FOLLOWERS

Monday, October 17, 2011

SIFAT DAN ETIKA PERAWAT ISLAM ( SEMINAR PERUBATAN ISLAM )

PENDAHULUAN

Ilmu pengubatan adalah ilmu Allah s.w.t.  Ulama’ sepaka t berpendapat bahawa mempelajari ilmu pengubatan itu hukumnya fardu kifayah. Merawat pesakit adalah profesion yang sangat mulia. Hukum mengajar ilmu ini adalah wajib bagi mereka yang arif mengenainya apabila tiba masanya dan apabila masyarakat memerlukannya. Manakala menyembunyikan ilmu ini pula hukumnya berdosa serta termasuk dalam kategori kufur dengan nikmat Allah s.w.t.



Hukum berubat pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wajib dan harus. Bagi orang awam hukumnya harus ketika dia masih dapat menanggung kesakitannya dan boleh bersabar dengan penyakit itu. Pada keadaan lain, hukumnya menjadi wajib sekiranya dia sudah tidak dapat menanggung lagi kesakitannya.

Bagi golongan tertentu seperti para Nabi dan wali di mana maqam mereka begitu tinggi dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t. maka hukumnya adalah hasrus berubat. Bagi golongan ini penyakit adalah ujian daripada Allah s.w.t.


20 SIFAT PENGAMAL PENGUBATAN ISLAM 
( Perawat )

Penulis lebih suka mentafsirkan definisi “sifat” ini sebagai perkara yang perlu dimiliki oleh peribai seseorang perawat terhadap dirinya sendiri demi mencapai kasih sayang Allah dan keberkesanan doa yang dipohonnya. Antara sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang perawat Muslim ialah :

1. Niat ketika mula-mula mencebur diri dalam bidang ini hendaklah baik iaitu untuk berkhidmat kepada mereka yang ditimpa penyakit kerana Allah s.w.t. semata-mata.

2. Perawat hendaklah mengamalkan bacaan-bacaan atau doa-doa yang dipetik daripada ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith Nabi, contoh-contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang diajar oleh malaikat kepada nabi-nabi dan wirid-wirid tertentu selain daripada doa-doa yang digunakan dalam kaedah ilmu pengubatan tradisional melayu yang tidak mengelirukan serta boleh difahami dari segi lafaz dan maknanya.

3. Perawat hendaklah sedar bahawa ilmu rawatan ini bukanlah satu bahan pameran yang digunakan untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai tetapi lebih kepada tanggungjawab sesama insan.

4. Perawat hendaklah bersyukur dengan anugerah ilmu rawatan yang dimilikinya dengan membantu pesakit-pesakit yang mengharapkan bantuannya.

5. Perawat hendaklah istiqamah dalam amalan wirid-wirid dan doa-doa yang berkaitan dengan rawatan terutamanya selepas solat fardhu bagi memperolehi kekuatan rohani yang sukar didapati dengan jalan yang lain. Kekuatan rohani akan menjadi nur yang tersimpan dalam diri perawat yang dapat dialirkan kepada pesakit melalui rawatan.

6. Perawat juga digalakkan berzikir, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil melalui keratan sendi jari dan bukannya melalui biji tasbih kerana dengan menghitung zikir melalui jari membuatkan nur dan keberkatan yang dapat digunakan dalam rawatan.

7. Perawat hendaklah memelihara adab dan cara mengambil bahan tumbuhan atau herba bagi tujuan dijadikan bahan rawatan. Contoh bahan rawatan seperti daun mamu, daun misai kucing, daun kacang botol, rumput sambau, daun bidara dan sebagainya perlu diambil kena dengan caranya.

8. Perawat hendaklah mengetahui jenis ubat, doa, bahan dan kaedah rawatan yang bersesuaian dengan sesuatu penyakit.

9. Perawat hendaklah mengikhlaskan diri setiap masa terutamanya apabila melakukan rawatan.

10. Perawat hendaklah memiliki benteng pertahanan diri dan keluarga yang cukup.

11. Perawat hendaklah menjauhi sifat menunjuk-nunjuk dan mengejar ganjaran kebendaan dalam rawatannya.

12. Perawat tidak boleh berputus asa dalam rawatannya.

13. Perawat hendaklah mempunyai asas dalam ilmu biologi dan psikologi kerana tidak semua gangguan berpunca daripada makhluk halus.

14. Perawat juga hendaklah yakin dengan doa yang dibacanya.
15. Bagi pesakit yang kronik seperti sakit stroke yang lama, maka perawat adalah sangat digalakkan sebelum memulakan rawatannya dengan terlebih dahulu berpuasa sunat tiga hari berturut-turut dan menunaikan solat hajat.

16. Perawat hendaklah mengamalkan amalan-amalan sunat selain daripada amalan yang wajib shinggalah dia dikasihi Allah.

17. Setiap doa dan permulaan sesi rawatan hendaklah dimulakan dengan istighfar terlebih dahulu kemudian diikuti bacan Al-Fatihah dan selawat.

18. Perawat tidak dibenarkan memandang rendah kepada rawatan-rawatan yang lain atau kepada perawat-perawat yang lain.

19. Perawat adakalanya boleh bergerak secara individu dan ada kalanya harus bergerak dalam satu kumpulan dalam merawat. Oleh itu hubungan baik dengan perawat-perawat lain haruslah disuburkan.

20. Sentiasa merujuk kepada guru jika timbul sesuatu permasalahan yang berkaitan dengan penyakit yang baru atau agak susah untuk dipulihkan.


30 ETIKA PENGAMAL PENGUBATAN ISLAM 
( Perawat )

Penulis lebih gemar mendifinisikan ‘etika’ sebagai perlakuan perawat apabila berhadapan dengan pesakit dan keluarga pesakit dalam proses rawatan. Antara etika yang perlu dimiliki oleh perawat ialah :-

1. Terlebih dahulu menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa di hospital atau klinik bagi sesetengah penyakit fizikal seperti gatal-gatal badan, batuk, gout dan sebagainya. Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berhasil maka barulah pengubatan cara ini perlu dilakukan.

2. Sebaik-baik cara mendoakan pesakit ialah dengan meletakkan tangan kanan di tempat yang sakit (jika tidak menimbulkan fitnah). Cara yang demikian dapat melegakan perasaan pesakit.

3. Perawat hendaklah mengubati pesakit dengan menggunakan bahan-bahan yang diharuskan oleh syara’ sahaja. Elakkan daripada menggunakan bahan-bahan dan terapi yang diharamkan seperti tahi, darah, darah dan tangkal azimat.

4. Perawat hendaklah mengelakkan diri daripada mengecewakan pesakit dengan menyatakan pesakit tiada harapan untuk sembuh. Perawat hendaklah meyakinkan pesakit bahawa setiap penyakit ada ubat dan penawarnya.

5. Perawat hendaklah merawat pesakit dengan penuh kesungguhan dan bukan sambil lewa. Merawat dengan simpati bukan dengan benci.

6. Perawat hendaklah bersikap adil dalam menerima pesakit. Rawatlah pesakit secara saksama tanpa membezakan darjat dan keturunan.

7. Perawat hendaklah membekalkan pesakit dengan nasihat yang berguna serta bekalan doa yang boleh diamalkan oleh pesakit di rumahnya nanti.

8. Perawat juga hendaklah menerangkan kepada pesakit penggunaan bahan-bahan yang didoakan dengan jelas dan tepat seperti autran mandi dan sebagainya.

9. Selesai doa, perawat hendaklah meniup pada air dan bahan serta di tempat bahagian sakit sebanyak sekali atau  tiga kali.

10. Perawat hendaklah menangguhkan rawatan jika berada dalam keadaan yang tidak selesa, tidak tenang, dan tidak yakin dengan keupayaan diri, badan tidak sihat, sakit, berhadas besar dan sebagainya.

11. Perawat hendaklah mengelakkan daripada melakukan rawatan di rumah pesakit terutamanya bagi perawat yang baru berjinak-jinak dengan dunia pengubatan Islam.

12. Perawat hendaklah mengikis perasaan mudah menang atau mudah sembuh ketika merawat . Serahkan urusan kesembuhan kepada Allah.

13. Perawat hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah atau curiga ketika melakukan rawatan. Justeru sangat diwajibkan pesakit ditemani mahramnya seperti suami dan ahli keluarga yang lain. Rawatan biarlah di tempat terbuka yang mudah dilihat orang lain.

14. Perawat hendaklah menasihati pesakit supaya banyak bersabar atas ujian Allah yang menurunkan sakit kepada manusia kerana hakikatnya ia untuk menggugurkan dosa-dosa, menghasilkan pahala dan meningkatkan maqam disisi Allah s.w.t.

15. Perawat hendaklah memastikan aurat pesakit tidak dibiarkan terbuka.

16. Perawat hendaklah menjaga rahsia pesakit dan tidak mendedahkannya kepada orang lain.

17. Perawat hendaklah menjaga percakapannya daripada menyatakan bahawa sakit itu adalah ”buatan orang” dan sebagainya yang berbentuk ramalan sahaja.

18. Perawat hendaklah jangan mempercayai perkataan yang disampaikan oleh makhluk halus pada badan pesakit seperti si fulan bin si fulan yang menyihir dan dengki kepada pesakit tersebut. Itu adalah permainan jin dan syaitan yang suka menipu.

19. Perawat juga hendaklah menasihati pesakit agar jangan terpedaya dengan percakapan jin dan syaitan melalui pesakit yang tidak sedar kerana ianya memang bertujuan memporak-perandakan hubungan sesama umat Islam.

20. Perawat dilarang meletakkan harga sesuatu rawatan yang diikhtiarkannya. Menetapkan untuk bayaran bahan rawatan dibenarkan. Ganjaran yang diberikan oleh keluarga pesakit tanpa ditetapkan oleh perawat harus diterima.

21. Sekiranya mendapat tahu pesakit ada mengamalkan ilmu salah, minta pesakit supaya meninggalkan ilmu tersebut, menanggallkan azimat yang dipakai dansebagainya.

22. Bagi merawat pesakit yang ada gangguan, nasihatkan pesakit memakai seluar track bukannya hanya berkain.

23. Perawat boleh berdialog dengan makhluk halus dalam badan pesakit dengan memintanya meninggalkan badan pesakit dan berdakwah kepadanya agar dia masuk Islam.

24. Perawat hendaklah menjauhi kaedah rawatan yang boleh mencederakan atau melukakan atau menyakiti pesakit.

25. Perawat hendaklah prihatin dengan keadaan pesakit dan cuba sedaya upaya untuk mempermudahkan urusan pesakit.

26. Perawat hendaklah mengawal emosi marahnya ketika berhadapan dengan karenah pesakit atau ejekan daripada makhluk halus dalam badan pesakit.

27. Bermulalah dengan memberi salam kepada keluarga pesakit, bermuka ceria dan hendaklah menghormati keluarga pesakit.

28. Perawat hendaklah melakukan pemeriksaan badan yang beretika kepada pesakit terutamanya pada pesakit wanita.

29. Perawat boleh meminta bantuan daripada guru atau perawat-perawat lain jika diperlukan.

30. Perawat hendaklah menjauhi kaedah rawatan yang melanggar fitrah kehidupan manusia seperti bedah batin, menurun, jarak jauh dan sebagainya.

Dengan mengamalkan panduan di atas, kita hendaklah yakin kepada Allah s.w.t. bahawa hanya Dia sahaja yang berkuasa menyembuhkan pesakit manakala perawat hanyalah berikhtiar, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya tanpa jemu dan putus asa.

 

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG