FOLLOWERS

Wednesday, March 31, 2010

JIN MENYINTAI PEREMPUAN?

JIN MENYINTAI PEREMPUAN?

Persoalan ini kerap berlegar dikalangan perawat Islam dalam masyarakat Melayu khususnya. Bukan setakat menyintai,malah ada juga jin yang mengahwini manusia dikalangan perempuan. Sama ada ini benar bergantung kepada kebenaran penyampaian cerita yang selalunya disandarkan kepada pengembaraan seseorang itu ke alam jin tersebut. Persoalan ini dijawab ialah kerana terdapat pertanyaan dalam ruangan sembang blog ini dan jika ada kekurangan fakta,sudilah pembaca menambah serta berkongsi ilmu dalam ruangan komen yang disediakan.

Kepada saudari yang bertanya, asasnya makhluk jin adalah ciptaan kebesaran Allah swt sepertimana maksud Firman Allah di dalam Surah Az-Zariyat : 56 "...Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya menyembah akan daku.". Dalil lain melalui Surah Al-Jin : Ayat 1, Surah Al-An'am : Ayat 128 dan banyak lagi yang boleh dirujuki sebagai dalil kewujudan makhluk jin.



Memang kita biasa mendengar isu perkahwinan diantara manusia dan jin. Apabila dua makhluk ini berkahwin tentulah dimulai dengan saling mengenali, bercinta atau sebagainya. Didalam buku karangan Dato Ismail Kamus dalam membicarakan bab ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menegah kita berkahwin dengan jin. Para Fuqaha berkata, tidak harus berkahwin diantara manusia dengan jin dan dimakruhkan pula oleh tabiein. Ini menunjukkan perkahwinan itu boleh berlaku. Sekiranya tidak boleh berlaku perkahwinan ini, maka tidak akan timbul hukum harus ataupun haram.

Persoalan ini terlalu panjang untuk dilanjutkan, cuma sekadar untuk berpesan kepada kebaikan, rujuklah buku di atas atau mana-mana jua sumber ilmu yang sahih agar menjadi panduan kepada kita semua.
Berbalik kepada soalan yang diajukan menampakkan ianya lebih bersifat peribadi yang dialami sendiri oleh saudari yang bertanya. Begitu subjektif untuk membuktikan betulkah peristiwa ini sebenar-benar kejadian yang dialami ataupun sekadar gangguan jin terhadap manusia. Sejauhmana hubungan cinta jin lelaki itu terhadap si perempuan? Berapa lama tempoh masa berlaku proses percintaan itu? Di masa mana sering berlaku sama ada malam atau siang atau masa yang tertentu sahaja? Dan banyak lagi persoalan yang perlu diperjelaskan agar jawapan yang diberikan menjadi kemas. Eloklah saudari datang berjumpa ustaz atau mana-mana ilmuwan untuk mendapat penjelasan terhadap peristiwa yang saudari alami.Ustaz juga pernah merawat dua orang pesakit perempuan, anak dara, masih bekerja dan di institusi pengajian tinggi, yang telah datang membuat rawatan serta mengikuti kisah bagaimana mereka membuat hubungan dengan jin sehinggakan seorang daripadanya berasa telah melahirkan anak dialam jin,kesannya ia menjadi sakit seperti orang bersalin sehingga terpaksa mengambil cuti sebulan "berpantang" sakit seperti manusia bersalin di alam yang sebenarnya.

Sama ada kisah ini benar atau tidak, ikuti siri penjelasan yang kedua nanti. Bagi ustaz ianya lebih kepada pengalaman peribadi seseorang pesakit. Tanpa rujukan dan dalil yang boleh disandarkan, maka setiap penjelasan kelak bergantung kepada pertimbangan diri kita jua.

Amalan yang dicadangkan untuk melupakan serta mengusir jin ini ialah :

* Menjaga amalan ibadah wajib serta menambah ibadah sunat

* Melakukan amalan ibadah pada waktu malam dengan mendirikan solat sunat taubat dan beristighfar, solat tasbih, solat tahajud, solat witir, zikir, doa, selawat ke atas Nabi dan solat hajat. Saudari boleh merujuk kepada ilmuawan agama untuk mengetahui kaedah serta amalan untuk melaksanakan ibadah di atas secara tertib.

* Sebagai ikhtiar tambahan, amalkan ayat-ayat ruqyah yang boleh digunakan untuk menjadi pendinding diri dari gangguan makhluk jin dan syaitan ini.

Semoga kita dapat berkongsi ilmu serta pengalaman yang boleh menjadi panduan generasi akan datang.

...bersambung

SEKILAS BICARA

SEKILAS BICARA

“Dengan Nama Allah yang maha pemurah, penyayang lagi maha agung. Sesungguhnya segala puji, kemuliaan dan sanjungan itu hanya untukMu juga”.

Dalam keadaan yang serba kekurangan, diri ini berusaha jua memaparkan laman web yang yang menjadi sangat penting dihambat arus kemodenan duniawi masa kini. Sedikit usaha dalam perjalanan menuju keunggulan ini memerlukan diri setiap manusia itu kekuatan yang padu, akal yang pintar, hati yang ikhlas, jiwa yang bersih, ilmu yang suci, peribadi yang luhur, iman dan taqwa yang kukuh lagi padu bagi membina tamadun kehidupan yang lebih bermakna.

Semoga dengan sekelumit usaha dan dayaku dalam bidang pengubatan Islam ini mampu memberikan sedikit impak dalam dunia dakwah yang mampu dikenangi oelh generasi manusia pada masa hadapan.

Islam adalah agama terunggul yang tiada tolok bandingnya dengan agama dan peradaban yang lain.Begitulah juga sebenarnya dengan dunia pengubatan Islam, al-Quran adalah wahyu yang tiada tolok bandingannya. Segala gerak usaha perlu dijalin bersama, disulam kembang dengan baik untuk menghasilkan pengiktirafan sebenar oleh manusia di muka bumi ini. Inilah cita-cita yang perlu digapai oleh semua dan Iq Insan hanyalah menjadi sebahagian kecil zarah yang ingin menabur jasa agar kegemilangan itu dapat dilihat sinarnya oleh semua manusia.

Allah berfirman dalam surah al-Talaq ayat 2-3, yang bermaksud



“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya”.

Kata falsafah, “Orang-orang yang optimis adalah orang yang sanggup bangun semula selepas sesuatu kegagalan.”. Hanya orang yang tabah, sanggup bersusah-payah dan berjiwa positif sahaja mampu menghambat kejayaan yang semakin tipis dikalangan umat Islam.

Dalam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6, Allah berfirman yang bermaksud,


“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan”.

Peringatan ini dikukuhkan melalui sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya beserta dengan kepayahan adalah kesenangan”.

Semoga rentetan usaha yang dijalin ini mendapat kerbekatan daripada Allah SWT. Moga dakwah, amanah,ilmu, masa yang ada dalam diri ini mampu untuk menyebar dakwah yang terbaik dalam bidang pengubatan Islam ini. Kejayaan ini perlukan sokongan semua pihak kerana kejayaan tidak akan datang bergolek atau tanpa iman serta ketabahan serta kebersihan hati dan kekuatan iman untuk melawan syaitan dan iblis yang durjana.

Dalam surah an-Nahl ayat 99-100 yang bermaksud


Sesungguhnya syaitan tidak ada kekuasaan ke atas orang-orang yang beriman serta bertawakkal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah ke atas mereka yang mengambilnya menjadi pemimpin dan mereka yang mempersekutukannya dengan Allah”.

Setinggi penghargaan buat tuan guruku yang amat disanjungi iaitu TG Ust.Dato’ Ismail Kamus, juga buat TG Ust.Dato’ Dr.Haron Din, Kiyai Dr.Pak Ali Bakri di Riau, Tok Guru Yusof di Pendang, teman-teman perawat yang lain, ahli Darussalam dari generasi yang terawal bersamaku, sahabat baik ku, ahli keluargaku, isteriku, anak-anakku yang comel jua. 

Moga ilmu pengubatan Islam yang kupelajari ini diberkati dengan tinta keikhlasan menjadi jalan emas dakwah kepada seluruh umat Islam. Jika aku terlalai dalam perjalanan ini Ya Allah , KAU segeralah memberi ingatan buatku bertaubat Ya Allah. Amin.

HambaMu,
Md Zaini Zainal.
Iq Insan Training & Consultancy

Thursday, March 4, 2010

KHADAM AYAT : PENJELASAN DATO DR AMRAN KASIMIN


Petikan Dari Mingguan Malaysia (24 Disember 2006) Erti khadam ayat:
Disunting oleh Ust.Md Zaini Zainal : 019-6666004
KHADAM AYAT : PENJELASAN DATO' DR.AMRAN KASIMIN
SOALAN: Teman sekampung saya pernah menuntut di sebuah pondok di tanah seberang selama 3 tahun. Hingga kini dia masih ke sana sesekali. Selain mempunyai ilmu agama, dia sekarang mengubat orang, hasil ilmu “khadam ayat” yang dipelajari.
Dalam satu artikel tulisan ustaz dalam ruangan ini ada membicarakan tentang khadam ayat. Saya terlalu ingin mempelajari ilmu ini untuk masa depan saya, kalau ia tidak menimbulkan masalah. Saya rasa akan dapat mengatasi banyak masalah hasil daripada ilmu khadam ayat seperti yang dimiliki oleh kawan saya.
– Salleh, Kelantan.


Jawapan: Natijah daripada ilmu khadam ayat memang menarik. Saya akan jelaskan apa yang sebenarnya khadam ayat untuk dijadikan pedoman dan mengelakkan kekeliruan.
Keterangan ini adalah berdasarkan penemuan-penemuan dan makluman daripada mereka yang mempelajari ilmu khadam ayat, menggunakannya sebagai ilmu kebatinan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran juga ulasan yang diberi berdasarkan penemuan tadi.

Amalan ini juga adalah boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti al-Fatihah, al-Mu’awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk iaitu jin yang dipanggil sebagai “khadam ayat”.
Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan “khadam ayat” yang datang tadi, yang akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.
Menurut seorang responden, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin ataupun malaikat. Ia merupakan “khadam” kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.
Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya.


Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri.
Di antara hadis-hadis yang menyebutkan hal demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah: Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya ialah ayat al-Kursi.


Atas pemahaman tentang fidilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan. Mengamalkan apa yang difahami sebagai “khadam ayat Kursi” dalam amalan kebatinannya.
Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, ia akan didatangi makhluk yang dipercayai sebagai “khadam ayat al-Kursi”. Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajar amalan tersebut, agar makhluk itu taat menurut perintahnya.
Menurut responden lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.


Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan.
Khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani saka yang teruk ataupun masalah-masalah besar, memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat.
Ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya, kerana itulah maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.
Seorang responden lain, yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya. Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang ketika itu berumur 10 tahun, ketika sedang tidur.


Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia.
Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.
Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh, maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.


Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.
Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun, sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.


Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah, yang termasuk dalam golongan makhluk-makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali yang dikenali sebagai rijalul ghaib yang juga dikenali sebagai khadam roh.
Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah, makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur. Responden mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.


Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu kononnya telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.
Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari. Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.


Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, ia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, ia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah. Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula daripada hari itu ia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.


Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampingi tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya. Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian ia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.
Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, akibat gangguan makhluk-makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecederaan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, akibat keracunan pemakanan dan sebagainya.


Demikianlah beberapa keterangan mengenai khadam ayat seperti yang saudara tanya. Sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan yang berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.


Dr. Amran Kasimin
Selangor

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts