Ianya cukup popular. Berduyun-duyun orang datang, terutamanya pada malam Jumaat, termasuk pak-pak haji. Banyak orang yang sakit sembuh setelah menemuinya.
Kalau amalan ini didakwa bertentangan dengan ajaran Islam. Amalan yang mana yang dikatakan bersalahan dengan Islam? - Insah Resah, Lenggong
JAWAPAN:
Lebih jelas, 'menurun' adalah proses, di mana makhluk halus, terdiri daripada jin atau jin-jin, masuk atau meresap dalam tubuh manusia, menggunakan tubuh manusia bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu melakukan rawatan dengan kaedah 'menurun', makhluk tadi akan masuk dalam tubuh, menyebabkan individu itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri keseluruhannya, ataupun sedar tetapi tahap sedarkan diri hanya sedikit.
Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk yang meresap atau turun bersatu dalam jasad itu jelasnya menguasai tubuh manusia. Makhluk ini menggunakan lidah manusia yang terlibat untuk bercakap. Kalau ia sedang memegang keris untuk memotong limau contohnya, yang memotong ketika itu ialah tangan manusia yang terlibat, tetapi apa yang berlaku adalah atas kehendak, ikhtiar atau ketentuan jin yang meresap dalam tubuh itu.
Pada kebiasaannya, suara yang keluar dari tubuh orang yang terlibat ketika itu adalah suara asal orang berkenaan. Dalam keadaan tertentu, suara yang keluar bukan suara orang berkenaan. Bertukar menjadi garang atau lembut macam suara orang tua atau mak nenek sekiranya jin yang meresap itu terdiri daripada jin perempuan tua, atau nenek tua.
Ketika itu, orang yang memerlukan hajat tadi, termasuk pak-pak haji seperti yang saudara jelaskan akan memanggil orang yang berada dalam keadaan 'menurun' dengan nama "atuk" contohnya, "nenek" kalau ia melibatkan perempuan yang menurun, ataupun "embah" (bermaksud atuk), kalau ianya orang Jawa.
Orang yang menurun, yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akan bertanya, "ada apa hajat cu?" Orang yang terlibat, yang dikuasai oleh jin yang meresap itu memberi penghormatan kepada manusia yang datang memohon pertolongan itu sebagai "cucu".
Orang yang dipanggil sebagai "cucu" atau "anak", yang dipanggil sebagai "nak", akan menjawab, contohnya: Tok. Saya sekarang ni tengah belajar kelas fardu ain di surau. Ustaz yang mengajar itu mengajar ayat-ayat al-Quran, dan doa-doa. Tapi saya ni payah sangat nak hafal doa yang diberi.
"Oh! Kalau gitu cucu ini nak air penerang hatilah!". "Betul tuk. Itulah hajat cucu yang sebenar! Nak minta air penerang hati supaya mudah beribadat untuk bekalan hari tua nanti".
"Oh.. gitu. Baik sekali niat cucu. Ambil kemenyan ini. Bakar waktu petang sebelum maghrib. Kemudian minum air ini!"
Orang yang dalam keadaan menurun, yang selalunya dipanggil dengan nama pawang, bomoh, poyang atau sebagainya, menurut panggilan yang lumrah oleh penduduk tempatan atau nama yang diberi sendiri oleh orang berkenaan, diuar-uarkan kepada pengikutnya, sebagai ustaz, khalifah, guru, ataupun profesor pun membaca jampi mantera, atau serapah menggunakan sebutan salam, bismillah, kalimah-kalimah unsur- unsur Islam, seperti nama-nama malaikat, nama-nama nabi, terutamanya Nabi Yusuf kalau ia melibatkan ilmu atau jampi pemanis muka yang kebiasaannya mengakhiri kata-katanya dengan kalimah syahadah. Lalu akhirnya mengunjukkan kemenyan yang dijampi mantera juga air yang dibawa oleh pesakit.
Perlindungan
Orang yang berada dalam keadaan 'menurun' seperti yang saya huraikan tadi adalah orang yang reda dirinya diresapi oleh makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin atau jin-jin, yang tidak diketahui hakikatnya, yang mungkin terdiri daripada iblis dan syaitan. Di situlah orang yang berkenaan sama ada sedar atau tidak sedar telah memohon perlindungan kepada makhluk ini untuk melakukan sesuatu tujuan seperti yang dijelaskan. Itulah sejahat- jahat teman.
Dalam al-Quran, surah An-Nisa": 38, terdapat firman Allah yang bermaksud: Barang siapa syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.
Orang yang seperti ini, yang ingkar, berpaling daripada ketentuan Allah akan mendapat balasan Allah. Dalam surah Taha: 124 dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya mereka akan memperoleh kehidupan yang sangat sempit.
Pada kebiasaannya, orang yang terlibat dengan amalan kebatinan yang melibatkan jin-jin akan memanggil makhluk tersebut, iaitu makhluk yang dibela, dibuat sahabat atau saudara melalui rangkaian jampi, mantera, serapah dan sebagainya. Dalam masa yang sama pada kebiasaannya makanan atau juadah akan disajikan, termasuk ayam, kuih-muih, ataupun bakaran kemenyan, juga colok bagi mereka yang tinggal di sempadan, juga yang menyembah berhala.Perlu difahami dan disedari bahawa hanya Allah yang mempunyai sifat kudrah, yang berkuasa memberi perlindungan. Apabila seseorang itu menyeru makhluk-makhluk halus seperti yang dijelaskan itu untuk tujuan perlindungan dan sebagainya, orang yang berkenaan telah menyamakan, atau mensyirikkan kudrah Allah yang Maha Esa dengan sesuatu yang baru. Dalam istilah tauhid ia dinamakan "syirik", orang yang terlibat dinamakan "musyik" iaitu orang yang menyekutukan Allah. Dosa syirik tidak diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan bersyahadah terlebih dahulu.
Dalam masyarakat Melayu, pelbagai masalah yang timbul tidak dapat dijawab apabila orang yang terlibat dengan amalan 'menurun' itu menggunakan rangkaian kata jampi mantera atau serapah dengan kalimah-kalimah yang mempunyai unsur-unsur Islam, seperti penggunaan kalimah salam, bismillah, nama-nama malaikat dan nabi, sebutan derhaka kepada Allah dan Muhammad, dan berkat kalimah La ilaha ilallah. Selain daripada itu, dikatakan bahawa apa yang dikatakan segala-galanya ikhtiar belaka. Selain daripada itu segala-galanya terserah kepada Allah.
Kehadiran pak haji seperti yang saudara jelaskan tidak menjadi bukti tentang kebenaran amalan 'menurun' tadi. Malah dalam keadaan tertentu, saya perhatikan orang yang 'menurun' juga ada yang terdiri daripada mereka yang telah menunaikan fardu haji di Mekah.
bagaimana pula ratu balquies isteri Nabi Allah Sulaiman, bukan kah dari dari keturunan jin
ReplyDelete