagai penyakit di segenap bahagian tubuh dan sebagainya tercatit dalam kitab hadith yang menyebut bahawa Nabi S.A.W. dan para sahabatnya R.A mendapat bantuan dan pertolongan jin. Kesemua dalil dan penghujahan dari sudut perbuatan baginda S.A.W., perkataan dan pengakuannya (taqrir) sudah cukup membuktikan bahawa baginda S.A.W. tidak mendapat sebarang pertolongan daripada jin.

2.2 Islam sentiasa memandang serius segala aspek yang bersangkutpaut dengan aqidah kepada Allah S.W.T. agar manusia tidak terjebak dalam kesyirikan. Oleh itu pintu-pintu ke arah kesyirikan sentiasa ditutup dan dikawal dengan ketat. Apabila seseorang Tabib yang merawat pesakit dengan bantuan jin, hatinya sentiasa bergantung harap kepada bantuan Allah dan jin dalam melakukan proses rawatan pada mulanya. Lama kelamaan pergantungan hati kepada Allah S.W.T. sudah bertukar sepenuhnya kepada bantuan jin maka wasilah syirik ini sudah terbina dan akan memudahkan seseorang Tabib tergelincir dari aqidahnya. Begitu juga kepada pesakit yang lemah imannya akan mempercayai bahawa penyakitnya sembuh kerana bantuan jin bukan daripada Allah S.W.T. Walaupun tidak ada dalil qati’ yang mengharamkan khidmat jin tetapi Kaedah Sad al-Zarai’i ini sebagai kaedah yang praktikal untuk menjaga dan mengawal beberapa maslahat syariat terutamanya yang berkaitan dengan aqidah.

2.3 Kita wajib membezakan di antara jampi mentera dengan sihir kerana perbuatan itu pada zahirnya hampir sama. Jampi mentera atau serapah akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan sebutan yang dibenarkan oleh syarak tanpa pertolongan jin sedangkan Ahli Sihir akan membaca jampi untuk memanggil dan menyeru jin supaya datang menolong dan menyelesaikan hajat-hajat mereka.

2.4 Perlu diketahui bahawa asal kejadian jin adalah daripada api. Api tabiatnya membakar. Oleh itu tabiat sifat asalnya adalah zalim, melampau, cepat berbolak balik dan bertukar daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain. Begitu juga dia boleh bertukar daripada kawan yang baik kepada musuh yang ketat dan mengheret kawannya kepada azab sengsara apabila dia mengetahui manusia dalam keadaan lemah dan boleh menguasainya. Apabila begitu tabiatnya, kenapa kita perlu mengambil jin sebagai kawan sedangkan kawan kita yang sejati ialah orang yang mengikut al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W di kalangan para Sahabatnya, Tabi’, Tabi’ Tabien dan para Solihin.

2.5 Khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah kurniaan dan anugerah istimewa daripada Allah S.W.T kepada baginda a.s. Sebagai contohnya baginda a.s mendapat khidmat jin dalam usaha memindahkan istana Puteri Balqis dari Negara Yaman. Peristiwa bersejarah yang berlaku ini bukan syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Sulaiman a.s. menjadi ikutan kita sebagaimana syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. bukan menjadi hujah keharusannya kerana tidak ada dalil qat’ie yang menunjukkan syariat itu terpakai dan diamalkan oleh Nabi kita S.A.W. dalam kehidupannya.

2.6 Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapatkan maklumat atau menggunakannya sebagai khidmat sosial kepada masyarakat. Oleh kerana adanya aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik . Kita perlu berwaspada kerana jin mempunyai nafsu yang mahu dirinya dipuja. Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan dan ini akan membawa manusia hanya mencari perlindungan kepada mereka semata-mata.

2.7 Tidak harus menggunakan khidmat jin walaupun perkara itu harus kerana Nabi S.A.W tidak meminta pertolongan mereka walaupun ketika berjihad di medan perang, usaha mendapatkan berita-berita musuh dan sebagainya sedangkan ketika itu baginda S.A.W sangat-sangat memerlukannya tetapi baginda S.A.W tidak melakukannya. Oleh kerana ia merupakan sifat orang-orang Jahiliah yang sentiasa meminta pertolongan daripada mereka maka Islam mengharamkan perkara ini dalam firmannya,

Yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”. (Al-Jin : 6)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T mendedahkan kepada kita bahawa jin boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang seperti mana yang berlaku kepada Musyrikin Arab yang sentiasa meminta perlindungan kepada jin-jin ini ketika ditimpa kesusahan dan ketakutan. Ini memberi kesan jelas kepada aqidah dan pegangan mereka hingga membawa mereka kepada menyembah jin dan melakukan sembelihan kerananya dan akhirnya melakukan kerja-kerja yang kononnya diperkenankan oleh jin-jin tersebut. Natijah daripada hubungan dua hala dengan jin ini tidak akan membawa sebarang kebaikan kerana dua alam yang berbeza iaitu alam nyata dan alam ghaib yang kita tidak dapat mengenal hakikat dan tabiat alam ini kecuali daripada sumber al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.

2.8 Penasihat Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Harun Din, beliau menjelaskan bahawa pembedahan batin melibatkan penggunaan syaitan dan jin sebagai perantaraan. “Kaedah tersebut semestinya membawa kepada khurafat dan syirik. Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Banyak tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa mereka berasa waswas dengan pembedahan batin,”

2.9 Menyedari isu pembedahan batin yang semakin mendapat perhatian masyarakat, sidang editor Dewan Masyarakat mendapatkan pandangan Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr. Razman Jarmin.

Menurut beliau terdapat dua kaedah perubatan yang diamalkan oleh kebanyakan pesakit – perubatan moden dan perubatan tradisional. Perubatan moden mempunyai prosedur ataupun ujian tertentu untuk mengesan penyakit, manakala rawatan batin berlandaskan kepercayaan semata-mata.

Terdapat pesakit yang percaya penyakit mereka semakin pulih setelah mendapatkan rawatan batin. Persoalannya, adakah sesuatu penyakit itu sembuh disebabkan rawatan tersebut? Dr. Razman juga tidak menolak kemungkinan penyembuhan penyakit berlaku secara kebetulan. Hal ini demikian kerana, beliau mendapati masih belum ada bukti empirikal yang dapat menyatakan keberkesanan pembedahan batin.

“Kami (Pakar bedah) tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan alternatif kerana menjadi hak pesakit menentukan rawatan yang mereka mahukan. Namun terdapat banyak pesakit yang semakin teruk setelah membuat pembedahan batin.” Jelas Dr. Razman.

Menurut Dr Razman, faktor yang menyebabkan pembedahan batin begitu popular dalam kalangan pesakit adalah kerana perubatan tersebut lebih mudah dipercayai dan mudah tersebar dari mulut ke mulut.

Saya cabar mereka kemukakan bukti. Jika benar mereka pakar dalam melakukan pembedahan tanpa meninggalkan kesan parut, saya berpendapat pengamal ini layak mendapat Anugerah Nobel,” ujar Dr Razman yang mendakwa bahawa pakar perubatan moden juga sedang beusaha melakukan pembedahan tanpa kesan parut.

Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ramli Abdul Ghani, menjelaskan bahawa pembedahan batin bercanggah dengan konsep peubatan Islam dan perubatan moden. Oleh hal demikian, kerajaan tidak mengiktiraf sebarang bentuk pembedahan batin.

(Artikel : Pembedahan Batin Keberkesannya Diragui, Majalah Dewan Masyarakat, Julai 2009)

Setelah kita dihidangkan dengan pandangan pro dan kontra di kalangan ulamak-ulamak muktabar selepas penelitian kepada nas-nas yang ada maka saya memilih pandangan kontra iaitu tidak harus berinteraksi dengan jin kerana kekuatan hujah dan berdasarkan realiti kini dengan sebab-sebab berikut, seperti di bawah :

1. Pendapat Imam Ibnu Taimiyah yang mengharuskan berinteraksi dengan jin ini perlu dilihat dan direnung sejenak kerana suasana kehidupan masyarakat Islam di zaman Imam Ibnu Taimiyah adalah begitu kuat pegangan mereka terhadap hukum dan manhaj Islam ketika itu dilaksanakan dan ditegakkan di samping kesedaran dan kefahaman agama di sisi ulamak dan orang awam juga mantap berbanding dengan zaman kita ini.

2. Pendapat beliau tentang berinteraksi dengan jin adalah terlalu umum dan tidak khusus kepada aspek rawatan dan perubatan. Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ al-Fatawa : 11/307 menegaskan bahawa hendaklah seseorang itu mempunyai pengetahuan Islam yang cukup sebagai syarat asasi untuk berinteraksi dengan jin kerana mereka mengetahui perincian hukum-hukum syarak, dapat membandingkan di antara maslahat dan mafsadah, di antara halal dan haram dan kadang-kadang mereka mengetahui banyak perkara yang tidak diketahui oleh orang awam sedangkan di hari ini kebanyakan mereka yang berinteraksi dengan jin ini jahil dalam masalah hukum-hakam, tidak memahami kaedah syarak dan tidak dapat membezakan di antara rukun dan wajib. Kalaulah ditakdirkan Imam Ibnu Taimiyah hidup di zaman kita ini, pasti beliau akan berpendapat bahawa berinteraksi dengan jin adalah tidak harus kerana kesan berinteraksi dengan jin tersebut akan membawa mereka kepada terpesong aqidah. Sebagai contoh dalam realiti kita hari ini terdapat segelintir manusia yang sanggup menghabiskan duit yang banyak semata-mata hendak memiliki tangkal, cincin dan sebagainya kerana mendakwa terdapat jin Islam yang menjaga dan boleh menolong mereka untuk menyampaikan hajat masing-masing dan sebagainya.

3. Kebanyakan hadith-hadith yang mengharuskan berinteraksi dengan jin datang dalam bentuk lafaz sighah tamridh ( رُوِيَ ). Ini bermakna lafaz yang digunakan itu dari sudut ulamak hadith menunjukkan bahawa rangkaian periwayatan hadis-hadis tersebut adalah tidak thabit dan benar-benar pasti. Maka kedudukan hadith-hadith ini jelas tidak boleh menjadi hujah tentang keharusan berinteraksi dengan jin terutamanya kepada orang-orang jahil di hari ini yang banyak merujuk kepada dalil-dalil tersebut dan kesannya ia boleh membawa kepada terpesong aqidah mereka dan menjauhi mereka daripada Allah S.W.T.

4. Sejajar dengan garis panduan perbomohan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) demi mengelak masyarakat terlibat dalam perkara-perkara khurafat, tahyul, sihir dan amalan-amalan yang bertentangan dengan aqidah maka garis panduan ini diperkenalkan seperti berikut :

4.1. Tidak boleh bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak walaupun dikatakan dengan jin Islam kerana kita tidak tahu sama ada betul atau tidak.

4.2. Tidak boleh meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik kerana dibimbangi wujud unsur menafikan kudrat Allah S.W.T.

4.3. Tidak harus meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan kerana dibimbangi wujud keyakinan bahawa makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang sama dengan Allah atau mengurangkan keyakinan kepada kuasa Allah S.W.T semata-mata.

4.4. Tidak harus meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum atau ‘menurun’ kerana ia termasuk dalam amalan syirik atau dilarang oleh Allah dan boleh merosakkan aqidah orang yang terlibat dengannya.

Kesimpulan

1. Jika seseorang Pengamal pembedahan batin mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran dan wirid-wirid yang ma’thur serta tidak bercampur aduk dengan sebutan-sebutan yang meragukan dan boleh membawa kepada syirik maka Islam mengharuskannya.

2. Untuk tujuan rawatan dan pengubatan, kita dibenarkan menggunakan apa jua cara asalkan kaedah rawatan yang akan dijalani itu tidak mengamalkan perkara-perkara berikut:

2.1 Berinteraksi dengan jin.

2.2 Mengandungi unsur-unsur syirik.

2.3 Penggunaan bahan yang haram.

2.4 Cara pengubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.

2.5 Suasana yang menimbulkan fitnah seperti berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan.

Sekian Wallahu A’lam.

Disediakan oleh: Ustaz Ahmad Kamal Muhamad
Ahli Panel MUIS

 

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts