FOLLOWERS

Tuesday, July 27, 2010

EDISI KHAS : PUASA RAMADHAN (SIRI 3 ) RUKUN-RUKUN PUASA,SYARAT-SYARAT DAN SUNAT-SUNATNYA ; Mastika Hadith JAKIM

Firman Allah Taala:

.. وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ..

 
" .. dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar .. "(1)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah "rukun puasa" dua perkara. Pertama: Niat, dan kedua: Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga matahari terbenam.
_________________________
1. Ayat 187, Surah al-Baqarah.


Masalah Niat

Masalah niat dan keterangan hadith mengenainya yang menjadi dalil bahawa nilai segala amal adalah berdasarkan niat, telah dihuraikan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua. (1)

Niat Puasa Ramadhan

Mengenai puasa Ramadhan, masa berniat ialah pada waktu malam (sebelum terbit fajar), pada tiap-tiap malam.
______________________________
1. Hlm. 109.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

18- عَنْ حَفْصَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ. (رواه الترمذي وغيره)

18- Dari Hafsah, Ummul Mukminin r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang tidak berniat pada malam hari - sebelum terbit fajar (untuk berpuasa pada hari esoknya) maka ia tidak dikira berpuasa" (1)

(Riwayat Tirmizi dan lain lainnya)
___________________________
1. Ibanat al-Ahkam (2:376). Menurut Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban hadith ini Hadith Sahih.

Menurut huraian ulama' rahimahumullah wajibnya berniat pada waktu malam ialah bagi jenis-jenis puasa yang difardhukan iaitu puasa Ramadhan; puasa nazar, puasa kifarah dan puasa qadha.

Sebaliknya tidak diwajibkan berniat pada waktu malam bagi jenis-jenis puasa sunat, kerana Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan puasa sunat dengan memulakan niatnya pada siang hari seperti diterangkan dalam hadith yang berikut:


19- عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ فَقُلْنَا لَا قَالَ فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ. (رواه مسلم)

19- Dari `Aisyah r.a., katanya: Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk sambil bertanya kepada saya, sabdanya: "Adakah kamu menyimpan sesuatu (untuk dimakan)?". Kami menjawab: "Tiada (sesuatupun)." (Mendengarkan itu) Baginda bersabda: "Kalau begitu, Aku berpuasa .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini alim ulama', rahimahumullah menyatakan, seseorang yang mengerjakan puasa sunat, boleh berniat pada siang hari apabila ia melakukan yang demikian sebelum gelincir matahari dan ia pula tidak makan dan tidak minum sesuatu pun selepas terbit fajar hari itu dan tidak melakukan sesuatu yang membatalkan puasa. (2)
____________________________
1. Kitab yang sama (2:377).
2. Lebih lanjut, lih. Sabil al-Muhtadin (2:132).


Penjelasan Mengenai Niat Puasa Ramadhan

Orang yang hendak berpuasa Ramadhan, wajib berniat pada malam hari sebelum terbit fajar. Jika ia tidak berbuat demikian, tidak sah puasanya.

Tempat " niat" itu ialah dalam hati dan inilah yang wajib dilakukan - yakni berniat dalam hati. Jika tidak, batallah puasa itu.

Tentang "melafazkan niat" dengan mulut, maka itu adalah sunat hukumnya kerana "lafaz niat" itu dapat menolong hati.

 
Perkara Yang Wajib Diniatkan Dalam Hati

Sekurang-kurang niat puasa Ramadhan hendaklah diingat - dihadirkan dalam hati:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ رَمَضَانَ.

"Sahaja aku puasa esok hari (untuk menunaikan fardhu) Ramadhan (1)

Tetapi yang lebih Sempurna (meliputi perkara yang wajib dan yang sunat) hendaklah diniatkan seperti berikut:

 
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى.

"Sahajaku puasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan, tahun ini, kerana Allah Taala".(2)


Syarat-Syarat Wajib Puasa

Syarat-syarat yang mewajibkan puasa ialah: Islam, baligh, berakal dan berkuasa mengerjakannya (kecuali ia sakit atau terlalu tua umurnya atau sesuatu uzur yang dibenarkan oleh syarak).


Syarat-Syarat Sah Puasa

Syarat-syarat yang mengesahkan puasa ialah: Islam, berakal, suci daripada haid dan nifas dan mengetahui hari yang dibenarkan berpuasa padanya.(3)


Puasa Kanak-Kanak

Meskipun kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang dan puasa Ramadhan, tetapi ibu bapa atau wali warisnya bertanggungjawab menyuruhnya mengerjakan ibadat yang asasi itu sehingga menjadi sebati kepadanya semasa ia masih tunas muda.

Mengenai sembahyang, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan ibu bapa dengan sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang semasa mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka - jika mereka meninggalkan sembahyang - semasa mereka berumur sepuluh tahun.(4)

Demikian juga halnya puasa kanak-kanak apabila sampai had umur yang tersebut. Mereka dikehendaki melatihnya berpuasa dengan memujuk. (Jika ada yang tidak dapat meneruskan puasanya kerana lapar dan dahaga, bolehlah ia berbuka puasa pada saat itu).

Latihan yang demikian telah diamalkan oleh orang-orang Islam dalam zaman Nabi s.a.w. seperti yang tersebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al-Rabi' binti Ma'ud, r.a.h. (5)


Perkara-Perkara Sunat Semasa Mengerjakan Puasa

Menurut huraian ulama' rahimahumullah, perkara-perkara yang disunatkan melakukannya semasa mengerjakan puasa itu banyak, di antaranya ialah melambatkan makan sahur, menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya, membanyakkan bersedekah, membanyakkan membaca Al-Qur'an, mengerjakan sembahyang tarawih - sama ada dengan anak isteri di rumah atau dengan sidang jamaah yang lebih ramai di masjid dan juga sunat membanyakkan berzikir dan beristighfar, dan beri'tikaf di masjid. Semuanya ini diterangkan dalam hadith-hadith yang berikut:
___________________________
1. Kitab yang sama (2:133).
2. Kitab yang sama (2:133) dan Raudhah al-Thalibin (2:350).
3. Supaya tidak berpuasa pada hari yang diharamkan mengerjakan puasa padanya.
4. Hadith Hasan - Riwayat Abu Daud. Nas hadith ini dengan lebih lanjut ada disebutkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua, hlm. 74.
5. Fath al-Bari. (5:104).



Melambatkan Makan Sahur


20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً. (رواه البخاري ومسلم)


20- Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana makanan sahur itu mengandungi berkat. "(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalimah "berkat" itu ertinya kebaikan yang banyak. Kerana orang yang mematuhi perintah ini akan beroleh banyak faedah daripadanya, sama ada ketika ia bangun makan sahur atau ketika ia berpuasa pada esok harinya.

Berkatnya itu jelas.

Pertama: Menjadikan orang itu mendapat peluang semasa bangun makan sahur pada waktu jauh malam untuk mengerjakan sesuatu amal ibadat dan berdoa, kerana saat itu sangat-sangat makbul doa padanya, lebih-lebih lagi kalau ia meneruskan ibadatnya hingga terbit fajar.

Kedua: Ia akan bangun pagi dalam keadaan segar dan bertenaga dalam menghadapi puasanya.
__________________________
1. Fath al-Bari (5:41) dan Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi (7:206).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
21- عَنْ أَنَسٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً. (رواه البخاري)


21- Dari Anas, dari Zaid bin Thabit r.a., katanya: "Kami telah makan sahur bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w., kemudian Baginda bangun mengerjakan sembahyang."

(Anas berkata): Aku pun bertanya (kepada Zaid): "Berapa lamanya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur? Ia menjawab: Kira-kira sekadar membaca lima puluh ayat" (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Menurut huraian al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani, rahimahullah lima puluh ayat al-Qur'an yang tersebut ialah yang pertengahan - bukan ayat yang panjang-panjang dan bukan pula pendek-pendek.

Bacaannya juga bukan terlalu cepat dan bukan pula terlalu lambat.

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah.: "Hadith ini menggalakkan supaya kita melambatkan masa makan sahur (sehingga ke peringkat yang akhir) sebelum terbit fajar". (2)

Yakni sebelum saat "imsak" yang sedia diketahui oleh umum.
_________________________
1. Fath Al-Bari (5:40).
2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:207).


Menyegerakan Berbuka Puasa

22- عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ. (رواه مسلم)
 22- Dari Sahal bin Sa'ad r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang ramai masih berada dalam keadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Yakni perbuatan menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya adalah digalakkan oleh Islam dan peraturan ini sayugialah dipatuhi, supaya mendapat pahala yang dijanjikan.
_________________________1. Kitab yang sama (7:207).


Masa Berbuka Puasa

Masa berbuka puasa diterangkan dalam hadith yang berikut:

23- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ. (رواه البخاري)

23- Dari Umar bin al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba waktu malam dari arah sini dan beredar waktu siang dari arah sini serta tenggelamlah pula matahari, maka (dengan yang demikian) telah berbukalah orang yang berpuasa (kerana telah masuk waktunya)"(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
________________________
1. Fath al-Bari (5:98).


Berbuka Puasa Dengan Buah Kurma

Disunatkan juga berbuka puasa dengan buah kurma (tamar) seperti yang diterangkan dalam beberapa buah hadith. Di antaranya hadith yang berikut:

24- عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ الضَّبِّيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ. (رواه أبو داود والترمذي)


24- Dari Salman bin `Amir al-Dabiy r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila seorang dari kamu berbuka puasa, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma, kerana buah kurma itu ada berkatnya (banyak khasiatnya). Kalau orang itu tidak dapat buah kurma maka memadai juga dengan air sejuk, kerana air itu bersih lagi membersihkan".(1)

(Hadith Hasan Sahih - Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Perintah Baginda supaya umatnya berbuka puasa dengan buah kurma ialah perintah sunat, malah Baginda sendiri mengamalkannya seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut, (maksudnya): Biasanya Rasulullah s.a.w. berbuka puasa - sebelum sembahyang - dengan beberapa biji buah kurma yang masih basah dan ranum (rutab), kalau tidak dapat, Baginda berbuka dengan beberapa biji buah kurma yang sudah kering (tamar), kalau tidak dapat juga, Baginda berbuka dengan beberapa teguk air sejuk".(2)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah., tak dapat dinafikan bahawa buah kurma, banyak faedahnya atau khasiatnya, lebih-lebih lagi bagi orang yang hendak berbuka puasa. Sebagai buah yang manis lagi lazat, buah kurma sangat sesuai dengan "ma'idah" manusia yang sedang kosong. Ia dapat memberi tenaga dan menyegarkan kisaran ma'idah dan jika ada bekas-bekas makanan yang terpendam ia dapat membersihkannya.

Demikian juga halnya air sejuk yang sedia diketahui oleh umum tentang faedahnya kepada tubuh badan dan perjalanan darah.(3)
_____________________________
1. Al-Targhib (3:141). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya.
2. Hadith Hasan, diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan Anas r.a., Al-Targhib (2:142).

3. Dalam pada itu, setengah ulama' menyatakan oleh kerana buah kurma itu manis, maka orang yang tidak mendapatnya boleh juga berbuka puasa dengan benda-benda manis yang lain, sebaik-baiknya makanan yang tidak disentuh api, di antaranya ialah buah-buahan.


Saat Berbuka Puasa Dan Keistimewaannya

Keistimewaan saat berbuka puasa diterangkan dalam hadith yang berikut:

25- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. (رواه مسلم)
25- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: ".. orang yang berpuasa mendapat dua perkara yang menggembirakan. Pertama semasa ia berbuka puasa dan kedua semasa ia menemui Tuhannya (pada hari akhirat)". (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah, ia bergembira semasa berbuka puasa kerana dapat menyempurnakan ibadat puasanya dengan pertolongan Allah dan Taufiq-Nya, manakala kegembiraannya pada hari akhirat kerana mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Sebagai bersyukur akan nikmat Allah dan limpah kurnia-Nya digalakkan berdoa, kerana doa orang-orang yang berpuasa sangat makbul pada saat berbuka puasa.
________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:31).

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ. (رواه الترمذي)

26- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiga jenis orang - tidak ditolak doa permohonan mereka - pertama: Ketua pemerintahan yang adil, kedua: Orang yang berpuasa semasa ia berbuka puasa dan ketiga: Orang yang teraniaya ..."(1)

(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi)

Menurut huraian ulama' (2) rahimahumullah: Semasa berbuka puasa, sunat membaca doa yang berikut:

"اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ".

"Ya Allah Ya Tuhanku, untuk-Mu jua aku berpuasa dan dengan rezeki kurniaan-Mu aku berbuka puasa".(3)

Dan juga doa yang berikut:

"ذَهَبَ الظَّمَاءُ ، وَابْتَلَّتِ الْعَرُوْقُ ، وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ".

"Dahaga telah hilang, segala urat pula telah basah dan telah - sabitlah pahala - Insya Allah".(4)
_________________________
1. Al-Jami' al-Saghir (1:140).
2. Mughni al-Muhtaj (1:436) dan Sabil al-Muhtadin (2:148).
3. Doa ini berdasarkan sebuah "Hadith Mursal" riwayat Abu Daud dan Mu'az bin Zahrah.
4. Doa ini berdasarkan sebuah "Hadith Hasan" riwayat Abu Daud dan lain-lainya dari Ibn Umar, r.a., Nail al-Autar (4:234).


Membanyakkan Bersedekah Dan Membaca Al-Qur'an

Bersedekah dan membaca Al-Qur'an adalah dituntut melakukannya pada tiap-tiap waktu, lebih-lebih lagi yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, bulan Nuzul Al-Qur'an, kerana pahalanya berganda-ganda.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

27- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ. (رواه البخاري)

27- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan, ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. tidak ada taranya, sehingga Baginda dipuji oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an al-Karim. Di antara sifat-sifat Baginda yang mulia itu, seperti yang digambarkan di dalam hadith ini, ialah tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukannya, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, kerana pahalanya lebih besar daripada yang diberikan pada bulan-bulan yang lain.

Selain dan itu, Baginda menyatakan rasa syukurnya, kerana bulan Ramadhan ialah bulan "Nuzul al-Qur'an", bertambah pula pada tiap-tiap malam di sepanjang-panjang bulan Ramadhan Baginda dapat "mengulangkaji" membaca al-Qur'an bersama-sama dengan Jibril - secara "Bertadarus".(2) Dengan itu dapat Baginda membaca al-Qur'an dengan betul dan sempurna, lengkap dengan ilmu tajwid dan dapat pula menghafaznya.

Kandungan hadith ini menarik perhatian umat Islam supaya membanyakkan bersedekah dan membaca Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan.
________________________
1. Fath al-Bari (1:34) Angin pembawa rahmat, yakni pembawa hujan.
2. "Bertadarus" sebagaimana yang sedia diketahui ialah seorang membaca, yang lain mendengar. Demikian juga maksudnya yang tersebut dalam hadith ini, iaitu Jibril a.s. membaca lebih dahulu dan Rasulullah s.a.w. mendengar, kemudian Baginda membaca dan Jibril pula mendengar.

Kelebihan bersedekah dan berkhairat ada diterangkan dalam bab zakat manakala kelebihan membaca Al-Qur'an dinyatakan dengan jelasnya dalam hadith yang berikut:

28- عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ. (رواه الترمذي)


28- Dari Ibn Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah al-Qur'an, maka baginya satu kebajikan, sedang satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Aku tidak mengatakan: "Alif Lam Mim" satu huruf, tetapi "Alif" itu satu huruf dan "Lam" satu huruf dan "Mim" pula satu huruf. (1)

(Hadith Hasan Sahih - Riwayat Tirmizi)

Kandungan hadith ini memberi perangsang supaya tiap-tiap seorang muslim dan muslimah sentiasa membaca al-Qur'an, sehingga menjadi amalan tetap harian dalam hidupnya.

Setelah kandungan "Kitab Allah" selesai dibaca sehingga "khatam", bacalah lagi sehingga khatam berulang-ulang, selagi hayat dikandung badan.

Orang-orang yang telah merasi "Kemanisan Iman" dalam hatinya, sudah tentu tidak akan membiarkan masa lapangnya terbuang dengan sia-sia, malah mereka sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebajikan (يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.(2)

Bacaan Al-Qur'an yang sempurna dan berkesan - selain daripada membacanya dengan betul menurut hukum tajwid - mahulah pula difahami maknanya.

Hakikat ini diterangkan di dalam al-Qur'an:

 
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا ءَايَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ.

"(Al-Qur'an ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab yang banyak faedah-faedah dan manfa'atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat (mematuhi ajaran-Nya)."(3)

Yakni faedah-faedah yang banyak terkandung di dalam al-Qur'an meliputi segala pengajaran dan pertunjuk hidayah-Nya tidak akan dapat dicapai melainkan setelah tiap-tiap "kalimah" dan tiap-tiap "ayat suci" itu diketahui maknanya dan difahami dengan teliti, sama ada pembacanya itu mengetahui bahasa Arab - Bahasa al-Qur'an - apalagi yang tidak mengetahuinya.
______________________________
1. Tuhfah Al-Ahwazi (8:236) dan Riadhus As-Solihin (388).
2. Ada orang-orang yang tidak berpeluang belajar mengaji Al-Qur'an semasa kecilnya (semasa kanak-kanak dahulu) disebabkan keadaan yang tak dapat dielak, sehingga apabila mereka telah dewasa, mereka tidak dapat membaca Al-Qur'an "yang tersurat" seperti orang lain - apalagi hendak mengkhatamnya. Malah ada di antaranya yang tidak tahu langsung membaca dan menulis.

Tetapi dengan pertolongan Allah yang sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya, mereka dapat menghafaz surah al-Fatihah dan beberapa "surah" yang pendek-pendek dari al-Qur'an untuk dibaca dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

Jika surah-surah pendek dari al-Qur'an yang mereka hafaz itu dibaca dengan berulang-ulang dan dijadikan amalan tetap dalam hidupnya maka mereka juga akan mendapat pahala yang besar yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya ini.

3. Ayat 29, Surah Sad.

Yang yang mengetahui bahasa Arab, kenalah ruju' kepada kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab untuk mengetahui makna dan pengertian al-Qur'an secara mendalam. Manakala orang yang tidak mengetahui bahasa Arab, kenalah berpandu kepada kitab-kitab tafsir dalam bahasa yang difahami.

"Hakikat inilah yang menggerakkan umat Islam di seluruh dunia menerbitkan kitab-kitab terjemahan al-Qur'an dan tafsirnya dalam bahasa masing-masing".

Kitab-kitab tafsir juga perlu dipelajari secara mendalam dan dengan ita sudah sewajibnya tiap-tiap masjid dan surau mengadakan pengajian tafsir Al-Qur'an berselang dengan pelajaran hadith dan ilmu "fardhu `ain" yang lain.

Ini dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith yang berikut:

29- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ. (رواه مسلم)

29- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah, serta mereka mempelajari kandungan isinya(1), melainkan turun kepada mereka semangat tenang tenteram dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Demikian mulianya majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana sini secara umum dan demikian pula majlis "tadarus al-Qur'an" yang diadakan dalam bulan Ramadhan secara khusus.

Selain dari itu, masih ada amal-amal kebajikan yang disunatkan mengerjakannya dalam bulan Ramadhan, di antaranya: Beriktikaf di dal am masjid(3), melebihkan nafkah anak isteri berbanding dengan yang diberikan pada bulan-bulan yang lain(4), mengerjakan sembahyang tarawih(5) dan menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat untuk mendapat rahmat yang diberikan pada malam "Lailatul Qadar".(6)
________________________________
1. Yakni untuk mengetahui maknanya dan tafsirnya serta memahami hukum-hukumnya secara mendalam.
2. Riy'adh al-Salihin, (395).
3. Hukum beriktikaf dan rukun-rukunnya telah diterangkan dalam bab "Kedudukan Masjid Dalam Islam". Mastika Hadith, jil. kedua, (259).
4. I'anah al-Talibin (2:251).
5. Akan diterangkan secara khusus pada tempatnya.
6. Akan diterangkan secara khusus pada tempatnya.


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Rasulullah s.a.w bersabda:

 
"مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَعَرَفَ حُدُوْدَهُ، وَتَحَفَّظَ مِمَّا يَنْبَغِيْ أَنْ يَتَحَفَّظَ، كَفَّرَ مَا قَبْلَهُ .."

"Barangsiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan sedang ia mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu .. (1)

Orang yang mengerjakan puasa - yang wajib dan yang sunat - selain daripada dituntut mengerjakannya berdasarkan ikhlas semata-mata, ia juga dituntut mengetahui hukum-hukum syarak mengenainya, kerana dengan itulah sahaja ia dapat menjaga diri dan mengawal hawa nafsunya daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya atau merosakkan pahalanya.

Menurut huraian ulama' rahimahumullah, perkara-perkara yang membatalkan puasa terbahagi dua.

Pertama - yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja.

Kedua - yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan kifarat (denda).
________________________________
1. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dari Abu Sa'id al-Khudri r.a., (Ittihaf Ahl Al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 29).


Yang Membatalkan Puasa Dan Diwajibkan Mengqadhanya Sahaja:

Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja ialah:

(1) Makan dengan sengaja,

(2) Minum dengan sengaja.

Jika orang yang sedang berpuasa, makan atau minum kerana lupa, maka itu tidak membatalkan puasanya.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

30- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ. (رواه مسلم)

30- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa lupa semasa ia sedang berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, sebenarnya Allah jualah yang telah memberi makan dan minum kepadanya".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Demikian juga halnya perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, jika dilakukan dengan tidak sengaja, samada kerana lupa atau kerana dipaksa dan sebagainya (2), maka itu tidak membatalkan puasa.

Selain dan itu perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja seperti berikut:

(3) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja, sama ada melalui lubang telinga, lubang susu, lubang kemaluan dan sebagainya dan sama ada benda itu cair atau beku.

(4) Muntah dengan sengaja.

(5) Mengeluarkan mani dengan sengaja.

(6) Kedatangan haid.

(7) Nifas (beranak).

(8) Mabuk sepanjang hari.

(9) Pengsan sepanjang hari.

(10) Gila walau sekejap.

(11) Melakukan sesuatu yang membinasakan Islam - yang menyebabkan orang itu menjadi murtad, sama ada dengan tutur kata - pengakuan atau dengan amal perbuatan ataupun dengan cita-cita dan iktikad kepercayaan. (3)
______________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:53).
2. Atau kerana ia jahil akan hukumnya, disebabkan ia baharu memeluk Islam, atau kerana tinggal di tempat yang terpencil dan jauh dari alim ulama'.
3. Perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jil. pertama, hlm. 261.


Membatalkan Puasa Dan Mewajibkan Qadha dan Kifarat

Bahagian kedua pula ialah: Perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan membayar kifarat (denda), iaitu: Orang yang berpuasa yang bersetubuh dengan sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadhan.

Orang yang tergamak melakukan demikian, dikenakan hukuman yang berat, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

31- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ. (رواه البخاري)

31- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Semasa kami sedang duduk di sisi Nabi Muhammad s.a.w. , tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: "Ya Rasulullah, saya telah binasa, (tolong selamatkan saya). Baginda bertanya: "Apa halmu?" Ia menerangkan: "Saya telah bersetubuh dengan isteri saya semasa saya sedang berpuasa! " Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau mempunyai seorang hamba abdi untuk engkau merdekakan?" Ia berkata: "Tiada." Baginda bertanya lagi: "Sanggupkah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?" Ia berkata: "Tidak sanggup." Lalu Baginda bertanya lagi: "Mampukah engkau memberi makan enam puluh orang miskin? " Ia berkata: "Tidak mampu." Rawi hadith ini (Abu Hurairah) berkata: Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. terhenti sebentar (daripada bertanya kepada orang itu), maka dalam masa kami sedang menunggu kesudahannya, tiba-tiba datang orang membawa kepada Baginda satu bakul besar buah tamar, lalu Baginda bersabda: "Mana orang yang bertanya tadi?" Mendengarkan itu, ia menjawab: "Saya" Baginda pun bersabda: "Ambillah (sebakul tamar) ini dan sedekahkanlah."

Lelaki itu berkata: "(Tuan menyuruh saya sedekahkan tamar ini) kepada orang yang lebih miskin daripada saya, Ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada mana-mana keluarga di negeri Madinah ini yang lebih miskin daripada ahli keluargaku.

Rasulullah s.a.w. ketawa besar (mendengarnya)(1) kemudian Baginda bersabda: "(Kalau begitu) berilah tamar ini kepada keluargamu untuk dimakan."(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Hadith ini diriwayatkan juga oleh Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam-imam ahli hadith yang lain termasuk - Tirmizi dan Tabrani.

Kandungan hadith ini menerangkan perihal seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. dalam keadaan cemas - "meminta fatwa" kepada Baginda kerana ia telah terdorong melakukan dosa besar (bersetubuh dengan isterinya semasa ia sedang berpuasa dalam bulan Ramadhan).

Baginda pun menerangkan hukum syarak mengenainya, iaitu hendaklah ia menebus dirinya daripada dosa itu dengan membayar denda (kifarah), dengan salah satu dan tiga cara seperti yang tersebut dalam hadith ini.

Mendengarkan fatwa yang demikian, orang itu merayu lagi dengan berkata: Bahawa - dari segi wang ringgit - ia tidak mampu (memerdekakan seorang hamba abdi atau memberi makan kepada enam puluh orang miskin). Dari segi tenaga pula ia juga tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut (mungkin kerana tuanya atau kerana kesihatannya).

Oleh kerana tidak ada jalan lain selain daripada membayar kifarat yang tersebut, maka Baginda terhenti sebentar daripada memberikan apa-apa arahan. (3)

Mujurnya tidak lama kemudian, datang orang membawa hadiah kepada Baginda - sebuah bakul besar berisi buah tamar Baginda pun menyuruh memanggil lelaki itu lalu diberikan sebakul buah tamar yang baharu diterimanya sambil bersabda: "Ambillah buah tamar ini dan sedekahkanlah (kepada orang-orang miskin)."

Oleh kerana keadaan hidupnya yang sangat-sangat mendesak (4), maka sebaik-baik sahaja ia mendengar Rasulullah s.a.w. menyuruhnya bersedekah dengan tamar itu kepada orang-orang miskin, berkatalah ia dengan penuh harapan: "Ya Rasulullah, demi Allah, tidak ada mana-mana keluarga di negeri Madinah ini yang lebih miskin daripada keluarga saya."

Ketawa besar Baginda mendengarnya, melihatkan telatah orang itu menceritakan kisah dirinya dengan cara yang berterus terang dan berkesan, lalu bersabda: "(Kalau begitu), berilah buah tamar itu kepada keluarganya untuk di makan".

Meskipun dalam hadith ini tidak diterangkan tentang denda (kifarat) itu wajib dibayar apabila ia mampu kelak, tetapi berdasarkan keterangan-keterangan yang lain, alim ulama', rahimahumullah menghuraikan hukum "Orang yang berpuasa yang bersetubuh dengan sengaja pada waktu siang dalam bulan Ramadhan" seperti berikut:

Selain daripada diwajibkan mengqadha puasanya, hendaklah ia memerdekakan seorang hamba abdi. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak terdaya melakukannya, hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. (5)

Jika ia tidak mampu juga memberi makan enam puluh orang miskin maka ia tidak terlepas daripada menanggung " kifarah" itu dan ia diwajibkan membayarnya apabila ia mampu kelak.

Hanya orang lelaki yang diwajibkan membayar "kifarah" disertakan dengan qadha sehari, sementara isteri yang disetubuhi tidak dikenakan kifarah tetapi diwajibkan mengqadha puasanya sahaja.(6)
_____________________________
1. Biasanya Baginda tersenyum sahaja jika ada sesuatu yang menyukakan hati, tetapi pada kali ini Baginda ketawa besar melihatkan cara orang itu yang pada mulanya datang mengadu dalam keadaan cemas tetapi setelah ia mendapat bantuan, datang beraninya meminta yang lain pula.
2. Fath Al-Bari (5:65).
3. Menurut sebuah hadith yang lain, Baginda menyuruhnya duduk menunggu.
4. Menurut sebuah hadith yang lain, ia mengaku: Bahawa kadang-kadang ia dan keluarganya tidak ada sesuatu yang hendak dimakan.
5. Tiap-tiap seorang miskin diberi secupak makanan.
6. Sabil al-Muhtadin (2:155) dan Al-Fath al-Rabbani (10:96).


Menjaga Diri Daripada Melakukan Perkara-Perkara Yang Merosakkan Pahala Puasanya

Orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut oleh syarak supaya menjaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan juga daripada setiap perkara yang merosakkan pahala puasanya.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

32- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. (رواه البخاري)


32- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang dari kamu sedang berpuasa, maka janganlah ia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang menghamunnya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia (bersabar sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terang): Aku ini sedang berpuasa ..". (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Tujuan seseorang muslim dan muslimah diwajibkan oleh Allah Taala berpuasa dalam bulan Ramadhan ialah untuk mendidiknya sehingga ia dapat mencapai darjat "taqwa", seperti yang ditegaskan di dalam al-Qur'an.(2)

Sedang maksud "taqwa" ialah mengerjakan apa yang disuruh (yang wajib dan yang sunat) dan mencegah diri daripada melakukan segala yang dilarang (yang haram dan yang makruh).

Sebab itu puasa yang sempurna dan diredhai Allah bukan setakat menahan diri daripada makan minum dan segala yang membatalkan puasa, tetapi hendaklah juga membendung segala anggota dan pancaindera daripada melakukan sesuatu yang merosakkan pahala puasanya, iaitu:

Lidah: Daripada menuturkan kata nista, umpat keji, berdusta dan sebagainya.

Mata: Daripada melihat segala yang dilarang syarak.

Telinga: Daripada mendengar segala yang ditegah syarak.

Tangan dan kaki: Daripada melakukan segala yang dimurkai Allah Azza wa Jalla.
________________________________
1. Nail al-Autar (4:219).
2. Ayat 183, Surah al-Baqarah.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. (رواه البخاري وأبو داود)


33- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

Yakni orang-orang yang bersifat demikian, sia-sia sahaja puasanya, kerana Allah Taala tidak memberikan sebarang penghargaan kepadanya, walaupun ia telah bersusah payah menanggung lapar dan dahaga.
______________________________
1. Ibanat Al-Ahkam (2:386), lafaz hadith ini riwayat Abu Daud.

Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:


34- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الظَّمَأُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ. (رواه الدارمي)


34- Dan Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa, sedang ia tidak mendapat dari puasanya itu melainkan dahaga semata-mata dan berapa banyak pula orang yang mengerjakan sembahyang (sunat pada malam hari), sedang ia tidak mendapat dari sembahyangnya itu melainkan menyengkang mata - berjaga malam".(1)

(Hadith: Riwayat Darimi)
______________________________
1. Misykat al-Masabih (1:628). Hadith ini isnadnya elok.


No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG