FOLLOWERS

Sunday, August 15, 2010

KISAH ROH DAN PERTOLONGAN JIN : Boleh merawat orang setelah menerima saka melalui mimpi

SOALAN:

Saya pernah sakit teruk selama enam tahun. Puas berubat tetapi tidak sembuh, baik di hospital, klinik, pawang, bomoh dan sebagainya. Hingga ke sempadan Thailand pun saya pergi.

Saya akhirnya sembuh sendiri, tetapi saya ingat lagi, sebelum sembuh saya selalu didatangi mimpi seorang lelaki berjubah datang memberi doa-doa terdiri daripada ayat al-Quran. Ayat itulah yang saya bacakan pada diri saya.

Doa yang sama akhirnya saya gunakan untuk mengubat kanak-kanak yang tidak berhenti-henti menangis malam dan orang terasuk, juga pengantin yang pengsan ketika bersanding. Sekarang saya mengubat orang yang datang menemui saya di rumah dalam keadaan menurun, iaitu apabila roh datuk saya namanya ``Ujang Ali'' datang. Memang benar datuk saya yang bernama Ujang Ali pernah menjadi imam menurut orang tua-tua. Kadang-kadang saya tidak menurun, tetapi saya juga boleh mengubat. Adakah apa yang saya lakukan itu salah menurut Islam? Saya tidak meminta ia berlaku, tetapi ia terjadi dengan kehendak Allah.

JAWAPAN:

Saudara terlibat dengan rawatan tradisional. Punca pembelajaran yang saudara lalui ialah melalui mimpi, iaitu satu proses amalan kebatinan yang sebenarnya bukan merupakan sesuatu yang istimewa ataupun luar biasa.

Apabila seseorang mukmin itu hampir meninggal dunia, maka datanglah malaikat, bersamanya sekeping kain sutera, padanya misk, ambar dan rayhan. Lalu dikata: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah menemui Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai. Lalu mengalirlah roh tadi seumpama keluarnya rambut dicabut daripada adunan tepung, diletakkan di atas kain sutera tadi, dilipat dan dibawa dengannya ke satu tempat dinamakan Illiyiin.

Roh itu menerima balasan daripada Allah. Sekiranya ia adalah roh orang yang beriman, maka ia akan dibalas dengan nikmat syurga. Andainya roh itu daripada orang yang banyak melakukan maksiat, maka ia akan dibalas dengan seksaan. Terlalu banyak perbahasan dan perselisihan pendapat ulama tentang roh orang yang telah meninggal.

Sesetengah pendapat menyatakan bahawa Allah akan mengembalikan roh kepada jasad yang ada di kubur. Pendapat lain menyatakan bahawa yang diseksa atau menerima nikmat itu merupakan roh semata-mata. Sesungguhnya roh adalah rahsia ketuhanan yang tidak dapat dirungkai secara mendalam oleh manusia pada umumnya. Apa yang perlu difahami ialah Allah subhanahu wa taala menyediakan balasan baik dan jahat, nikmat syurga atau seksa neraka bergantung kepada amalan seorang hamba ketika hidup di dunia.

Terdapat hadis-hadis menyatakan tentang roh yang turun ke dunia, melihat jasad dimandikan, melihat keadaan kaum keluarga yang masih hidup di dunia dan sebagainya. Keterangan-keterangan itu hanya diperoleh melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis.

Dalam keadaan apa sekalipun, perlu kita yakini bahawa roh itu kekal untuk selama-lamanya. Ia berbeza dengan nyawa yang akan hapus apabila seseorang itu meninggal dunia, seumpama cahaya lampu yang menjadi gelap apabila dipadam. Begitulah keadaannya dengan manusia yang akan mati apabila nyawa keluar dari jasad, tidak ubah seperti bangunan yang menjadi gelap apabila lampu dipadamkan. Roh kekal untuk selama-lamanya. Apa yang perlu difahami ialah roh tidak akan turun ke dunia, kecuali dengan izin Allah.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan bahawa mimpi itu ada tiga jenis, iaitu mimpi benar seperti mimpi Nabi Ibrahim yang diperintahkan agar menyembelih anaknya Ismail, atau mimpi yang dialami oleh rasulullah yang merupakan wahyu Allah. Mimpi daripada iblis dan syaitan adalah mimpi mainan tidur. Selain daripada mimpi mainan tidur, mimpi yang paling banyak berlaku kepada manusia biasa ialah mimpi mainan iblis dan syaitan. Malah gangguan ketika tidur adakalanya berpunca daripada iblis dan syaitan.

Salah satu cara iblis dan syaitan menyesatkan manusia ialah melalui mimpi. Makhluk ini adakalanya mendatangi orang yang bermasalah panjang, sakit yang tidak sembuh-sembuh terutamanya sakit akibat gangguan ataupun sihir. Orang yang dalam keadaan seumpama itu fizikalnya selalu menjadi lemah, begitu juga dengan rohnya.

Melalui mimpi

Setelah puas berubat, berusaha dan terlalu mengharapkan kesembuhan, makhluk ini akan mempengaruhi orang berkenaan melalui mimpi. Untuk mendapatkan keyakinan orang berkenaan, makhluk ini akan datang menjelma dalam mimpi dengan berjubah dan berserban, biasanya berwarna hijau atau putih dan adakala memegang tasbih. Dilakukan demikian semata-mata untuk melahirkan keyakinan kerana nabi sukakan warna hijau dan bersih.

Hijau bererti suci sesuai dengan perwatakan makhluk alim yang menjelma dalam mimpi. Makhluk yang menjelma ini akan memberi doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran atau lain-lain doa yang masyhur. Biasanya hanya sebahagian daripada doa yang diberi, lalu orang yang berkenaan terjaga. Begitulah makhluk ini memainkan keghairahan atau minat manusia, tetapi akhirnya doa tadi dapat dibaca selengkapnya melalui tulisan ataupun ingatan sahaja.

Keyakinan mendapat hidayah Allah timbul apabila doa yang dibaca itu didapati benar setelah dirujuk kepada orang-orang alim, apatah lagi apabila sakit yang dideritai sembuh sedikit demi sedikit dengan mengamalkan doa tersebut pada waktu-waktu tertentu. Keyakinan mendapat hidayah Allah menjadi lebih kuat apabila orang yang berkenaan didatangi makhluk yang sama, menyuruhnya agar terus melakukan ibadah sebanyak mungkin, memperbanyakkan puasa dan amalan sunat termasuk sembahyang malam. Jangan mementingkan diri dengan kebolehan yang dimiliki, jangan meminta wang dan sebagainya. Semua tindak-tanduk mesti ikhlas.

Apabila saudara menjelaskan tentang mengubat secara menurun, pelbagai persoalan timbul. Menurun dalam erti kata sebenar ialah satu keadaan di mana seseorang itu tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri akibat diresapi oleh makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.

Ketika dalam keadaan menurun inilah tindakan selanjutnya dilakukan, melakukan rawatan, melakukan tilikan, mencari barang yang hilang, mencari kanak-kanak atau orang tua hilang yang disembunyikan oleh makhluk-makhluk halus. Mereka juga mungkin bersilat, pada hal dalam keadaan biasa orang yang berkenaan tidak boleh bersilat. Orang yang berada dalam keadaan menurun pada hakikatnya tidak sedarkan diri ketika itu. Ataupun mereka sedar tetapi tidak mempunyai keupayaan bertindak.

Segala pergerakan dan pemikiran dikuasai oleh makhluk yang meresap ke dalam tubuh tadi, iaitu jin-jin. Tubuh orang berkenaan hanya merupakan sangkar atau wadah bagi makhluk jin yang meresap melakukan tindakan mengubat, menilik dan sebagainya. Atas pemahaman seumpama ini, apabila saudara melakukan rawatan, tidak kira apa jenis penyakit yang dirawat, makhluk sebenar yang merawat ketika itu ialah jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh saudara, kerana ketika dalam keadaan normal iaitu ketika tidak menurun, atau ketika jin tidak masuk meresap dalam tubuh, saudara tidak berupaya melakukan rawatan.

Bagi orang yang memerlukan pertolongan, meminta supaya anak atau diri sendiri terang hati, mudah menghafal al-Quran dan sebagainya, orang yang berkenaan pada hakikatnya meminta pertolongan kepada makhluk yang menguasai jasad orang itu iaitu jin yang menyebabkan seseorang berada dalam keadaan menurun.

Makhluk yang meresap dalam tubuh saudara mendakwa dirinya sebagai ``Ujang Ali'' dan nama ``Ujang Ali'' itu memang pernah hidup sebagai imam menurut pengetahuan orang tua-tua. Yakinlah bahawa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh hidup semula, lalu meresap dalam tubuh manusia melakukan rawatan dan sebagainya seperti yang berlaku pada saudara. Roh Ujang Ali tidak boleh turun ke dunia kecuali dengan izin Allah, pada hal saudara sebelum menurun membakar kemenyan di samping menyediakan sajian. Bau-bauan sama ada kemenyan, colok dan sebagainya adalah kegemaran makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.

Roh tidak makan sajian yang disediakan kerana roh ketika itu sibuk dengan nikmat atau seksaan Allah. Yang memerlukan sajian ialah jin-jin, sama ada dengan menghidunya ataupun makan melalui perantaraan jasad manusia. Sesungguhnya manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Manusia lebih mulia daripada malaikat dan juga jin-jin andainya mereka benar-benar beriman kepada Allah. Berstatus sebagai khalifah, manusia tidak memerlukan pertolongan jin-jin. Allah menjadikan manusia berumur pendek, antara 60-70 tahun. Sangat sedikit manusia yang umurnya lebih daripada had itu, tetapi umur jin lebih panjang.

Makhluk yang berumur panjang, termasuk jin, lebih banyak menghadapi masalah kesihatan, termasuk penyakit yang tidak ada istilah di kalangan manusia. Kerana itu makhluk ini lebih diperlukan untuk membantu sesama jin. Bantuan jin-jin kepada manusia lebih ketara untuk menyesatkan sahaja. Bukan mustahil saudara melakukan rawatan, tilikan dan sebagainya ketika dalam keadaan biasa, iaitu ketika tidak menurun, waktu jin yang selalu mendampingi saudara berada di luar badan dan tidak meresap.

Ketika itu makhluk ini akan menyalurkan maklumat kepada saudara melalui telinga, gerak hati dan sebagainya di mana caranya hanya dimaklumi oleh saudara tidak kepada orang lain, lalu saudara berupaya melakukan perkara-perkara yang memelikkan, menyebabkan orang luar menganggap saudara mempunyai kelebihan yang istimewa atau kasyyaf (mengetahui perkara ghaib) hasil daripada maunah (pertolongan Allah). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan memberi hidayah kepada hamba kekasih-Nya yang mempunyai sifat warak, zuhud dan takwa hasil daripada keikhlasan yang dimiliki. Untuk membezakan antara maunah dan istidraj, martabat diri di sisi Allah dan juga ihsan perlu diambil kira.

Mingguan Malaysia 17/11/05
Soaljawab bersama:Dato Dr Amran Kasimin http://www.grenbara.bravejournal.com/

1 comment:

  1. banyak kes seperti ini berlaku, dan mereka yg tergolong dlm kelompok ini biasanya ego dan sombong kerana menganggap dirinya hebat walhal sebenarnya mereka telah pilih jalan yang salah. Dalilnya, surah Al-Jin

    ReplyDelete

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG