ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam. Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.
Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.
``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.
Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil. Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.
``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.
``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.
Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.
Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.
Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut. Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.
Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.
Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.
GEJALA RESDUNG :
* Hidung tersumbat* Lendir daripada hidung dan tekak
* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata
* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang
* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas
* Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.
PUNCA RESDUNG :
* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit
* Hidung bengkok
* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor
* Jangkitan gigi atas
* Ketumbuhan di dalam hidung
* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas
* Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.
KOMPLIKASI RESDUNG :
* Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata
* Jangkitan otak (meningitis)
* Sakit tekak yang kronik
* Jangkitan tulang muka
* Memburukkan keadaan lelah
* Berdengkur yang kronik
* Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak
* Alahan hidung atau hidung sensitif
* Selesema biasa yang melarat.
Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.
* Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)
* Ubat selesema
* Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung
* Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.
* Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan
*Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan
* Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung
* Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air
* Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap
* Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya
* Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi
* Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan
* Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.
DOA PENGUBATAN ISLAM
1. Al-Fatihah
2. Selawat Syifa'
3. Surah Al-Isra' ayat 82
4. Doa Penyembuh
Dibacakan semua kombinasi ayat di atas sebanyak 7 kali dan juga sambil mengurut hidung pesakit dari atas ke bawah sebanyak 7 kali juga. Moga Allah swt menyembuhkan pesakit yang dialami selama ini.
As-Syifa' Melaka :013-2006363
Assalamualaikum..maaf bertanya.
ReplyDeleteboleh terangkan dgn jelas apakah selawat syifa' dan doa penyembuh?
terima kasih..