FOLLOWERS

Tuesday, July 27, 2010

EDISI KHAS : PUASA RAMADHAN (SIRI2 )

IBADAT PUASA DI BULAN RAMADHAN

Firman Allah Taala:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (1)

Firman-Nya lagi:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. ". (2)
____________________________
1. Ayat 183, Surah Al-Baqarah.
2. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.

Berpuasa pada bulan Ramadhan - sebagaimana yang sedia maklum - ialah "rukun Islam yang keempat". Dalilnya dari al-Qur'an ialah ayat-ayat suci yang diterangkan di atas dan dari hadith pula seperti berikut:

 
1- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)


1- Dari Ibn Umar, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah".(1) (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Menurut sejarahnya puasa bulan Ramadhan telah difardhukan atas umat Islam dalam bulan Sya'aban, tahun yang kedua Hijriyah.
_________________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:177).


TA'RIF PUASA DAN KELEBIHANNYA

Puasa ertinya menahan diri, dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat.

Membendung Kemahuan Hawa Nafsu

Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.

"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.

"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam."(1)
__________________________________
1. Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).


KELEBIHAN PUASA SECARA UMUM

Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:
2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)

2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.
_______________________________
1. Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

 
3- عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)


3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api ... (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
_______________________________
1. Al-Targhib (2:87).

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

 
4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)


4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an) .. (1).

(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)
_________________________________
1. Kitab yang sama (2:84).

Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)

5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya .. (1)
(Hadith Riwayat Tabrani)
_______________________________
1. Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.


KELEBIHAN PUASA RAMADHAN SECARA KHUSUS

Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:


6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)

6- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat orang-orang itu di dalam syurga (2)_________________________________
1. Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181).
3. Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).

Firman Allah Taala:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ ..

"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. (1)

1. Ayat 185, Surah al-Baqarah.


KELEBIHAN BULAN RAMADHAN DAN KEISTIMEWAANNYA DITERANGKAN PULA DALAM HADITH YANG BERIKUT :

7- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga".(1)


(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
______________________________
1. Fath al-Bari (5:14).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:




8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)


8- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)


Menurut huraian ulama' rahimahumullah., bahawa terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, serta terbelenggunya syaitan-syaitan di sepanjang bulan Ramadhan, boleh difaham menurut maksudnya yang zahir untuk menghormati bulan yang mulia itu. Dan boleh juga difahamkan sebagai satu gambaran bahawa orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan berbagai jenis ibadat - yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.
______________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:1 87).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:



9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ. (رواه الترمذي والنسائي)


9- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." (1)
(Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)

Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, malaikat menyeru umat manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya.

Malaikat juga menerangkan dalam seruannya itu tentang kemurahan Allah Taala membebaskan orang-orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab seksa. Mudah-mudahan peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya. (2)_______________________
1. Al-Targhib (2:97) - Hadith Sahih menurut keterangan al-Hakim.
2. Mastika Hadith (1:79).

Lebih lanjut diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:


10- عَنْ سَلْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطُوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيهِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعَينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةِ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ، وَشَهْرٌ يُزَادُ فِي رِزْقِ الْمُؤْمِنِ فِيهِ، مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلَّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ أَوْ عَلَى شَرْبَةِ مَاءٍ أَوْ عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ، وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلَهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، مَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ فِيهِ غَفَرَ اللَّهُ لَه وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ، وَاسْتَكْثِرُوا فِيهِ مِنْ أَرْبَعِ خِصَالٍ: خَصْلَتَيْنِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ وَخَصْلَتَيْنِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ فَشَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَتَسْتَغْفِرُونَهُ، وَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الْجَنَّةَ وَتَعُوذُونَ بِهِ مِنَ النِّارِ، وَمَنْ سَقَى صَائِمًا سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ. (رواه ابن خزيمة في صحيحه)


10- Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya (1): "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).

"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga; ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".

"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".

"Sababat-sababat Baginda berkata: "Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. " Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. "Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".

"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".

"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah: Pertama - mengucap:


أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله

Kedua - (banyakkanlah) beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:

أستغفر الله

Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga, serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:

نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.

"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.(2)

(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Demikian mulianya dan berkatnya bulan Ramadhan dan demikian pula besarnya pahala yang diberikan bagi tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan di sepanjang bulan yang membawa rahmat itu.
__________________________
1. Yakni sesudah memuji Allah seperti yang lazim dilakukan pada tiap-tiap khutbahnya.
2. Al-Targhib (2:94) dan Misykat al-Masabih (1:615) dengan berlainan sedikit lafaznya

http://www.islam.gov.my/dircportal/mastika/tbljilid3list.php?start=3MASTIKA HADITH


MASALAH RUKYAH

Firman Allah Taala:

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..


" .. Sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .." (1)


Rukyah sebagaimana yang sedia diketahui ialah melihat anak bulan.


Menurut hukum syarak: Sabitnya bulan Ramadhan ialah dengan jalan rukyah (atau mengetahuinya melalui sebaran am). Kalau tidak nampak, kerana anak bulan Ramadhan dilindungi awan, maka hendaklah disempurnakan bilangan bulan Sya'aban tiga puluh hari.


Demikian juga halnya mengenai bulan Syawal.
_____________________
1. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.


Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


11- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ رَمَضَانَ فَقَالَ لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ. (رواه البخاري ومسلم)


11- Dari Abdullah bin Umar r.a.h., bahawa Rasulullah s.a.w., telah menyebutkan perihal bulan Ramadhan lalu bersabda: "Jangan kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan jangan kamu berhari raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal, kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
_____________________
1. Fath al-Bari (5:22) dan Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:188).


Yakni kirakanlah bulan Sya'ban dari awalnya dan sempurnakanlah bilangannya tiga puluh hari, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadith yang berikut:


12- فَإِنْ أُغْمِيَ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ ثَلَاثِينَ. (رواه مسلم)


12- ".. Kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya tiga puluh hari".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
_______________________
1. Kitab yang sama (7:189).


Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, rahimahullah dari Abdullah bin Umar juga. Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:


13- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ. (رواه البخاري ومسلم)


13- Dari Abu Hurairah r.a., katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari-rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal, kalau ia terlindung dari penglihatan kamu maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya'ban tiga puluh hari."(1)


(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim).


Demikianlah "masalah rukyah" sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith-hadith ini dan hadith-hadith yang lain. Sebab itulah apabila timbul sesuatu fahaman yang bertentangan dengan dasar rukyah maka fahaman itu tidak berkesan, kerana jumhur ulama' rahimahumullah, telahpun menjawabnya satu persatu.(2)

Kesimpulannya:

Dalam masalah ini, "rukyah" adalah perkara asasi, manakala kiraan hisab (falak syar'i) hanya sebagai pembantu sahaja dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hakikat ini telah diputuskan dalam muktamar-muktamar Islam sedunia yang telah berlangsung di Istanbul (1978) dan di Amman - Jordan (1986).(3)
___________________________
1. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Nasa'i dari Ibn Abbas dan al-Tabrani dan al-Barra' r.a. (Ittihaf Ahl al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 56).
2. Antara lain lih. Fath al-Bari (5:22) dan Bidayata al-Mujtahid (1:284).
3. Tarikh persidangan kedua-dua muktamar itu disebutkan oleh Dr. Abdullah Ibrahim, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar'i, dalam kertas kerjanya yang telah dibentangkan dalam seminar yang berlangsung di Pusat Islam.


MASA MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN

 
Masa melihat anak bulan Ramadhan sebagaimana yang sedia maklum ialah pada dua puluh sembilan hari bulan Sya'aban, sebelah petangnya, semasa matahari terbenam, kerana bulan ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari, seperti yang diterangkan dalam hadith-hadith yang berikut:

14- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّهْرُ تِسْعَةٌ وَعِشْرُونَ فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ. (رواه الإمام الشافعي)

14- Dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bulan itu dua puluh sembilan hari, maka janganlah kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan janganlah kamu berhari-raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal, kalau ia terlindung dari penglihatan kamu, maka sempurnakanlah bilangan (bulan itu) tiga puluh hari".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Al-Syafi`i)

Dalam sebuah hadithnya yang lain, Baginda menegaskan lagi, maksudnya: Bahawa bulan itu ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari.(2)

Bahkan kebanyakan puasa Rasulullah s.a.w semasa hayatnya ialah 29 hari berbanding dengan puasanya 30 hari.(3)

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah bulan 29 hari ada kalanya berturut-turut selama dua bulan ada kalanya selama tiga bulan dan ada kalanya selama empat bulan, tetapi tidak berlaku lebih daripada empat bulan. (4)
________________________
1. Musnad al-Imam al-Syafi`i (1:272).
2. Hadith Sahih riwayat Muslim dan Ibn Umar r.a. (Ibanat al-Ahkam, 2:371).
3. Demikian dinyatakan oleh Ibn Mas'ud r.a., `Aun al-Ma`bud (6:436).
4. Tuhfat al-Ahwadzi (3:371).

 
PERTALIAN BULAN SYA'BAN DENGAN BULAN RAMADHAN

Untuk melakukan rukyah anak bulan Ramadhan dengan cara yang betul, terlebih dahulu mahulah diketahui bilangan hari bulan Sya'ban.

Ini dinyatakan dalam hadith yang berikut:

15- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْصُوا هِلَالَ شَعْبَانَ لِرَمَضَانَ. (رواه الترمذي)


15- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hitunglah (dengan bersungguh-sungguh) bilangan hari bulan Sya'ban untuk (mengetahui dengan betul masuknya) bulan Ramadhan. "(1)

(Riwayat Tirmizi)
________________________
1. Kitab yang sama (3:368), menurut pengulasnya, al-'Alamah al-Mubarakafuri, rahimahullah, hadith ini Hadith Sahih.

Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:

16- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَفَّظُ مِنْ شَعْبَانَ مَا لَا يَتَحَفَّظُ مِنْ غَيْرِهِ ثُمَّ يَصُومُ لِرُؤْيَةِ رَمَضَانَ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْهِ عَدَّ ثَلَاثِينَ يَوْمًا ثُمَّ صَامَ. (رواه أبو داود)

16- Dari `Aisyah r.a. katanya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh menghitung bilangan hari bulan Sya'ban, dengan tidak melakukan yang demikian terhadap bulan-bulan yang lain, kemudian Baginda berpuasa setelah melihat anak bulan Ramadhan; kalau anak bulan itu terlindung disebabkan awan, maka Baginda menghitung tiga puluh hari (bagi bulan Sya'ban) kemudian Baginda berpuasa (pada hari esoknya)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Abu Daud)
__________________________
1. 'Aun al-Ma'bud (6:444).


DOA SEMASA MELIHAT ANAK BULAN:

Menurut huraian ulama', rahimahullah semasa melihat anak bulan, ada baiknya membaca doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w., seperti berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ .

"Allah Maha Besar, Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah bulan yang baharu terbit ini membawa kepada kami keamanan dan keimanan, membawa keselamatan dan keislaman, dan juga membawa taufiq kepada perkara yang Engkau sukai dan redhai Tuhanku dan Tuhanmu (wahai bulan) ialah Allah".(1)

Baginda juga biasanya berdoa semasa melihat anak bulan Rejab dan Sya'ban secara khusus, seperti berikut:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ.

"Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadhan. "(2)
__________________________
1. Doa ini berdasarkan Hadith Sahih - riwayat al-Darimi dan Ibn Hibban. (Mughni al-Muhtaj, 1:423 dan Ittihaf Ahl al-Islam bi Khususiyat al-Siyam, 73).
2. Ini diterangkan dalam hadith riwayat Tabrani dan lain-lainnya dari Anas r. a., (kitab yang sama 74). Dalam hadith ini juga Baginda memohon dipanjangkan umur sehingga dapat menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan selamatnya. Ini dapat difaham dengan jelas dari sabdanya yang bermaksud: "Dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadhan. "

Sabitnya Rukyah Bulan Ramadhan Dengan Seorang Saksi:

Menurut jumhur ulama' (termasuk alim ulama' dari mazhab Syafi'i) bahawa sabitnya rukyah bulan Ramadhan cukuplah dengan seorang saksi sebagaimana yang dapat difaham dan hadith Ibn Umar (1) dan hadith Ibn Abbas (2), r.a.

Sebaliknya sabitnya rukyah bulan Syawal, menurut jumhur ulama' (termasuk keempat-empat imam mazhab yang empat) hendaklah dengan dua orang saksi sebagaimana yang dapat difaham dari hadith-hadith yang berhubung dengannya. Di antaranya empat buah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam "Musnad"nya.(3)

Saksi itu pula disyaratkan (menurut mazhab Syafi'i) hendaklah ia seorang lelaki, Islam, baligh, berakal, merdeka dan adil, walau pada zahirnya (4) dan hendaklah ia mengaku di hadapan qadhi atau hakim bahawa ia telah melihat anak bulan. Dalam pada itu, orang ramai tidak diwajibkan berpuasa melainkan setelah pengakuannya itu didengar dan disahkan oleh hakim (untuk diisytiharkan kepada umum).(5)
__________________________________
1. Riwayat Abu Daud diakui sahih oleh al-Hakim dan Ibn Hibban, (Ibanat al-Ahkam, 2:373 dan Subul al-Salam, 2:152).
2. Kitab yang sama (2:374) riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya dan diakui sahib oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban, manakala Imam a1-Nasa'i lebih berat kepada mengatakan Hadith Mursal.
3. Al-Fath al-Rabbani (9:269).
4. Yakni asalkan ia seorang muslim yang baik pada zahirnya dan tidak nyata fasiknya.
5. Al-Fiqh 'ala al-Madzahib al-Arba`ah (1:549).

Hukum Rukyah Mengenai Negeri-Negeri Yang Berdekatan Dan Negeri-Negeri Yang Berjauhan:

Masalah ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


17- عَنْ كُرَيْبٍ أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ فَقُلْتُ أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لَا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه مسلم)

17- Dari Kuraib, bahawa Ummu al-Fadhlu binti al-Harith, telah mengutusnya kepada Muawiyah di negeri Syam.

Kuraib berkata lagi: Aku pun bertolak dan sampai di negeri Syam lalu aku selesaikan perkara yang ditugaskan oleh Ummu al-Fadhl. Semasa aku berada di negeri Syam masuklah bulan Ramadhan lalu aku melihat anak bulan pada malam Juma'at, kemudian aku kembali dan sampai di Madinah pada akhir bulan. Lalu Abdullah bin Abbas r.a., bertanyakan (khabar berita) kepada aku, kemudian ia menyebut tentang anak bulan katanya: "Bila kamu (dan penduduk negeri Syam) melihat anak bulan?".

Aku menjawab: "Kami telah melihatnya pada malam Juma'at". Ibn Abbas bertanya lagi: "Engkau sendiri melihatnya?"

Aku menjawab: "Benar, dan orang ramai juga melihatnya dan mereka telah berpuasa termasuk Muawiyah".

Ibn Abbas berkata: "Tetapi kami telah melihatnya pada malam Sabtu, oleh itu, kami masih meneruskan puasa sehingga kami sempurnakan tiga puluh hari atau kami melihat anak bulan Syawal"

Aku pula bertanya: "Tidakkah tuan berpada dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?"

Ibn Abbas menjawab: "Tidak, demikianlah kami diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa negeri-negeri yang berjauhan diwajibkan berpuasa menurut rukyah masing-masing.

Berdasarkan hadith ini, alim ulama' dari mazhab Syafi'i menyatakan: Apabila rukyah sabit dalam sesebuah negeri maka hukumnya meliputi negeri-negeri yang berdekatan yang bersamaan matla'nya, tetapi tidak meliputi negeri-negeri yang berjauhan, kerana berlainan matla'nya.

Sebaliknya jumhur ulama' dari mazhab-mazhab yang lain menyatakan: Apabila sabit rukyah dalam sesebuah negeri, maka wajiblah atas seluruh negeri-negeri yang lain memegang puasa bersama, sama ada negeri-negeri itu berdekatan atau berjauhan, apabila berita rukyah itu sampai kepada mereka. (2)

Pihak jumhur berpegang kepada hadith yang maksudnya: "Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal .." kerana ini - kata mereka - adalah perintah umum kepada umat Islam seluruhnya. Apabila penduduk sesebuah negeri melihatnya maka hukumnya meliputi seluruh negeri-negeri yang lain.(3)
___________________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:197). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi.
2. Al-Fiqh ala al-Madzahib al-Arba`ah (1:550).
3. Fiqh al-Sunnah (1:436).

http://www.islam.gov.my/dircportal/mastika/tbljilid3list.php?start=3MASTIKA HADITH

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG