FOLLOWERS

Sunday, July 25, 2010

BATASAN-BATASAN SYARAT BERUBAT DENGAN JAMPI DAN TANGKAL (Bahagian Akhir : Penjelasan Mufti Brunei)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
3) Hendaklah penjampi beriktiqad bahawa yang menyembuhkan ialah Allah Subhanahu wa ta‘ala:

Para ulama bersepakat mengatakan, penjampi hendaklah beriktiqad bahawa yang berkuasa menyembuhkan dan menolak kemudaratan ialah Allah Subhanahu wa ta‘ala. Jampi itu sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan, akan tetapi kesembuhan, terselamat daripada bahaya bencana dan sebagainya semuanya dengan izin Allah Ta‘ala. Ini kerana yang menurunkan penyakit itulah juga yang menurunkan ubat dan menolak segala bala bencana iaitu Allah ‘Azza Wa Jalla.

Oleh itu, barangsiapa yang beriktiqad bahawa jampi itu sendiri mempunyai kuasa untuk menyembuh, menolak kemudaratan atau mendatangkan manfaat maka sesungguhnya dia telah sesat dan melakukan dosa yang amat besar yang tidak diampunkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala iaitu dosa syirik yakni menyekutukan Allah dengan makhlukNya. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Kalau demikian, apa fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan kepadaku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku)! KepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah dirinya.”

(Surah Az-Zumar, ayat 38)

Melalui ayat di atas, Allah Ta‘ala menujukan kata-kataNya kepada golongan musyrik, di mana mereka itu mengakui bahawa Allah ‘Azza wa Jalla adalah Pencipta segala sesuatu, akan tetapi mereka memohon doa dan menyembah selain Allah untuk menolak kemudaratan dan bala bencana, sedangkan apa yang mereka sembah itu tidak mampu untuk mencegah daripada mereka sebarang kemudaratan dan tidak mampu pula memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Di dalam hadits shahih diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda meminta perlindungan bagi setengah ahli keluarganya Baginda akan mengusap dengan tangan kanannnya sambil berdoa:
Maksudnya:

“Ya Allah, Tuhan manusia, hilangkanlah penderitaan, sembuhkanlah dia, Engakaulah yang menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhanMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sakit.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Daripada hadits di atas Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam memberi petunjuk bahawa setiap ubat dan pengubatan tidak akan mendatangkan manfaat kesembuhan jika tidak dengan izin Allah Ta‘ala. Maka yang berkuasa menyembuhkan itu ialah Allah ‘Azza wa Jalla.

4) Hendaklah penjampi itu orang yang berpengetahuan tentang cara-cara pengubatan dengan jampi yang dibenarkan syara‘:

Sebenarnya, dalam apa pun bidang apabila kita hendak meminta bantuan khidmat tertentu kita mestilah pergi mencari orang yang ahli dan tahu mengenai bidang tersebut. Maka begitu juga dengan bidang perubatan dengan jampi perlulah orang itu terdiri daripada orang yang tahu dan belajar mengenai perubatan dengan jampi yang dibenarkan oleh syara‘.

Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan bahawa jampi merupakan ilmu yang berkehendakkan ianya dipelajari untuk menjadikan seseorang itu pandai dan tahu mengubat dengan menggunakan jampi. Diriwayatkan daripada Asy-Syifaa’ binti Abdullah, dia berkata: “Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam pernah berjumpa menemuiku sedang aku di sisi Hafshah, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya :

“Tidakkah kamu ajarkan Hafshah mentera penyembuh cacar akibat gigitan semut sebagaimana kamu ajarkannya menulis.”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Ketiga- Batasan-batasan syara‘ khusus bagi orang yang dirawat:

1) Hendaklah dia beriktiqad bahawa yang menyembuhkan ialah Allah subhanahu wa ta‘ala:

Sebagaimana halnya dengan penjampi, maka begitu juga dengan orang yang dirawat dengan jampi dia mestilah beriktiqad bahawa yang mempunyai kuasa menyembuh dan menolak segala bahaya bencana itu ialah Allah subhanahu wa ta‘ala.

2) Memelihara jampi atau tangkal dari sebarang perkara yang keji:

Hendaklah orang yang dirawat itu memelihara jampi atau tangkal yang digunakannya daripada perkara-perkara yang hina atau keji, kerana jampi atau tangkal itu mengandungi ayat-ayat al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha Suci.

Jika tangkal yang dipakai itu digantung di badan, maka bungkuslah dengan elok supaya tidak terkena najis atau kotoran. Jangan dibawa masuk ke dalam tandas, jangan dilangkahi atau diduduki dan ketika berjima‘ dengan isteri hendaklah ditanggalkan.

Kalau ianya merupakan air untuk diminum yang dibacakan ke atasnya jampi, maka elok membaca Bismillah pada setiap kali pernafasan ketika dia minum sambil berniat mengikut kehendak masing-masing tujuan dia berubat, kerana sesungguhnya Allah akan mengurniakan atau menunaikan kehendaknya mengikut apa yang diniatkan.

Jika air tersebut khusus untuk dibuat mandi, maka jangan dicurahkan di tempat yang kotor atau yang bernajis, dan jangan dicurahkan di tempat yang dipijak-pijak. Akan tetapi seeloknya dicurahkan di tempat yang bersih dan tidak dipijak-pijak.

3) Menghindarkan diri dari melakukan perkara yang mendatangkan dosa:

Di antara perkara yang mesti dijaga bagi orang yang menerima rawatan ialah menjaga dirinya daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan dosa, sama ada dosa kecil apatah lagi dosa besar, khususnya dalam tempoh menerima rawatan, kerana melakukan ketaatan dan menghindarkan maksiat merupakan cara atau jalan rawatan yang paling berkesan.

Al-Imam Ibn Al-Qaiyim pernah berkata: “

Di antara jalan yang lebih berkesan dalam pengubatan ialah dengan membuat kebajikan dan ihsan, berzikir (mengingati Allah), berdoa, merendah diri dan memohon dengan sepenuh hati kepada Allah serta bertaubat. Semua ini memberi kesan dalam menolak berbagai penyakit dan menghasilkan kesembuhan, dan ianya lebih berkesan berbanding ubat biasa.”

Sebagai suatu rumusan, Islam ketika meletakkan beberapa batasan mengenai rawatan dengan jampi dan tangkal bukan saja bermaksud untuk menjadikan rawatan tersebut lebih berkesan, akan tetapi yang lebih besar daripada itu ialah ianya bermaksud untuk memelihara tujuan induknya iaitu menjunjung perintah Allah dan tidak melampaui sempadan laranganNya dan seterusnya menyumbang kepada pemantapan aqidah supaya tidak terseleweng daripada landasan yang sebenar.

Sumber : Mufti Brunei

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG