Saya telah beberapa kali bermimpi, didatangi oleh seorang lelaki memegang tasbih, berjubah hijau dan memakai serban. Lelaki ini, dalam mimpi yang ketiga, yang berlaku dalam tempoh lebih kurang tiga minggu memberi sepotong ayat untuk diamalkan. Ayat ini pada mulanya tidak dapat saya ingati apabila terjaga, tetapi akhirnya ayat itu dapat saya ingati lalu saya perdengarkan kepada seorang ustaz, di mana ustaz tersebut menyatakan bahawa ayat tersebut adalah benar.
Saya telah mengamalkan ayat tersebut, terutamanya selepas sembahyang fardu, seperti yang diajar dalam mimpi tersebut pada pertemuan yang tidak dapat dijelaskan waktunya. Persoalan saya ialah adakah mimpi saya itu baik, tidak mendatangkan masalah kepada saya, termasuk iktikad saya? Setakat ini saya telah menggunakan ayat-ayat tersebut untuk mengubati orang sakit, dan berjaya. - Salmi, Kota Bharu.
JAWAPAN:
Perlu diperjelaskan bahawa bukan mustahil apa yang berlaku ke atas saudara merupakan satu keistimewaan yang diberi oleh Allah ke atas hamba-Nya yang ikhlas, beriman lagi bertakarub kepada-Nya. Banyak cara Allah s.w.t. apabila Dia hendak menolong hamba-Nya. Allah apabila mahukan sesuatu itu berlaku ke atas hamba-Nya, maka akan terjadilah di mana ia tidak digagahi oleh sesiapa pun.
Walaupun demikian, setiap orang yang beriman itu perlu ditadbir oleh mereka yang berilmu. Kedua-duanya mimpi daripada iblis dan syaitan, dan ketiganya ialah mimpi mainan tidur. Iblis dan syaitan diberi keistimewaan oleh Allah dapat melihat manusia, namun sebaliknya manusia tidak boleh melihat makhluk ini. Walaupun demikian, dalam keadaan tertentu manusia dapat melihat jin apabila penutup yang menghalang penglihatan manusia itu dibuka oleh Allah iaitu di kalangan mereka yang menuntut ilmu yang berkaitan dengan jin, membela, bersahabat atau bersaudara, mereka yang diganggu oleh jin (gangguan), atau mereka yang menghadapi masalah sihir, juga oleh sesiapa pun di mana hijab yang berlaku selama ini dibuka oleh Allah. Jin tidak berupaya untuk berkomunikasi secara terus dengan manusia, kerana nature kejadian makhluk ini adalah berbeza.
Manusia dijadikan oleh Allah daripada saripati tanah, manakala jin dijadikan Allah daripada api yang sangat panas. Manusia mempunyai jasad, tetapi jin tidak mempunyai jasad kasar seperti manusia. Ini adalah di antara sebab yang menjadi perbincangan atau perbalahan ahli-ahli falsafah kenapa manusia dan makhluk jin ini tidak dapat berhubung secara fizikal.
Walaupun demikian, makhluk halus ini berupaya berhubung dengan manusia ketika tidur melalui mimpi. Makhluk ini berupaya menyakiti manusia ketika hendak terlelap tidur, dengan mendatangkan pelbagai gangguan, menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah dihempap batu besar, ditikam di perut dengan benda tajam, berasa seolah-olah biji mata dipatuk oleh paruh burung yang besar, dicekik dan diselam dalam air menyebabkan orang yang tidur berkenaan tidak bernafas atau sesak nafas, menggigil ketakutan dalam keadaan berpeluh-peluh dan sebagainya.
Ketika sedang tidur makhluk ini boleh datang dalam mimpi, menyerupai binatang hitam yang menakutkan, menggigit, membelit dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu takut hendak tidur, lalu akhirnya jatuh sakit, atau sakitnya menjadi bertambah teruk.
Mengenai kes saudara, makhluk ini mendatangi saudara ketika dalam mimpi, dengan berjubah hijau dan sebagainya seperti yang saudara jelaskan. Jubah adalah lambang seorang yang alim apatah lagi dikaitkan dengan biji-biji tasbih di tangan. Warna hijau pula adalah warna kesukaan Nabi s.a.w. Keadaan seumpama ini adalah semata-mata untuk menarik minat saudara untuk mempercayai bahawa apa yang berlaku itu adalah pertolongan Allah, atau sekurang-kurangnya tidak ada kaitan dengan liku-liku atau helah jin, apatah lagi sekiranya ia berlaku ketika saudara dalam keadaan banyak berzikir, berdoa dan mendirikan sembahyang di keheningan malam.
Makhluk yang menjelma dalam bentuk atau rupa manusia alim ini begitu bijak. Ia tidak akan memberi doa sekali gus membolehkan saudara terus mengingati ayat-ayat yang diberi, tetapi ia akan memberinya sedikit buat permulaannya. Begitu juga yang dilakukan pada ketika yang lain, menyebabkan saudara begitu ghairah untuk mendapatkan doa yang ditayang-tayang dalam beberapa pertemuan mimpi.
Hidayah
Dalam keadaan apa sekalipun, selepas beberapa sesi mimpi yang terlalu mengharap, saudara akhirnya dapat ayat sepenuhnya seperti yang saudara jelaskan, dan didapati benar apabila saudara perdengarkan kepada orang yang faham mengenainya. Dalam keadaan seperti ini, saudara akan terus-menerus mengamalkan apa yang disarankan oleh lelaki yang menjelma tadi.
Dalam pertemuan yang lain, saudara akan dinasihatkan supaya memperbanyakkan lagi sedekah, perbanyakkan puasa Isnin dan Khamis, pergi umrah dan sebagainya. Semuanya ini menyebabkan saudara terus berkeyakinan bahawa apa yang berlaku tidak ada kaitan dengan jin atau jin-jin, tetapi merupakan ``maunah'' Allah, ataupun hidayah Allah, yang tidak diperoleh oleh semua orang.
Perjalanan saudara tidak berakhir begitu sahaja. Mungkin saudara, ataupun orang yang berpengalaman seperti saudara pada satu ketika pergi ke sekolah untuk mengajar seperti biasa. Ketika rehat salah seorang daripada guru perempuan teman saudara dengan tiba-tiba pening kepala lalu pengsan. Oleh kerana saudara dianggap sebagai seorang yang banyak ilmu agamanya, rajin berkata-kata mengenai agama, lalu teman-teman lain meminta jasa baik saudara supaya menolong teman yang sedang pengsan tadi. Dalam keadaan kelam-kabut saudara rasa terdorong untuk menolong teman tadi, iaitu dengan membacakan doa yang saudara pelajari ketika tidur dan mengamalkan menurut panduan yang diberi dan didapati orang yang tidak sedarkan diri itu sembuh seperti sedia kala.
Terlalu banyak peristiwa seperti ini boleh berlaku yang melibatkan saudara yang akhirnya saudara menjadi seorang ``tok bomoh'', atau lain-lain julukan diberi oleh kawan-kawan, yang semuanya menghela kepada keyakinan diri bahawa saudara berupaya melakukan rawatan kepada pesakit. Mungkin pada waktu lain, guru yang sama dengan tidak semena-mena pengsan, lalu mengeluarkan suara yang lain daripada suaranya, dan berkata dengan perkataan-perkataan yang tidak disangka-sangka, tetapi ada kebenarannya. Dan apabila saudara datang mendekatinya, membacakan doa yang saudara amalkan dalam segelas air, pesakit menjadi sembuh setelah minum.
Hal yang sama mungkin berlaku ketika saudara balik kampung, atau ke majlis-majlis perkahwinan, di mana pengantin perempuan dengan tidak semena-mena menjerit lalu tidak sedarkan diri. Dalam keadaan panik, dan tercari-cari orang yang pandai mengubat, memulihkan pengantin, saudara akhirnya terdorong untuk merawat pengantin yang pengsan tadi, dan sembuh. Pada diri saudara, apa yang berlaku memberi keyakinan. Diyakini bahawa apa yang saudara dapat adalah daripada pertolongan Allah, apatah lagi ketika itu saudara selalu melakukan sembahyang di waktu malam, puasa Isnin dan Khamis, banyak bersedekah dan sebagainya, tetapi dari satu sudut lain, apa yang berlaku adalah hasil dari permainan dan tipu helah syaitan.
Guru yang sakit yang pengsan di sekolah, ataupun pengantin yang tidak sedarkan diri meracau ketika bersanding itu berlaku kerana angkara jin yang sama, iaitu perbuatan jin yang datang menjelma dalam mimpi saudara. Iaitu jin yang datang berjubah hijau, memegang tasbih berserban. Setelah memberi doa kepada saudara, lalu perasaan rasa yakin diri itu tersemat dalam diri, jin yang sama datang kepada guru yang ada di sekolah tempat saudara mengajar, lalu mencekik atau menyakitinya, dan meresap dalam tubuhnya.
Makhluk jin ini dalam masa yang sama mendorong saudara untuk memulihkannya, lalu saudara berjaya memulihkannya. Begitu juga yang berlaku ketika pengantin perempuan bersanding di mana masalah yang timbul adalah angkara jin yang sama. Walaupun demikian, apa yang berlaku tidak mudah diketahui atau disedari oleh manusia kerana tindak-tanduk, dan tipu helah jin atau iblis syaitan musuh manusia itu terlalu besar muslihatnya.
Terlalu banyak tipu helah makhluk halus yang menyebabkan seseorang itu sesat, tetapi merasakan dirinya mendapat maunah atau hidayah Allah. Makhluk ini secara tidak langsung mengajar dan membantu manusia melakukan rawatan dengan pelbagai kaedah, termasuk mengajar manusia atau berhubung dengan manusia ketika tidur. Setelah saudara benar-benar yakin, makhluk ini berkemungkinan meresap dalam diri saudara, menyebabkan saudara, ataupun orang yang mempunyai pengalaman seperti ini melakukan rawatan dalam keadaan menurun, di mana makhluk ini menggunakan jasad manusia untuk melakukan rawatan, mencari barang hilang, memberi petua penerang hati dan sebagainya.
Fenomena seperti ini hakikatnya banyak berlaku di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan hingga sekarang ini tanpa disedari. Perbicaraan mengenai ilmu yang diperoleh dalam mimpi banyak berlaku. Sukar untuk membezakan antara mereka yang mendapat maunah atau hidayah benar-benar daripada Allah. Biar dalam keadaan apa sekalipun, saya berkeyakinan bahawa kebanyakan mereka yang memperoleh ilmu melalui mimpi hakikatnya adalah daripada tipu helah iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia.
Soaljawab bersama : Dato' Dr.Amran Kasimin
assalamualaikum,
ReplyDeletesaya ada sedikit kemuskilan, sepupu saya mendapat sakit misteri sejak 4 bulan yg lalu. pada mulanya keluarga kami berpendapat sepupu saya terkena santau. dalam tempoh 4 bulan ni sepupu saya selalu dirasuk,sakit-sakit dari tulng blakang hingga ke pinggang dan dia juga sering menagadu sakit kaki..dia juga selalu terasa seperti ada bnda yg berjalan diats permukaan kulitnya..tetapi sejak 2 minggu lepas..sepupu saya pengsan dan kami telah memanggil seorang kenalan yang boleh berubat..tetapi apa yang membuat saya terkejut dia menyatakan sepupu saya telah mendapat ilmu dari putri walinong sari. sepupu saya sendiri boleh bercakap dalam bahasa siam, cina dan jawa. kadang-kadang dia juga bercakap sendirian seolah2 ada org disebelahnya dalam bahasa siam. apa yang menyedihkan saya..seluruh ahli keluarga saya mempercayai bahawa sepupu saya telah mendapat ilmu dari allah.soalan saya adakah perkara sebegini boleh benar?atau mainan jin sahaja?saya keliru dan tak tahu apa yang perlu saya buat. tapi dalam hati saya agak susah untuk saya percaya perkara sebegini.