SOALAN:
Selepas pelbagai usaha dilakukan, naik turun pejabat, jumpa wakil rakyat dan ke mahkamah, akhirnya rumah yang terbengkalai lebih lima tahun dapat diduduki. Bayangkan betapa zalimnya pemaju menyebabkan kami semua kena bayar pinjaman setiap bulan, dalam masa yang sama kena bayar sewa. Kami sekeluarga, pada mulanya tidak menghadapi masalah, tetapi setelah enam bulan tinggal, saya menyedari adanya sesuatu yang tidak kena.
Anak-anak sakit silih berganti tidak henti-henti. Suasana rumah menjadi muram, seumpama tidak ada penghayatan. Kami sekeluarga hakikatnya tidak ada masalah, tetapi saya sering bertengkar kerana punca yang kecil-kecil. Kadang-kadang seperti ternampak lembaga sekali imbas. Terbau bau kapur barus atau bau air longkang yang sangat busuk. Tidak ada bangkai, kucing mati atau tikus mati. Adakah ini perasaan saya semata-mata atau adakah apa yang saya rasai dan lihat itu sesuatu yang benar berlaku kerana kawasan itu begitu lama terbiar? -
JAWAPAN:
Allah s.w.t. menjelaskan seperti yang tersebut dalam al-Quran (al-A’raf:27), yang bermaksud: Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu, dari satu tempat yang kamu tidak berupaya melihat mereka. Kami telah jadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman.
Keterangan di atas memperakui bahawa makhluk-makhluk halus, iaitu jin-jin itu dapat melihat manusia, namun manusia dijadikan Allah pada umumnya tidak dapat melihat jin-jin. Terdapat perbezaan pendapat dan tafsiran mengenai makhluk ini, sama ada makhluk ini dapat dilihat oleh manusia ataupun tidak. Ada ulama menyatakan bahawa makhluk ini tidak dapat dilihat oleh manusia kecuali oleh Nabi, untuk membuktikan kenabiannya.
Ada pula pendapat menyatakan makhluk-makhluk ini dapat dilihat manusia. Makhluk ini pada dasarnya memang tidak dapat dilihat oleh mata manusia. Walaupun demikian, apa yang dijelaskan dalam ayat di atas tidak menafikan kemungkinan manusia boleh melihatnya, iaitu ketika makhluk tersebut menampakkan diri. Menurut Zuhair Hamawi (1994:193) di antara keistimewaan jin ialah keupayaannya melihat manusia, tetapi manusia tidak dapat melihatnya kecuali dalam keadaan tertentu, iaitu bukan dalam keadaan asal.
Manusia akan melihatnya ketika makhluk ini menjelma diri dengan rupa-rupa tertentu, bukan dalam keadaannya yang asal. Menurut Abu Usamah Muhyiddin, dalam bukunya bertajuk Alamu ‘i-Jinn Wa ‘sy-Syayatin, yang ditulis pada tahun 1994, Allah s.w.t menganugerahkan kepada jin-jin kemampuan untuk menjelma dan mengubah diri dalam berbagai-bagai bentuk. Iblis dan syaitan tidak akan menampakkan diri kepada manusia kecuali untuk menakut-nakutkan dan untuk mendatangkan kecelakaan.
Walaupun demikian, hal seumpama itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana makhluk ini juga takut kepada manusia iaitu kepada orang-orang tertentu, terutamanya mereka yang mempunyai kekuatan roh, bertakwa dan hampir (taqarub) kepada Allah s.w.t Latar belakang manusia itu sendiri menyebabkan iblis dan syaitan mudah menjelma dan menakut-nakutkan individu tertentu, terutamanya mereka yang jauh daripada mengingati Allah, lupa memohon perlindungan daripada-Nya, tidak melaksanakan kewajipan yang difardukan, berjalan di tempat-tempat sepi seperti di perkuburan pada waktu malam tanpa teman kerana tempat-tempat seumpama ini adalah di antara tempat kegemaran makhluk tersebut tinggal, tidak dalam keadaan suci, kerana suci itu adalah sebahagian daripada iman.
Syaitan takut kepada mereka yang mempunyai iman yang kuat dan cuba menjauhkan diri daripadanya. Andainya gangguan itu tetap berlaku, hal demikian merupakan pengecualian atau sesuatu yang jarang berlaku. Andainya perkara seperti ini ditakdirkan berlaku, insya-Allah iblis dan syaitan itu dapat ditewaskan.
Menurut Raji al-Asmar seperti yang tersebut dalam bukunya Asy-Syayatin, yang ditulis pada tahun 1991, muka surat 35-41, jin mempunyai keupayaan menjelmakan diri berupa manusia, binatang berkaki empat, ular, jengking juga burung. Kebanyakan jin menjelma menyerupai anjing hitam atau kucing hitam. Pendapat ini disokong oleh Ibu Taimiyah kerana hitam itu memperlihatkan kekuatan syaitan dan kekuatan membakar.
Jin juga ada kalanya menjelma seperti ular. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w menegah daripada membunuh ular yang masuk dalam rumah (hayyatu ‘i-buyut), ditakuti ular yang terbunuh itu adalah jin yang telah Islam. Menurut Umar Sulaiman Al-Asyqar seperti yang tersebut dalam bukunya Alami ‘i-Jinn ( 1985, muka surat 25), tegahan membunuh yang dimaksudkan hanya khusus kepada ular, iaitu ular yang masuk dalam rumah. Ular yang terdapat di luar rumah boleh dibunuh. Beliau menambah, andainya seseorang itu melihat ular yang masuk dalam rumah, dia hendaklah menyuruhnya keluar dengan menyebut ungkapan yang bermaksud: Aku bersumpah ke atasmu dengan nama Allah, agar kau keluar dari rumah ini, dan agar kau jauhkan kejahatanmu daripada kami, kalau tidak kami akan bunuh akan dikau’’.
*Jelmaan
Sekiranya ular itu masih di dalam rumah, ataupun datang lagi selepas tiga hari, ia boleh dibunuh, kerana diyakini bahawa ular itu bukan jelmaan jin. Ular yang bukan jelmaan boleh dibunuh. Begitu juga andainya ular itu daripada jelmaan jin jahat yang terus menerus ada di dalam rumah, menjelmakan diri setelah diberi tempoh tiga hari kerana ia menyakiti dan menakut-nakutkan penghuni rumah.
Dalam sebuah hadis riwayat daripada Muslim dan Abu Daud daripada Abi Said al-Kuhdri, ia berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w: Ular itu adalah daripada jin, maka barang siapa melihat akan dia dalam rumahnya, ia hendaklah menyuruhnya keluar tiga kali, sekiranya ia datang lagi, maka dia hendaklah membunuhnya kerana ia adalah syaitan. Telah diberitahu oleh Bakr al-Ghindiy, daripada Mujahid ia menyatakan bahawa syaitan terus-menerus menjelmakan dirinya ketika ia mendirikan sembahyang seperti rupa seorang lelaki bernama Ibn Abbas, lalu dia bersedia meletakkan pisau di sisinya. Syaitan itu menjelmakan dirinya lagi, lalu ditikam dan jatuh. Ia menyatakan bahawa selepas peristiwa itu ia tidak lagi melihat makhluk berkenaan.
Muhammad bin Abdul Jabar Al-Utibiy telah memberitahu bahawa Ibn Az-Zubair, iaitu seorang penunggang kuda berbangsa Quraisy yang banyak menyimpan kitab-kitab hadis melihat seorang lelaki panjangnya lebih kurang dua jengkal di atas tempat duduk kenderaannya. Lalu ia bertanya: Siapa engkau? Makhluk itu menjawab, “Izb”. “Adakah kau daripada golongan jin? Tanya lagi, lalu dipukulnya kepala makhluk tadi dengan sebatang kayu menyebabkan makhluk itu lari lintang-pukang.
Menurut Raji Al-Asmar lagi, pada umumnya jin itu boleh menjelmakan dirinya dengan rupa manusia seperti yang berlaku dalam peperangan Badar, di mana syaitan menjelma seperti rupa Suraqah bin Malik dan menjanjikan kemenangan kepada kaum musyrikin Quraisy, berupaya menjelmakan diri seperti rupa binatang di mana kebanyakannya menjelma seperti ular dan anjing hitam. Jelmaan lain ialah seperti rupa manusia separuh binatang. Hadis daripada Said bin Abi Waqas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh agar seseorang itu melaungkan azan apabila ia melihat jin.
Pada dasarnya manusia tidak berupaya melihat jin-jin, tetapi dalam keadaan tertentu, manusia boleh melihatnya, setelah makhluk ini menjelma, menyerupai objek-objek tertentu dengan izin Allah. Menurut Zubair Hamawi dalam bukunya Al-Insan Bayna ‘s’-Sihr, (1994, muka surat 193), makhluk ini tidak dapat dilihat dalam bentuknya yang asal kerana jasad jin itu adalah ringan, halus seperti angin.
Menurut Aqadi Abu Ya’li pula, syaitan tidak berupaya mengubah bentuk dan bertukar daripada satu rupa kepada rupa lain. Yang membolehkan terjadi demikian ialah kerana mereka diajar kalimah-kalimah sihir ataupun perlakuan tertentu kerana itu apabila ia dilakukan, Allah menukar bentuknya daripada satu rupa kepada rupa yang lain.Walaupun demikian, makhluk ini tidak berupaya menjelma menyerupai rupa Rasulullah s.a.w.
Namun demikian, bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w sering menjadi kekeliruan apabila iblis dan syaitan itu menjelma menyerupai orang-orang tertentu seperti rupa Abu Lahab ataupun Abu Jahal, lalu menjelmakan dirinya dalam mimpi seseorang dengan mendakwa yang dirinya adalah Rasulullah s.a.w. Dalam kehidupan sekarang ini, tidak ada orang yang dapat membezakan antara rupa Rasulullah s.a.w dengan rupa Abu Lahab ataupun Abu Jahal. Kerana itu mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w daripada jelmaan jin-jin yang menyerupai Abu Lahab atau Abu Jahal yang mengaku dirinya Rasulullah s.a.w sering dianggap benar.
*Sihir
Apa yang jelas, apabila jin-jin itu menjelma kepada satu rupa dan dapat dilihat oleh manusia, padahal ia tidak berupaya lari daripadanya, ia mungkin dapat ditangkap ataupun dibunuh. Begitulah yang pernah berlaku seperti yang tersebut dalam hadis Abu Hurairah yang diamanahkan menjaga harta sedekah iaitu kurma. Dalam peristiwa ini, jin mencuri kurma yang dijaganya dan dapat menangkapnya. Sekiranya makhluk jin itu berupaya menukar kembali kepada asal kejadiannya, nescaya ia tidak dapat ditangkap oleh manusia kerana ketika itu dia berupaya kembali kepada nature kejadian asalnya.
Saidina Umar r.a. berkata, bahawa tidak ada seorang pun yang berkeupayaan mengubah daripada rupanya yang asal, yang diciptakan Allah. Namun demikian ia boleh berlaku kerana sihir seperti yang berlaku di kalangan manusia yang melibatkan diri dengan sihir. Kerana itu andainya manusia melihatnya, mereka hendaklah melaungkan azan. Berdasarkan keterangan di atas, pada hukum asalnya hanya jin-jin yang boleh melihat manusia seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, namun dalam keadaan tertentu manusia juga boleh melihat jin-jin. Kerana itu apa yang puan alami tidak semestinya khayalan semata-mata. Puan mungkin terlihat makhluk daripada golongan jin-jin .
Di antara tempat kegemaran jin-jin tinggal ialah di jamban, tempat sembelihan binatang, tempat jauh daripada manusia seperti hutan belantara, di lembah-lembah, gunung-ganang, kubur-kubur termasuk tempat yang dianggap keramat, tempat kotor seperti tempat buangan sampah juga tempat-tempat kosong yang tidak dihuni oleh manusia.
Apabila jin-jin itu tinggal, menghuni atau tidur baring di tempat buangan sampah, ia akan bergelumang dengan pelbagai kotoran di tempat berkenaan, dengan sampah sarap, bangkai, bahan-bahan najis yang busuk dan sebagainya. Apabila jin-jin ini dipanggil oleh manusia, dengan cara-cara tertentu yang mempunyai ilmu untuk memanggilnya, maka jin tersebut, yang menjadi sahabat kepada manusia tadi akan datang untuk melakukan sesuatu yang “diperintahkan’’ oleh manusia. Untuk menyakiti, mengganggu dan sebagainya.
Apabila ini berlaku, maka jin atau jin-jin yang dipanggil tadi akan datang bersama bau di mana ia tinggal sama ada bau hanyir, darah, nanah dan sebagainya. Ditakdirkan makhluk tersebut berdiri di belakang seseorang, maka bau tersebut akan dapat dihidu oleh orang yang berkenaan ataupun oleh orang lain juga. Kehadiran bau seperti yang dijelaskan ini adalah di antara simptom menunjukkan bahawa apa yang berlaku adalah salah satu tanda berlakunya sihir atau gangguan.
Begitu juga halnya dengan jin atau jin-jin yang datang menghuni tempat-tempat tertentu tanpa penglibatan manusia termasuk rumah kosong yang menyebabkan bau-bau tertentu seperti yang puan alami.
Penulis: Dr. Amran Kasimin
Penerbitan asal: Mingguan Malaysia 3 September 2006
url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/19320
As-Syifa' Melaka : 013-2006363
No comments:
Post a Comment