FOLLOWERS

Tuesday, September 21, 2010

KITAB TAJUL MULUK & BUKU BERKAITAN ILMU RAWATAN ISLAM, BOLEHKAH DIBELI DAN DIAMALKAN?

SOALAN

Saya pernah mendengar adanya Kitab Tajul Muluk yang dikatakan mengandungi tilikan dan tafsiran mengenai tubuh badan manusia. Sejauh mana kebenaran kitab itu. Bolehkah ia dibeli dan dibaca. Adakah Islam menerima pakai tafsiran yang tidak bersumberkan al-Quran dan Hadis. Bagaimana pula dengan buku-buku lain yang banyak dijual dan dikatakan sama sahaja isi kandungannya dengan kitab Tajul Muluk.

Saya khuatir, kitab-kitab ini boleh merosakkan akidah dan menyesatkan pembaca, tetapi mengapa ia tidak diharamkan. Harap ustaz dapat memberi maklumat ringkas tentang kitab itu.

JAWAPAN

Bahan-bahan bacaan, kecuali al-Qur`an dan hadis sahih, bagaikan makanan yang mengisi keperluan jasmani kita, ada yang baik untuk dimakan dan ada yang memudaratkan. Jika kita ingin makan, pilihlah makanan yang membina kesihatan. Jangan lupa ada makanan yang lazat, tetapi mudarat atau tidak sesuai dengan tabiat semula jadi yang ada dalam badan kita.

Bahan-bahan bacaan juga begitu, hinggakan kitab agama pun tidak terkecuali, kadang-kadang ada racun disamping penawarnya yang sangat berfaedah. Terpulanglah kepada pembaca yang bijak, memilih sendiri bahan bacaannya, kemudian menentukan sendiri yang mana racun untuk dan yang mana penawarnya untuk ditelan.

Sebelum saya memberi maklum balas, sama ada buku yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas baik atau tidak baik dibaca, benar atau tidak benar maklumat dan fakta dalam kandungannya, saya nyatakan dahulu maklumat ringkas tentang kitab Tajul Muluk yang saudara maksudkan.

Judul penuh kitab ini ialah Taj al-Muluk al-Murassa` bi al-Durar wa al-Jawahir al-Manzumat Terjemahannya: “Mahkota raja-raja yang bertatah berlian dan permata”. Dicetak dalam dua versi rumi dan jawi. Versi jawinya mengandungi 136 muka surat. Kitab ini diringkaskan daripada sumber asalnya berjudul Siraj al-Zalam atau terjemahannya “Pelita kegelapan”. Naskhah yang ada pada saya ialah cetkan Dar al-Ma`arif Pulau Pinang. Tanpa tarikh cetak. Dipercayai naskhah asalnya dicetak di Percetakan Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah, Kaherah, tetapi maklumat itu tidak dilengkapkan sepenuhnya.

Maklumat yang terdapat pada kulit buku itu, pengarangnya ialah Syeikh Abbas orang Acheh, selesai ditulisnya pada hari Isnin 9 Rajab 1266 Hijrah. Kitab asalnya berjudul Sirajul Zalam selesai ditulis Di Makkah pada hari Sabtu 28 Rabi` Awwal 1306 Hijrah. Disamping Tajul Muluk sebagai kitab induk, ada dua lagi kitab yang dicetak bersama kitab itu, pertama, Hidayat al-Mukhtar “Bimbingan Terpilih”, karangan Tuan Hasan Besut Bin Tuan Ishak Patani, iaitu pada akhir kitab Tajul Muluk. Kedua, Kitab Bad` al-Khalq Terjemahannya “Asal Penciptaan” pada tepinya dicatat karangan Nusruddin Muhammad Jilani al-Raniri.

Dalam mukaddimah kitab Tajul Muluk ini menyatakan ia ditulis kerana menyahut permintaan raja Acheh bernama Sultan Mansur Billah Syah Bin al-Sultan Jauhar al-Alim Syah, katanya:

.. maka sanya, bertitah oleh yang ampunya kebesaran dan kemegahan pangkatnya, ialah yang menanggung panji-panji syariat dalam negeri Acheh yang mahrus (terpelihara), dan iaitulah tuan kita sultan yang kebesaran pangkatnya dan kemuliaan nasabnya dan kebesaran kepujiannya, itulah sultan yang dilakab dengan sultan Mansur Billah Syah Ibn Sultan Johor Al-Alim Syah, akan bahawasanya aku kerjakan baginya suatu risalah yang mukhtasar dengan bahasa Jawi (bahasa Melayu) pada menyatakan mengenal segala hari bulan Arab dan mengenal segala saat bagi segala hari dan daripada bulan daripada saat bahagia dan celaka.

Antara kandungan buku ini ialah menyatakan ubat-ubatan tradisional, bagi mengubati berbagai-bagai penyakit, suratan azimat dan rajah dan juga bacaan doa, jampi serapah dan hal-hal berkaitan nujum, jin dan sebagainya. Kitab ini dijual di pasar-pasar kaki lima dan kedai-kedai kitab. Peminat ilmu perbomohan beranggapan buku ini mencukupi bagi memenuhi kehendak masyarakat yang memerlukan khidmat bomoh.

Selain buku ini, banyak lagi buku yang kandungannya hampir sama, seperti Senjata Fakir. Senjata Sulit. Bintang Dua Belas. Pati Rahsia dan lain-lain. Dalam bahasa Arab juga ada, bahkan lebih banyak lagi. Antara judulnya al-Rahmah fi Tibb wa al-Hikmah, karangan Imam al-Suyuti, Syams al-Ma`arif, karangan al-Buni, Mujarrabat, karangan al-Dayrabi dan lain-lain.

Saya berpendapat, kitab-kitab berupa rawatan tradisional boleh dibeli, dibaca dan dicuba kaedah rawatannya oleh pesakit atau bomoh yang berkenaan. Tetapi hendaklah tidak terlibat dengan unsur-unsur sihir, rajah-rajah dan amalan khurafat, seperti amalan mendapat khidmat jin dan makhluk halus, kerana unsur-unsur ini dibimbangi terjebak dengan akidah syirik. Jika pembaca berpendapat, dirinya tidak akan dipengaruhi unsur-unsur yang menyesatkan akidahnya, maka terpulang kepadanya kerana pembaca sendiri lebih kenal siapa dirinya.

Secara kebetulan, saya membaca fatwa Dr Nasr Farid Wasil mufti Mesir, tetakala menyatakan pandangannya tentang kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah yang saya klasifikasikannya sebagai menyamai kita Taj al-Muluk dalam bahasa Melayu, katanya:

Tiada apa-apa halangan bagi siapa jua membeli dan mengamalkan apa yang baik dalam kitab itu, seperti rawatan dengan memakai kaedah al-Qur`an, kerana Allah berfirman yang membawa maksud: Dan kami turunkan al-Qur`an perkara yang mendatangkan penawar dan rahmat bagi orang mukmin. (al-Isra`: 82).

Firaman-Nya lagi yang membawa maksud: Wahai manusia!

Sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar kepada penyakit yang ada dalam dada kamu. (Yunus: 57)

Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:

Berubatlah kamu, kerana Allah tidak menimpakan sebarang penyakit, melainkan ada ubatnya, kecuali penyakit tua.

Sebaik-baiknya gunakanlah bacaan jampi yang diperolehi daripada ayat al-Qur`an, kerana menyelamatkan seseorang pesakit atau bomoh daripada syirik dan khurafat.

Jika sesebuah kitab atau buku itu mengandungi ilmu hitam atau pujaan, maka jauhilah daripadanya, kerana nabi saw menyatakan sihir itu haram dipelajari dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan. Sabadanya dalam riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud:

Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Apa yang dimaksudkan tujuh perkara itu? Sabda baginda: Syirik kepada Allah, sihir, bunuh nyawa manusia yang diharam bunuhnya, makan riba, makan harta anak yatim, mengundur diri pada hari perang dan menuduh zina terhadap wanita suci.

Jumhur ulama sepakat berpendapat, haram belajar atau mengajar sihir (ilmu hitam). Seseorang muslim dilarang sama sekali menemui bomoh yang menggunakan ilmu itu, sama ada bagi merawati penyakitnya atau menyelesaikan sesuatu masalah yang menimpanya. Sehubungan ini, baginda bersabda yang membawa maksud:

Tidak masuk syurga peminum arak, pengamal ilmu hitam dan pemutus rahim.

Berpandukan hadis ini, kitab yang dikemukakan dalam pertanyaan di atas harus dibeli, dibaca dan diambil isinya yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Qur`an dan sunnah Rasulullah saw jua. Seseorang hanya boleh mengambil yang baik dan menolak yang buruk daripada apa jua buku dab bahan bacaan sekalipun.

Jika ada kitab lain yang lebih besih dan baik kandungannya, serta tiada padanya kaedah-kaedah rawatan dengan mengamalkan ilmu hitam, maka kaedah itu lebih baik . Demikian pendapat Mufti Mesir yang dipetik dari Islamonline.net

Jawapan ini difahamkan, jika saudara tidak dapat membezakan antara ilmu hitam dengan ilmu-ilmu lain, sama ada kerana kurang maklumat tentang Islam atau kerana ada kecenderungan kepadanya, dinasihatkan agar anda tidak membeli dan membaca kitab-kitab itu. Sabda nabi saw: Jauhilah amalan yang meragukan anda, ambillah yang tidak meragukan.

Sehubungan ini saya fikir baik juga diterangkan jenis-jenis ilmu hitam yang haram dipelajari, kerana boleh memesungkan akidah. Saya terjemahkan di sini fatwa Syeikh Ahmad al-Sharbasi, seorang ulama yang terkenal di Azhar, dalam bukunya Yas`lunak fi al-Din wa al-Hayat katanya:

Apa jua jenis ilmu yang mendakwa bolah tahu perkara ghaib, semuanya dikategorikan sebagai ilmu hitam yang haram dipelajari atau dipercayainya, sama ada yang menggunakan kaedah hisab bintang, rajah, malihat tapak tangan, melukis pada pinggan mangkuk dan lain-lain. Kaedah ini banyak diguna oleh penipu-penipu yang berminat mencari rezeki dengan cara mudah, kadang-kadang ada yang membuat promosi khidmatnya secara profesional.

Jawapan ini dikeluarkan tetakala menjawab soalan sorang wanita yang bertanya, mengapa ia tidak diminati lelaki untuk mengahwininya, sehingga usianya meningkat lebih lanjut, padahal rupa parasnya biasa atau sederhana dan tiada unsur-unsur yang mengaibkan. Wanita itu bertanya lagi, sama ada benar atau tidak tuduhan seorang bomoh yang menyatakan ia terkena buatan orang yang tidak dikenali. Untuk merawati penyakit itu, bomoh tersebut menasihatkan agar suatu upacara rawatan dilakukan di atas kubur setelah berpuasa beberapa hari.

Jelas, betapa bahaya jawapan bomoh ini, kerana secara tidak langsung mendakwa tahu punca penyakit itu disebabkan buatan orang. Tuduhan ini tidak membantu wanita berkenaan menamatkan penderitaan jiwanya. Sebaliknya ia akan mencari siapa yang melakuakan perbuatan jahat itu dan akan mengsyakki sesiapa jua yang ada di hadapannya.

Bukankah lebih baik jika wanita ini dinasihatkan supaya berdoa kepada Allah, mohon kepadaNya supaya masalah yang ditanggungnya diafiatkan. Jelaskan bahawa semua masalah tidak dapat diselesaikan tanpa izin Allah. Dia yang menghidup dan mematikan, Dia juga Yang mengambil dan memberi.

Dakwaan bomoh, bahawa masalah wanita itu disebabkan buatan orang, adalah suatu pembohongan yang sangat berani. Mempercayai pembohongannya pula adalah salah dan berdosa. Sabda Nabi saw yang bermaksud:

Sesiapa yang mendatangi bomoh nujum, lalu membenarkan tilikannya, nescaya tidak diterima amalannya selama 40 hari.

Demikianlah Islam tidak pernah mengajar kita supaya merujuk kepada tukang tilik dan tukang nujum yang memangnya suka berdusta.

Wallah A`lam.

Petikan dari : http://www.drhayei.com/

2 comments:

  1. dimanakah boleh saya membeli kitab rumi tajul muluk ini? kawan saya memberikan kepada saya 10 tahun yg lepas tapi hilang selepas berpindah.

    ReplyDelete
  2. knpa tak bg jwpn simple je. buku ni kn dah diharamkn

    ReplyDelete

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts