SOALAN:
Saya seorang guru yang sedang cuti belajar di universiti. Ketika isteri saya bersalin anak sulung, saya tidak dapat balik melihatnya kerana ujian. Setelah seminggu bersalin dan kedua-duanya telah balik ke rumah, saya mendapati di pergelangan tangan anak saya ada tangkal benang berwarna putih, merah dan hijau.
Saya musykil, ada sesetengah orang kata, tangkal itu haram dipakai, tetapi ustaz di sekolah tempat saya mengajar dahulu kata harus kalau tangkal itu diperbuat daripada ayat al-Quran. Mana satukah yang benar?
JAWAPAN:
Terdapat perselisihan pendapat ulama mengenai hukum menggunakan tangkal. Bagi menjelaskannya, tangkal, azimat atau wafak itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: Pertama, tangkal yang ditulis ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya, daripada doa-doa; kedua, tangkal yang diperbuat selain daripada jenis pertama, seperti daripada logam iaitu keris, paku, jarum atau duit syiling, cincin, tembaga, timah atau tahi besi dan daripada binatang seperti kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, tulang kokang, batu akik atau benang, tasbih, kayu dan sebagainya.
Tangkal yang diperbuat daripada bahan pertama, tidak kira dimana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak harus digunakan berdasarkan kepada hadis umum yang bermaksud: Sesungguhnya jampi-jampi dan tangkal-tangkal juga tiwalah itu syirik - hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Juga berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Aqabah bin Amir yang bermaksud: Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah syirik - hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Hakim. Menurut Asy-Syeikh Abdul Rahman bin Hassan seperti yang tersebut dalam Fathu `l-Majid, larangan tersebut berdasarkan kepada:
1. Umum hadis-hadis di atas melarang penggunaan tangkal, tanpa pengecualian atau merujuk kepada kes-kes tertentu.
2. Untuk mencegah kekeliruan, di mana orang awam berkemungkinan tidak dapat membezakan antara tangkal yang diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran atau doa-doa dengan tangkal yang ditulis bukan daripada ayat-ayat tersebut.
3. Untuk mengelakkan berlakunya penghinaan terhadap ayat-ayat suci, iaitu sekiranya ia dibawa ke tempat-tempat kotor, seperti tandas, dipakai ketika istinjak, ketika dalam keadaan junub dan sebagainya.
Pendapat ini disokong oleh Abdullah bin Mas'ud juga murid-muridnya, Ahmad Hambal dan juga kebanyakan para sahabat, dan disokong oleh ulama yang terkemudian daripadanya seperti Ibn Abbas, Uqbah bin Amir dan Ibn Akim.
Pendapat kedua ialah pendapat yang mengharuskan penggunaan tangkal yang diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya. Ini adalah pendapat Abdullah bin Umr bin al-As, juga sesetengah ulama salaf. Menurut fatwa jawatankuasa fatwa kerajaan Arab Saudi yang dibukukan, iaitu dalam Al-Fatawa Az-Zahabiyah, 1996, ms. 252, pendapat pertama, iaitu pendapat yang melarang penggunaan tangkal adalah lebih kuat hujahnya, lebih mantap untuk memelihara akidah, tauhid dan pegangan hidup orang Islam. Menurut Ibrahim an-Nakhaiy, para ulama salaf tidak menyukai (karahah) penggunaan tangkal. Yang dimaksudkan dengan karahah di sini ialah haram. Ini adalah pendapat Imam Ahmad, juga pendapat sekumpulan sahabat yang disokong oleh ulama yang terkemudian. Adapun tangkal yang diperbuat selain daripada ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya juga doa-doa, maka hukumnya adalah syirik, berdasarkan kepada umum hadis-hadis di atas.
Keterangan hadis berikut memperkuat larangan menggunakan tangkal. Pada suatu ketika Abdullah bin Mas'ud mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal. Beliau telah melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata:
``Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya.'' Kemudian beliau berkata, menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan tiwalah itu syirik.
Para sahabat telah bertanya: Ya Rasulullah, jampi-jampi dan tangkal telah kami tahu, apakah yang dinamakan ``tiwalah'' itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan oleh kaum wanita agar dengannya suami-suami menyayangi isteri-isteri mereka.
Larangan menggunakan tangkal ini sama seperti fatwa yang dikeluarkan oleh As-Syeikh Abdul Halim Mahmud (Ahmad an-Nuhas, 1994:515). Larangan menggunakan tangkal ini meliputi tangkal yang diperbuat daripada logam, yang dipakai di pergelangan tangan seperti yang dijelaskan oleh hadis berikut:
Daripada Imran bin Husain sesungguhnya Nabi telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya. Baginda bertanya: Apa ini? Lelaki itu menjawab: Ini adalah benda yang lemah. Mendengarkan katanya itu baginda bersabda: Lucutkan ia. Sesungguhnya ia tidak menambah, kecuali kelemahan. Kalau kamu mati sedangkan ia tetap kamu pakai, selama-lamanya kamu tidak akan selamat - hadis riwayat Imam Ahmad.
Lelaki yang memakai tangkal tembaga ini mengalami sakit di lengan. Tangkal yang dipakai telah dijampi terlebih dahulu. Baginda s.a.w. menyuruh agar menanggalkannya, jangan dipakai lagi dan menyatakan bahawa tangkal itu akan hanya menyebabkan dia lebih lemah, kerana hati dan harapannya selama itu bergantung kepada tangkal yang tidak memberi manfaat atau mudarat. Menurut Ahmad an-Nuhasiy at-Tumi dalam kitabnya Syifau `r-Rahman ll `s-sihr wa `l-hasad wa Amradi'l-Jan, ms. 101, perbuatan menggantungkan al-Quran pada anak-anak kecil juga pada orang dewasa, ataupun di kereta untuk melindungi diri daripada kecelakaan, atau daripada gangguan jin-jin adalah termasuk dalam amalan bid'ah. Begitu juga perbuatan menggantung ayat-ayat al-Quran, seperti surah Alam Nasrah di kedai-kedai, agar terhindar daripada pencuri berdasarkan kepada hadis-hadis di atas.
Dalam satu soalan yang dikemukakan mengenai hukum menggantungkan tangkal pada pesakit yang ditulis padanya doa-doa dengan ayat-ayat al-Quran dengan perkataan Arab yang tidak difahami maknanya, yang disertai dengan lakaran bintang-bintang, juga nama-nama nabi, as-Syeikh Abdul Aziz bin Bar memberi fatwa bahawa tangkal tersebut tidak harus digantungkan pada manusia, diletakkan dalam pakaian, di atas hamparan tempat tidur, atau di mana-mana tempat dalam rumah, untuk menolak bala atau kecelakaan, atau untuk mendapatkan kebahagiaan. Perbuatan tersebut adalah syirik.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim, daripada Zainab, iaitu isteri Abdullah bin Mas'ud, ia berkata bahawa suaminya telah melihat sehelai benang dililit di lehernya. Dia bertanya: Apa ini? ``Sehelai benang yang telah dibacakan jampi,'' jawab isterinya. Abdullah bin Mas'ud telah melucutkan benang tadi lalu memotongnya, kemudian dia berkata: Semua keluarga Abdullah bebas daripada syirik. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik.
Zainab bertanya, ``kenapa kau berkata sedemikian rupa, padahal mataku mengeluarkan air mata apabila terpandang seorang Yahudi dan apabila aku memakainya, air mata itu tidak keluar lagi. Abdullah menjawab: Sesungguhnya itu adalah amalan syaitan. Apabila kamu taat kepadanya, ia akan mencucuk mata dengan jarinya. Cukuplah engkau membaca, seperti yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. doa yang berikut:
Hilangkan sakit ini, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah aku, Engkau adalah penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sakit - hadis riwayat Ibn Majah, Abu Daud dan al-Hakim.
Pendapat keempat, penggunaan tangkal, tidak kira sama ada tangkal yang diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, nama Allah, sifat-sifat-Nya dan doa-doa, yang ditulis pada kertas, kain atau pakaian (dibuat baju), logam, daripada binatang, tumbuh-tumbuhan, batu akik, termasuk benang dan sebagainya dilarang menggunakannya apabila ia disertai dengan amalan sihir, seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis:
Barang siapa membuat satu simpulan, kemudian meniupnya, maka sesungguhnya dia telah melakukan amalan sihir, barang siapa melakukan amalan sihir maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik - hadis riwayat an-Nasaiy.
Yang dimaksudkan dengan sihir di sini ialah perbuatan menyediakan tangkal yang terdiri daripada sesuatu yang boleh dibuat pengikat, seperti benang, kain dan sebagainya, atau benang yang diletakkan padanya tangkal, ataupun kain yang diambil daripada kain kapan, kemudian dibacakan dengan rangkaian jampi mantera untuk memanggil jin-jin, sama ada jin-jin yang dibela, dibuat sahabat atau dibuat saudara yang akan ``bersama'' dengan tangkal yang dibuat tadi, membolehkan pemakai tangkal memperoleh natijah luar biasa, yang dianggap sebagai ``hikmah'' untuk pendinding diri, disukai ramai, penggerun dan sebagainya, kemudian bahan tadi ditiup yang diistilahkan sebagai ``an-nafath''. Orang yang berkenaan telah melakukan sihir.
Kalimah ``an-nafath'' asalnya bererti mengeluarkan sesuatu daripada mulut seperti kahak atau air ludah (al-Munjid, 1966: 823), tetapi yang dimaksudkan di sini ialah meniup daripada mulut tanpa mengeluarkan air ludah. Amalan ini banyak dilakukan oleh tukang-tukang sihir perempuan di zaman jahiliah seperti yang tersebut dalam al-Quran (al-Falaq, 4). Jelasnya, tangkal tidak kira daripada bahan apa ia disediakan, sekiranya disertai dengan pemujaan jin-jin, maka amalan itu tetap dilarang. Orang yang berbuat demikian telah melakukan sihir, yang boleh menyebabkan syirik iaitu salah satu dosa besar yang dilarang dalam Islam.
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain daripada dosa syirik terhadap mereka yang dikehendaki oleh-Nya - (an-Nisa': 4 .
Mingguan Malaysia 7/7/02
No comments:
Post a Comment