FOLLOWERS

Thursday, July 8, 2010

AS-SYIFA' MELAKA : IBLIS GUNAKAN UNSUR ISLAM SESATKAN MANUSIA

SOALAN:


Bapa saudara saya sakit teruk tidak lama setelah pencen, berjalan pada waktu malam, meracau seumpama orang tidak siuman. Setelah beberapa tahun beliau sembuh seperti biasa, peliknya, beliau giat mengubati orang.


Beliau seorang yang begitu ceria, mudah berbual. Satu keistimewaannya ialah mengetahui perkara-perkara ghaib. Beliau juga mendakwa boleh berhubung dengan sesetengah roh orang mati, mempunyai kekuatan menahan penderitaan, sama seperti yang berlaku pada Nabi Ayub. Semuanya berlaku melalui mimpi, iaitu maunah daripada Allah. Beliau juga memberitahu apa yang tersirat pada pemikiran saya, iaitu tidak percayakan apa yang dia cakap. Dia tidak marah atau menaruh hati, kerana saya tidak tiba ke taraf memahami ilmu kebatinan miliknya. Saya menjadi terkeliru.


JAWAPAN :


Mimpi merupakan salah satu sumber memperoleh ilmu kebatinan Melayu. Di kalangan dukun Melayu sesetengah proses pembelajaran ini dikenali sebagai ``kedatangan''. Mereka yang terlibat biasanya terdiri daripada orang yang mempunyai latar belakang keluarga yang mempunyai ilmu kebatinan.


Mereka yang sakit berpanjangan akibat gangguan ataupun sihir, juga mereka yang mempelajari ilmu yang melibatkan makhluk-makhluk halus secara langsung atau tidak langsung. Mereka yang sakit akibat gangguan, ataupun sihir selalunya akan mengalami tanda-tanda sihir, di antaranya ialah masalah gangguan tidur malam, bermimpi melihat jin dengan rupa yang menakutkan, tercium bau busuk, hanyir atau wangi yang tidak berpunca, didatangi oleh makhluk-makhluk ganjil, didatangi binatang bisa seperti ular, kala jengking, ulat bulu dalam atau di luar rumah, atau binatang yang tidak bisa seperti katak, belalang, lalat dan sebagainya. Berlaku kejadian-kejadian ganjil seperti lampu rumah meletup serentak, pintu rumah terbuka atau tertutup sendiri dan sebagainya, termasuk penderitaan yang berpanjangan pada jasad, biarpun setelah puas berubat di merata tempat.


Ketika tidur, pesakit sering bermimpi didatangi lembaga manusia dengan rupa menakutkan menghambatnya, menyebabkan dia terjatuh dalam air, lembaga binatang seperti buaya, harimau atau lembaga besar, hitam lagi mengerikan, ataupun lembaga manusia yang dikenali yang pernah ditemui yang sering dikaitkan dengan orang yang melakukan sihir. Pada waktu-waktu lain, pesakit mungkin akan didatangi oleh lembaga lelaki yang mempunyai perwatakan berlainan dengan lembaga-lembaga yang muncul dalam mimpi sebelum itu. Lembaga ini menonjol, menjelmakan diri seperti orang alim, berjubah warna putih atau hijau, memegang tasbih dan sebagainya memberi panduan bagaimana hendak merawat diri sendiri yang akhirnya pesakit tetap didatangi oleh lembaga-lembaga yang menakutkan dan menyakiti, tetapi dengan panduan dan amalan yang diberi oleh lelaki yang berkenaan, lembaga yang menyakiti itu lama-kelamaan hilang, manakala sakit yang dideritai semakin pulih.


Keadaan seumpama ini menimbulkan keyakinan bahawa lembaga yang kedua tadi adalah terdiri daripada makhluk ghaib, yang dihantar Allah, yang berperanan sebagai penyelamat. Segala-galanya berlaku hasil maunah (pertolongan) Allah melalui mimpi. Dalam keadaan menderita sakit begitu lama dan berubat, pesakit terlalu mengharapkan kesembuhan dan pertolongan. Kerana itu apabila makhluk terkemudian ini datang dalam mimpi, segala nasihat, petua dan amalan akan dilakukan dengan penuh keyakinan, lebih-lebih lagi apabila didapati di antara amalan yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan puasa, sembahyang malam, bersedekah kepada fakir miskin, bersifat ikhlas dan sebagainya.


Dalam situasi seperti ini, pesakit tersebut diberi kekuatan melalui doa-doa yang diajarkan dalam mimpi lalu dia menggunakannya untuk diri sendiri juga untuk merawat orang lain. Setelah sembuh daripada penderitaan bertahun-tahun lamanya, pesakit meyakini bahawa semuanya berlaku dengan pertolongan, hidayah atau maunah Allah. Tidak terlintas dalam pemikiran bahawa apa yang berlaku adalah sebahagian daripada tipu muslihat iblis dan syaitan yang menyelinap dalam kegiatan hidup manusia seumpama menangguk di air keruh. Dalam keadaan memperbanyakkan ibadah dan melakukan rawatan berdasarkan mimpi-mimpi yang dialami, jin yang menjelma dalam mimpi itu akhirnya mengaku yang dirinya adalah Tuhan, atau setakat menyatakan bahawa orang yang berkenaan mempunyai makam yang tinggi, setara dengan makam nabi-nabi atau rasul-rasul. Saya pernah bertemu dengan seorang lelaki yang baru pencen, balik kampung membuka kedai runcit. Ketika itulah dia terkena sihir, tidak sembuh bertahun-tahun lamanya, biarpun setelah berubat dengan 30 orang bomoh.


Beliau akhirnya dengan nekad membakar semua bahan yang disimpan seperti tangkal, azimat, kemenyan dan sebagainya termasuk satu al-Quran kecil. Mulai hari itu dia memperoleh ketenangan. Pada satu malam, ketika sedang sembahyang isyak, beliau seolah-olah mendapat hidayah agar bertahajud iaitu beribadah pada waktu malam selama 10 bulan. Pada malam terakhir, beliau mendapat petunjuk bahawa Tuhan itu ada dalam dirinya. Tuhan telah memberi kudrah (kekuatan) untuk mengangkat tangan kanannya. Lebih kurang pada pukul 3 pagi, setelah tamat menunaikan sembahyang tahajud, dia mendengar suara yang dia telah mendapat hidayah. Ketika ditanya siapa yang menggerakkan hidayah yang diperoleh olehnya, dia mendegar suara, dia ialah Tuhan. Dia sedang mendengar suara Tuhan.


Menurut dakwaannya, mulai hari itu Tuhan mengajarnya tentang rahsia iblis dan syaitan. Cara mengajarnya tidak dapat digambarkan melalui rangkaian kata. Ketika Jin Tok Wali yang bertapa di Gunung Berapi di Indonesia meresap dalam tubuh, badannya terasa panas bersangatan. Tuhan mengajar cara mengatasinya melalui sentuhan ajaib, lalu akhirnya sembuh.


Ketika ditanya sampai bila dia seharusnya belajar, menurut lelaki ini, Tuhan menjawab, ``selagi hayat masih ada. Kebesaran dan kekuatan Tuhan terlalu luas. Sekiranya tujuh lautan kau jadikan dakwat, ia masih tidak mencukupi untuk mencatat kekuasaan dan kebesaran itu.''


Lelaki ini mendakwa bahawa Allah telah memberinya penyakit ketika dia terkena sihir. Tidak ada penyakit yang tidak dirasai olehnya. Beliau menyamakan penderitaan yang dialami sama seperti yang berlaku ke atas Nabi Idris, yang menanggung penderitaan pelbagai penyakit yang diberi oleh Tuhan, yang akhirnya diberi kekuatan atau kuasa mengubati penyakit oleh Tuhan. Kuasa yang dimiliki oleh Nabi Idris itulah yang dimiliki olehnya. Lelaki ini juga mendakwa bahawa Tuhan menyuruhnya agar berbakti kepada agama. Keistimewaan yang ada pada dirinya ialah beliau boleh berhubung dengan Nabi Muhammad, yang berada di langit ketujuh, tetapi ketika musim haji, nabi akan balik ke makamnya untuk menerima salam pengunjung. Bacaan yang dibaca ketika melakukan rawatan ialah selawat dan salam.


Bacaan selawatnya sama dengan selawat yang dibaca pada tahiyat akhir sembahyang, kemudian mohon kepada Tuhan. Tarik dan keluarkan iblis dan syaitan yang ada dalam tubuh pesakit dan campak terus ke neraka jahanam. Beliau tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran kerana iblis dan syaitan tidak takutkan bacaan ayat-ayat al-Quran.


Beliau mendakwa boleh berhubung dengan Nabi Adam dengan kata-kata melalui gerak hati yang tidak mudah difahami oleh orang biasa. Sebelum berhubung dia mesti berselawat dan memberi salam terlebih dahulu, sekiranya tidak dilakukan demikian, suara yang datang kemungkinan dari iblis dan syaitan. Hantu-hantu dan syaitan boleh dibunuh dan mati tetapi iblis tidak mati. Walaupun demikian beliau mendakwa boleh membunuh iblis.


Terdapat beberapa keistimewaan rawatan yang dilakukan olehnya, iaitu pesakit pasti akan sembuh kerana Tuhan telah berjanji kepadanya. Tuhan akan memperingatkan orang yang dirawat untuk melakukan sembahyang, melapangkan rezeki dan sukar diserang penyakit kerana iblis telah dikeluarkan dari badan. Orang yang menerima rawatannya akan menderita sakit lebih kurang selama dua hari sahaja sebelum menemui ajalnya. Beliau mengaku bahawa dia adalah pakar iblis. Semua mainan dan tipu helah iblis dan syaitan adalah dalam pengetahuannya hasil ajaran dari Tuhan.


Perlu difahami bahawa iblis dan syaitan telah bersumpah di hadapan Allah yang dia akan menyesatkan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan ke dunia, sehinggalah roh berpisah dari jasad. Dalam amalan kebatinan Melayu, unsur-unsur Islam yang diselit-selitkan dalam pelbagai upacara, adat istiadat, juga jampi mantera dan serapah lebih banyak menyebabkan kecelaruan menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa amalan tersebut tidak bertentangan dengan Islam, padahal ia merupakan tipu helah untuk mengelirukan semata-mata.


Dalam contoh yang saya jelaskan di sini, lelaki berkenaan berkeyakinan mendapat pertolongan Allah atau maunah, melalui mimpi, yang mengajarnya pelbagai amalan dan doa, menyebabkannya sembuh daripada penyakit yang dideritai begitu lama dan setelah puas berubat, yang akhirnya mengaku bahawa Tuhan itu ada pada dirinya. Dalam keadaan keghairahan sembuh, beliau mendengar suara bahawa ia mendapat hidayah daripada Allah, lalu akhirnya beliau melakukan apa yang diperintahkan oleh ``Tuhan'' tadi, biarpun hakikatnya Tuhan yang dimaksudkan di sini, yang diyakini olehnya adalah iblis dan syaitan yang menggunakan unsur-unsur Islam itu untuk menyesatkan manusia.

Penulis: Dr. Amran Kasimin Terbitan asal: Mingguan Malaysia : url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG