Saya ingin bertanya tentang jin. Siapa jin dan apa peranannya. Apa bezanya dengan syaitan dan iblis. Bolehkah kita mendapatkan khidmat mereka untuk tujuan ilmu kebal dan merawat pesakit. Apa pandangan Islam terhadap amalan itu. Benarkah jika orang mengatakan amalan itu syirik. Apakah sebab-sebab yang membawa kepada syirik. Bolehkah sembelihan dilakukan apabila jin meminta sesuatu sebagai balasan kepada khidmatnya.
JAWAPAN:
Sebenarnya saya tidak mendalami tentang hal ehwal jin atau makhluk halus mengikut istilah perbomohan tradisional, walaupun akhir-akhir ini, pengajian tentang makhluk ini begitu diminati oleh sebahagian ilmuwan Islam. Memang pun ia boleh di dalami sebagai suatu bidang pengajian yang ada disiplin dan kaedah-kaedah khas untuk berinteraksi dengan makhluk ini dan mengambil langkah-langkah sewajar terhadapnya. Saya percaya para ahli dalam bidang ini, banyak menyimpan pengalaman sejauh yang berkaitan dengan makhluk jin. Namun, untuk tidak menghampakan saudara yang bertanya, saya kemukakan di sini maklumat-maklumat yang saya perolehi hasil daripada pembacaan umum saya yang terbatas, tetapi terikat dengan disiplin Islam dan akidah tauhid.
Jin adalah suatu makhluk yang dicipta Allah daripada pucuk api yang menjulang, dia tidak mampu dilihat oleh mata kasar manusia, tetapi kewujudannya tetap dan tidak boleh dipertikaikan, kerana dalil-dalil al-Qur`an dan hadis banyak memperkatakan kewujudannya, malah dalam al-Qur`an ada satu surah yang diberi nama surah al-Jin.
Ketiadaan upaya melihat makhluk ini, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak kewujudannya. Sungguh banyak perkara yang ada, tetapi sukar dibuktikan dengan pengelihatan mata, seperti tenaga elektrik, roh dan sebagaianya. Saya tegaskan demikian, kerana ada orang yang menafikan kewujudan makhluk itu, nama-namanya disebut dalam al-Qur`an hanya sebagai lambang dan simbolik semata-mata kata mereka.
Perkataan-perkataan jin, syaitan, ifrit dan iblis adalah sinonim, ia menunjukkan kepada suatu makhluk yang degil dan derhaka pada Allah, tetapi jin terbahagi kepada beberapa kumpulan, ada yang degil dan ada yang taat, ada yang baik dan ada yang jahat, ada yang muslim dan ada kafir, malah yang muslim juga terbahagi kepada berbagai-bagai puak, kumpulan, mazhab dan aliran, seperti puak sunni, puak syi`ah dan lain-lain. Al-Qur`an menyebutkan pengakuan yang menunjukkan mereka berpuak-puak dalam firman Allah:
وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا [الجن:11]
Terjemahan: Dan sesungguhnya di kalangan kita ada yang baik-baik, ada yang tidak baik, masing-masing menurut jalan dan cara yang berlainan (al-Jin: 11)
Oleh kerana jin tidak kelihatan pada pandangan mata kita, sedang ia mempunyai beberapa keistimewaan yang tiada pada kita, seperti pantas bergerak dari tempat-tempat yang jauh, boleh menghilang diri, boleh merasuk manusia, boleh meninggalkan pengaruh dan kesan-kesan jahat pada mereka, maka ramai orang tertipu dengan keistimewaan itu, terutama pengamal-pengamal ilmu hitam dan ahli nujum yang berminat mendampinginya bagi menjayakan tujuan dan cita-cita tersendiri, seperti memukau mangsa, mendapatkan wang dengan mudah, menanamkan rasa benci atau cinta pada pasangan, meramalkan sesuatu yang masih dalam alam ghaib, ingin mencapai sesuatu dengan jalan mudah, kerana dipercayai jin dapat membantu mereka secara berkesan dalam kegiatan ini.
Tidak dinafikan pengamal-pengamal ilmu hitam, ahli-ahli nujum dan sebagainya boleh mendampingi jin dan berdialog dengannya, boleh mengambil dan memberi sesuatu, malah ada yang cita-citanya berjaya dengan jalan itu. Memang jin sama juga manusia, boleh memberi dan mengambil, boleh pergi dan datang, boleh menerima dan menolak sesuatu. Tetapi sebagai orang Islam, kita diperingat oleh al-Qur`an bahawa jin adalah musuh ketat manusia, kita disuruh memohon kepada Allah, agar kita sentiasa dilindungi daripada bisikannya yang jahat. Firman Allah yang bermaksud:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ [الأنعام: 112]
Terjemahan: Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia. Dan jika Allah kehendaki nescaya mereka tidak mampu melakukannya. Oleh itu tinggalkanlah mereka dan segala pembohongan yang diada-adakan mereka
Syaitan sama ada daripada jenis jin atau manusia memang kerjanya menipu, ia telah berjanji dengan Allah untuk menumpukan keseluruhan hidupnya pada menyesatkan manusia. Jika ada manusia yang ingin berbaik-baik dengannya, maka ia sedia menerima bagi menghasilkan tujuan penipuannya. Tidak pernah wujud dalam agenda jin dan syaitan usaha-usaha untuk menyampaikan hidayat kepada manusia atau untuk berkerjasama membela Islam dan kehidupan pada jalan Allah. Jika manusia mempunyai cita-cita sendiri apabila berbaik-baik dengannya, maka jin juga mempunyai cita-citanya pada manusia.
Memohon sesuatu perkhidmatan daripada jin memang terjadi, ia memebrikan khidmatnya, tetapi apakah percuma atau ada imbangannya. Jika ada imbangan, apa dan bagaimana imbangannya?. Beberapa pengalaman menyatakan imbangannya ialah melakukan apa jua amalan yang menyebabkan syirik kepada Allah, bertutur atau berbuat sesuatu yang membawa penutur atau pengucapnya terkeluar daripada Islam. Jin pernah meminta imbangan kepada perkhidmatannya supaya pelanggannya menghina al-Qur`an, seperti memijak atau duduk mencangkung di atasnya ketika membuang air, menutur bahasa-bahasa yang memuja selain Allah dan sebagainya.
Pengamal ilmu hitam ada harapan berhasil dalam cita-cita mereka melalui khidmat jin, jika ia sanggup menjadi insan yang paling derhaka pada Allah, atau pasti tidak berhasil, jika enggan melayani kehendak-kehendak jahat mereka. Saya mempunyai beberapa pengalaman hasil daripada maklumat beberapa pengamal ilmu hitam sendiri, bahawa ilmu kebal yang sangat mujarab katanya ialah membaca Qul Huwallah dengan bacaan songsang. Pengamal bacaan ini pasti dirinya kebal atau tidak ditembusi peluru dan besi-besi tajam. Kadang-kadang amalan itu diusahakan melalui tulisan atau azimat yang tidak difahami, tetapi hakikatnya mengandungi pemujaan terhadap jin, atau dicampur aduk dengan beberapa ayat al-Qur`an bagi mengelirukan orang awam, seolah-olah ia hanya menggunakan ayat-ayat al-Qur`an yang tidak ada sebab untuk diragui.
Saya mempunyai seorang kawan yang mengamalkan ilmu itu, ia boleh mengubati penyakit-penyakit sawan yang biasa menyerang pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Kebetulan pada suatu hari saya membawa kepadanya seorang pelajar yang diserang sawan, saya berasa malu apabil kawan itu berkata, ustaz juga boleh menjampinya, tetapi saya cuba meyakinkannya, bahawa saya telah berusaha segala-galanya tetapi gagal. Kawan saya pun mula memegang kepala pesawan itu, lalu membaca dengan nyaring ayat-ayat al-Qur`an, saya juga turut membaca dengan mudah apa yang dibacanya. Tiba-tiba bacaan terhenti, lalu menukar kepada bacaan yang begitu cepat tetapi tidak didengari lagi apa yang dibaca, hanya bibir mulutnya sahaja kelihatan mengumat-ngmitkan bacaan.
Saya pun gagal mengikuti bacaannya lagi, walaupun saya berhasrat sangat mengikutinya. Bagaimananpun hasrat awal saya membawa pesawan itu tidak sia-sia, kerana sawannya hilang, keadaannya pulih seperti biasa, tetapi hati saya tetap terbuku dengan apa yang dibaca pada saat-saat akhir yang tidak kedengaran itu.
Apakah yang dicbaca dengan cepat itu pertuturan syirik atau perjanjian sulit antara dia dengan jin?. Tidaklah diketahui.
Kadang-kadang pengamal ilmu hitam atau pelanggan jin itu seorang yang kelihatan pada zahirnya warak, mengamalkan ajaran Islam seperti sembahyang, puasa dan sebagainya, namun akidahnya terhadap jin itu keseluruhannya salah dan syirik, ia sanggup bertawar menawar pada akidahnya, ia membaca sesuatu yang tidak sepatutnya dibaca, kadang-kadang bahasanya yang tidak difahami itu adalah bahasa syirik dan kufur, bahasa memuja jin dan syaitan. Kadang-kadang disuruh berpuasa atau berbuat amal kebajikan tertentu, tetapi bukan kerana Allah hanya jin, itu syirik. Barang dijauhi Allah.
Tidak benar jika ada orang mempercayai jin tahu sesuatu yang ghaib, jin boleh membantu manusia menyembuhkan penyakit, jin boleh diguna bagi mendapatkan sesuatu melalui jalan-jalan halus dan sembunyi, seperti mendapatkan wang dengan mudah, ambil dan beri, tetapi jin bijak mewaswaskan pada jiwa manusia, ia bijak menggunakan bisikan yang menyebabkan manusia terpukau dengan khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata, ia meminta supaya sembelihan dilakukan kerananya, sedangkan sembelihan yang halal dimakan, hanya sembelihan kerana Allah.
Saya juga membaca dan mendapat maklum daripada beberapa pengalaman yang ditulis oleh ulama, bahawa mereka boleh merawat pesakit-pesakit yang diganggu oleh jin, iaitu dengan meminta supaya jin keluar daripada badan pesakit, membebaskan diri mangsa daripada gangguan. Mereka lakukan dengan membaca ayat-ayat suci yang disahkan oleh hadis dan ayat-ayat al-Qur`an sebagai jalan melindungi daripada gangguan syaitan. Saya tidak menafikan kesahihan cara ini, malah sangat perlu dilakukan, saya katakan mereka sebenarnya bukan bomoh, tetapi pengamal ruqyah (jampi) yang betul.
Amalan ruqyah (jampi) atau jampi yang betul ini memangnya memerlukan ahli yang mendalam pengetahuan agamanya. Justeru itu saya bersetuju, jika ruqyah ini menjadi salah satu subjek dalam pendidikan Islam, kalaupun tidak diperkenalkan di sekolah-sekolah tinggi, peringkat masjid dan pengajian-pengajian yang tidak formal sangat perlu diperkenalkan. Saya ingin menegaskan juga bahawa ilmu kebal atau kuat boleh dicapai menerusi khidmat jin, namun kejayaan itu mengesahkan ia betul dan harus diamal. Jin adala makhluk penyesat dan sangat berbahaya kepada manusia. Wallah A`lam.
Petikan dari : www.drhayei.com
No comments:
Post a Comment