MUKADDIMMAH :
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w., keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut hadithnya hingga ke hari akhirat.
Manusia umum mengenali beberapa sistem rawatan penyakit yang diketengahkan untuk diterima pakai. Sistem tersebut dikenali dengan nama Alopati (Allopathy), Homeopati (Homeopathy), Ayurveda (Ayurvedic), Akupuntur (Accupunture), Singse, Tradisional dan lain-lain. Umum kurang mengenali rawatan Islam kerana tidak di ketengahkan, sedangkan ianya telah lama wujud bersama lahirnya Islam di dunia ini.
Pada zaman Muhammad Rasulullah s.a.w., pengubatan dan perubatan Islam diwujudkan bagi memenuhi keperluan muslimin muslimat ketika itu yang secara tabi’inya tiada manusia yang tidak sakit. Hatta Rasulullah s.a.w. sendiri pernah sakit. Maka tentulah sistem rawatan penyakit secara Islam diperlukan bagi mengatasi masalah penyakit yang berlaku.
Sebarang masalah yang timbul pada zaman itu, Rasulullah s.a.w. lah tempat rujukan utama. Kerana itu apabila berlaku kesakitan atau apa sahaja penyakit, Rasulullah s.a.w. menjadi tempat orang mengharapkan pertolongan. Dalam peperangan-peperangan yang berlaku, apabila terjadi kes-kes kecederaan dan ganguan kesihatan, maka pesakit akan dibawa menemumi Rasulullah s.a.w. untuk diubati.
Ali ibnu Talib pernah sakit mata dalam satu peperangan lalu dibawa kepada nabi dan diubatinya; Qataadah terkena panah musuh di matanya dan dirawat oleh Rasulullah s.a.w. ; Saad ibnu Abi Waqas patah kaki lalu dipapah menemui Rasulullah s.a.w. dan dirawatinya; dan berbagai-bagai lagi. Itu semua berlaku dalam suasana peperangan. Pada waktu-waktu biasa, pernah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. pemuda hilang akal, wanita yang terganggu kesiahatan kerana gangguan syaitan, seorang lelaki yang perutnya amat sakit, seorang sahabat yang dipatuk ular bisa, malah Rasulullah s.a.w. pernah disengat kala jengking. Semuanya diubati atau ditunjukkan caranya oleh Rasulullah s.a.w.untuk diubati.
Pengubatan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. adalah berasaskan wahyu Ilahi; dilaksanakan oleh umat Islam atas petunjuk Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata, perbuatan atau yang dipersetujuinya. Dari situlah lahirnya istilah “Attibbun Nabawi” yang diterjemahkan sebagai Pengubatan Nabi; dalam bahasa Inggeris diterjemah sebagai MEDICINE OF THE PROPHET.
Ulama’ terdahulu mengumpul petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w. berkaitan ilmu perubatan dalam berbagai-bagai judul kitab. Judul yang paling banyak digunakan oleh mereka ialah “Attibbun Nabawi”. Ibnul Qayyim al Jauziah (wafat 751 Hijriah) juga menulis kitab yang diberi judul seperti yang tersebut dan telah menyatakan di awal kitabnya dengan katanya :
“Ini bahagian (fasal) yang amat berguna pada penyatakan petunjuk Rasulullah s.a.w. dalam pengubatan yang baginda sendiri melakukannya dan menganjurkan sahabat-sahabat baginda melakukannya”
(Attibbun Nabawi : Ibnul Qayyim hal. 5.)
Yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah s.a.w. dalam pengubatan adalah amat banyak. Antaranya memakan ubat, penggunaan madu lebah, berbekam, pembedahan, mengadakan tempat-tempat rawatan, menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit, menggunakan bahan-bahan dan tumbuh-tumbuhan semula jadi, berdoa, meminum air zamzam, membaca Ruqyah sebagai jampi dan lain-lain lagi.
Kertas ini hanya memberi tumpuan kepada satu cabang sahaja daripada cabang-cabang rawatan tadi iaitu mengkhusus kepada rawatan menggunakan ruqayah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
APAKAH DIA RAWATAN ISLAM DAN APAKAH ASAS-ASASNYA?
Rawatan Islam adalah suatu ikhtiar penyembuhan penyakit, jasmani dan rohani yang diasaskan diatas hukum syarak oleh orang yang ahli (mahir) dengan kaedah-kaedah rawatan yang diluluskan oleh hukum syarak yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t.
Manusia adalah makhluk Allah yang di ciptakanNya dalam keadaan lemah ( Ar Rum : 54) amat memerlukan pertolongan terutama dari Allah (Fathir : 15), bagi mengatasi segala permasalahan kehidupan yang ditempuhi sepanjang hidup, baik didunia mahupun di akhirat.
Diantara permasaalahan yang dihadapi oleh manusia adalah masalah penyakit. Sama ada yang bersifat tabii (NATURAL) atau diluar tabii (SUPER NATURAL). Kedua-duanya wujud dan berlaku didalam kehidupan manusia. Apabila berlaku maka usaha mengatasinya perlu untuk kesejahteraan manusia itu.
Umat Islam mendapat anugerah Allah yang tidak ternilai, iaitu Al Quranul Karim. Sebagai panduan dalam semua aspek penghidupan untuk kebaikan dunianya mahupun akhiratnya. Al Quran adalah petunjuk (hidayah) dalam segala-galanya. Allah berfirman dalam surah Al Anaam ayat 38 bermaksud :
“Kami tidak tinggalkan sesuatu pun dalam al kitab (Al Quran) itu……..”
Maksud ayat tersebut mengikut setengah-setengah mafassiruun : Al Quran itu adalah kitab Allah yang sempurna didalamnya ada panduan dan petunjuk dalam semua hal yang diperlukan oleh manusia. Sama ada secara langsung atau tidak. Jelas nyata atau samar. Manusialah yang mesti menerokainya bagi mendapat panduan itu.
Merujuk perihal penyakit dan rawatanya, Al Quran menyentuh secara jelas nyata dalam ayat 82 surah Al Isra’ yang bermaksud
“Dan kami turunkan dari Al Qurah itu ayat-ayat suci yang boleh menjadi penyembuh (Syifa’) dan rahmat bagi orang yang beriman”.
Ahmad Mustaffa Al Maraaghi dalam tafsirnya (15:86) ketika mentafsirkan ayat diatas antara lain menyebut :
“Sesunggohnya Allah menurunkan Al Quran dan menjadikannya penawar kesembuhan dari berbagai penyakit. Itulah rahmat Allah kepada hambanya”
Perihal Al Quran menjadi penawar dan penyembuh penyakit disebut Allah beberapa kali dalam ayat-ayat yang berlainan. Antaranya surah Fussilat atat 44 bermaksud :
“Katakanlah wahai Muhammad (kepada manusia) : Al Quran itu bagi orang yang beriman adalah petunjuk dan penyembuh (penawar) segala penyakit”.
Dalam Surah Yunus ayat 57 bermaksud :
“Sesungguhnya telah datang kepada mu tunjuk ajar dari Tuhanmu (menerusi Al Quran) yang padanya ada penyembuh bagi penyakit- penyakit yang berada didadamu, petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman”.
Didalam Al Quranul Karim terdapat 6 ayat yang menyebut secara jelas dan nyata perkataan Syifaa yang bermakna kesembuhan penyakit. Sehingga dikenali ayat-ayat itu dengan ayat-ayat “As syifa”” (Aayaatus Syifa’), ayat-ayat penyembuh.
Al Imam Al Qurtubi ketika menyebut tafsiran ayat syifa’ itu antara lain menyebut (10 : 316) yang bermaksud :
Ada dua kesembuhan yang boleh diperolehi dari Al Quran
1 Kesembuhan penyakit-penyakit hati nurani seperti kekufuran, kefasikan,kedegilan menerima hidayah. Bongkak, takbur, ujub dan lain-lain.
2 Kesembuhan dari penyakit-penyakit fizikal yang nyata.
Abi Said Al Khudri meriwayatkan hadith yang mafhumnya :
Kami diutuskan oleh Rasullullah s.w.s. untuk suatu misi dakwah seramai 30 orang. Kami memasuki sebuah perkampungan Arab. Malangnya kami tidak dilayan malah dihambat keluar dari kampong itu. Kami berkhemah diluar kampong. Pada malamnya ketua kampong tersebut disengat kala jengking. Kerana berbagai usaha merawat telah dilakukan, akan tetapi tidak berhasil, maka mereka mendatangai kami meminta di ikhtiar kesembuhan. Abu Said segera menjawab : Saya boleh ikhtiar dengan syarat dibanyar upahnya. Mereka setuju sekiranya sembuh maka 30 ekor kambing sebagai upahnya.
Abu Said Al Khudri segera pergi dan menjampi ketua kampong yang disengat kala jengking itu denga Al Fatihah 7 kali. Sembuh serta merta. Apabila diserahkan 30 ekor kambing sebagai upahnya, ada dikalangan mereka yang mempersoalkan sesame sendiri, wajarkah diambil kambing-kambing tersebut. Mereka merujuk kepada Rasulullah s.a.w.
Mendengar kisah itu Rasulullah s.a.w. bertanya Abu Said . “Dimana kamu mendapat maklumat Al Fatihah itu adalah jampi (ruqyah)?” Jawabnya : “ Ya Rasulullah, hati kecilku berbisik berbuat demikian”. Jawab Rasulullah “Ada dikalangan manusia memakan upah menjampi penyakit dengan jampi yang tidak benar (batil) sedang kamu mengambil upah dari jampi yang benar (Sidq). Ambillah upah itu dan berilah kepadaku satu habuan daripadanya”
Daripada Abi Umamah diriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. menyebut yang bermaksud :
“ Al Fatihah bermenfaat dengan izin Allah untuk mengikhtiarkan kesembuhan dari penyakit kulit, kusta, gila, batuk kering, demam, sakit perut dan sebagainya”
Aishah binti Abi Bakar r.a. meriwayatkan hadith seperti yang terdapat dalam Sahih al Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. merawat dirinya ketika sakit dengan ayat-ayat al Quran. Apabila baginda sakit agak tenat sebelum kewafatannya. Baginda meminta daku (Aishah) membacakan ayat-ayat al Muawwizaat (Tiga Qul) lalu aku berbuat demikian dan menyapukan nya ke Rasulullullah.
Urwah bin Azzubair, pernah meriwayatkan hadith diatas daripada Azzuhri lalu bertanya kepadanya bagaimana caranya rawatan tersebut. Jawab Azzuhri dibaca ayat-ayat al Quran tersebut lalu ditiup ditangan yang dibaca dan disapu kemuka pesakit.
Aishah r.a. dalam satu riwayat lain telah menyatakan bahawa beliau pernah membaca ayat-ayat al Quran ditangan Rasululullah s.a.w. lalu menyapunya kemuka Rasulullah dengan mengharapkan keberkatan yang lebih daripada tangan tersebut.
KONSEP PENGUBATAN ISLAM
Pengubatan Islam berkonsepkan wahyu Ilahi yang diambil daripada petunjuk Al Quran dan Al Sunnah dikenali sebagai ATTIBBUN NABAWI (Pengubatan Nabi Muhammad s.a.w.)
Bertitik tolak dari sistem perubatan yang berkonsepkan wahyu, maka ianya adalah suatu ibadah yang dilakukan untuk mencari keredaan Allah, kerana yang menyuruh kita mencari kesembuhan apabila mendapat penyakit ialah Allah. Firman Allah yang bermaksud :
“ Apabila saya sakit maka Dia (Allah) yang menyembuhkan”
(As-Syuaarak : 80)
Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Berubatlah wahai hamba Allah sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan (bersamanya) diturunkan ubat. Diketahui oleh orang yang berusaha mencarinya dan tidak diketahui oleh orang yang jahil (tidak berbuat apa-apa):
(Hadith riwayat Abu Daud dan Al Tarmizi)
Apabila usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan sehingga melibatkan penyelidikan-penyelidikan dan pengembangannya kerana mentaati perintah Allah maka dengan sendirinya usaha itu menjadi suatu ibadah. Kerana hakikat ibadah itu adalah kepatuhan kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan.
Mencari ubat yang sesuai dengan penyakit dan mengusahakan bersungguh-sungguh untuk dianugerahkan oleh Allah kesembuhan yang menjadi milikNya sahaja merupakan suatu kerja murni yang diusahakan oleh hamba bagi merialisasikan makna ibadah kerana akur kepada qada dan qadar Allah.
Dalam usaha membantu dan menolong pesakit, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang berkemampuan menolong saudaranya (yang sakit) bagi menyembuhkannya maka hendaklah dia lakukan :
(Hadith riwayat Jabir bin Abdullah)
Daripada konsep sebegini maka bolehlah dikatakan bahawa sesiapa sahaja yang beriman dengan Allah dan melibatkan dirinya dalam sistem pengubatan kerana mentaati perintah dan mengharapkan redha Allah, maka prinsip itu adalah islamik dan boleh dikatakan pengubatan Islam.
Ulamak Hadith (Muhaddithun) telah mengumpul semua petunjuk Rasulullah s.a.w. dalam kitab-kitab mereka. Pengumpul-pengumpul hadith seperti Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An- Nasaai’, Ibnu Majjah, At Tirmidhzi dan lain-lain telah mengkhususkan satu bab dalam kitab-kitab hadith mereka dengan menamakan Bab At-Tadaawi ( bab pengubatan penyakit.)
Pengarang-pengarang kitab termasyhur telah mengkhususkan Kitab yang diberi judul “ AT-THIBBUN NABAWI” oleh ratusan penulis antaranya:
Abu Bakar As-Sunni (364 Hijrah)
Abu Nuaim Al-Asbahaani (430 Hijrah)
Al-Hafidz Shamsuddin Az-Zahabi (748 Hijrah)
Ali Abdul Karim Al-Hamawi (720 Hijrah)
Abul Abbas Jaafar bin Muhammad (430 Hijrah)
Jallaluddin As-Sayuti (911 Hjrah)
Hibatuddin Said BinIbrahim (560 Hijrah)
Khairuddin Hadhzor bin Mahmud (948 Hijrah)
As-Sayyid Salleh bin Abdul Aziz Al-Mardini (1123 Hijrah)
As-Shihab Al-Qastalanaani
Al-Habib An-Nisaaburi
Muhammad Assafti Uzzainabi
Ibnu Abi A’sim
Abul Hassan Ali bin Musa
Dhiyauddin Al-Maqdisi dan lain-lain lagi banyaknya.
Dalam Al-Quraanul Karim terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut penyakit rohani dan jasmani. Begitu juga dalam As-Sunnah banyak didapati Hadith-hadith nabi yang menyentuh tentang penyakit dan pengubatannnya. Inilah petunjuk yang dijadikan konsep pengubatan Islam .
PERIHAL PENYAKIT
Berasaskan kepada petunjuk Al-Quran as-Sunnah, Ulamak-ulamak Islam yang membicarakan perihal penyakit dan pengubatannya, telah menjelaskan bahawa umumnya penyakit terbahagi kepada dua bahagian
Pertama: Penyakit Kerohanian (Amraadzul Qulub)
Kedua: Penyakit Kejasmanian (Amraadzul Abdaan)
Pernah juga disebut sebagai Tibbur Ruhaani atau Tibbul Arwah dan Tibbul Abdaan atau Thibbul Ajsam.
Amraadzul Qulub terdapat dalam Al-Quran begitu banyak seawal Ayat 10 dalam Surah Al-Baqarah , Allah Subhanahu Wataa’la berfirman yang bermaksud ,
“Dalam hati-hati mereka (Qulubihim) ada penyakit”
Ayat ini tidak merujuk kepada penyakit hati secara fizikal , tetapi hati yang bersifat rohani atau disebut hati nurani, kerana sambungan ayat itu seterusnya membawa erti ,
“(Seandainya tidak segera dirawat) maka Allah menambahkan lagi penyakit tersebut dan bagi mereka seksa yang amat pedih disebabkan mereka berdusta (dengan Allah)”
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang berdusta adalah berpenyakit hati nurani yang perlu dirawat segera . Kalau terlambat atau langsung tidak dirawat maka penyakit tersebut akan bertambah kronik. Akhirnya (sekiranya dia meninggal) neraka Allah menunggu sebagai pembalasan,
Penyakit-penyakit kerohanian (Amraadzul Qulub) amat banyak yang disebut oleh Al-Quran dengan menyebut jenis-jenis penyakit yang berlainan, antaranya :
Sihir (disebut sebanyak 54 kali didalam AL-Quran)
Gila (Majnun) 11 Kali
Al-Ain (Al-Ain) 1 kali
Penyakit-penyakit kerohanian (Amraadzul Qulub) 40 Kali
Sedangkan Al-Quran menyebut penyakit-penyakit jasmani sepintas lalu dan tidak banyak berulang seperti perkataan berikut :-
1. Al-Akma (Buta mata) (Surah An-Nur 61)
2. Al-A’raj 2 kali (Tempang/Cacat Anggota) (Surah An-nur 61)
3. Pekak/Bisu (Al-Baqarah -18)
4. Mandul (Al-Imran 40)
5. Mardza – Pesakit Fizikal (Al-Baqarah 196)
Hal sedemikian menggambarkan bahawa penyakit-penyakit kerohanian adalah lebih serius berbanding dengan penyakit fizikal, jika dilihat dari aspek gambaran istilah penyakit itu dalam Al-Quranul Karim.
Mungkin sebab utamanya kerana penyakit fizikal mudah dikesan oleh pesakit berkenaan atau oleh perawat (doktor) yang merawatnya. Adapun penyakit-penyakit spritiual (kerohanian) seperti penyakit yang disebabkan oleh sihir Al-‘ain , hati batu, kemurungan, hasad, bongkak takabbur, degil, riyak dan seumpamanya tidak mudah dikesan lebih-lebih lagi yang terkena penyakit itu enggan mengubati dirinya.
Penyakit-penyakit kerohanian perlu diubat secara kerohanian; antaranya adalah dengan penggunaan pendekatan keagamaaan. Bermunajat kepada ALLAH, bertaubat, bertahajjud, Qiyamulllail, membaca Al-QUran, menggunakan ayat –ayat kesembuhan untuk merawat dan sebagainya.
AL-QURAN DAN PENGUBATAN PENYAKIT
ALQuranul Karim bukanlah Kitab pengubatan. Ianya Kitab Hidayah dari Allah untuk manusia agar beriman dan bertakwa kepada-Nya. Seawal ayat Kedua dalam Surah Kedua Al-Quran (Al-Baqarah) Allah berfirman yang bermaksud:
“ Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya. Ia memberi petunjuk kepada orang-orang bertakwa”
Kitab-kitab Allah adalah Kitab yang paling sempurna, tidak ada kebatilan padanya. Ianya lengkap sempurna. Segala-galanya disentuh oleh Al-Quran tanpa meninggalkan apa-apa pun untuk panduan manusia.
Mengenai pengubatan penyakit, Al-Quran menyebut yang bermaksud :
“ dan kami menurunkan dari Al-Quran sesuatu yang menjadi penyembuh (syifa) dan rahmat bagi orang yang beriman dam Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian jua”
Ayat itu terlalu luas maknanya. Salah satu aspek yang boleh difahami, bahawa ada dua jenis kesembuhan dari ayat Al-Quran :
1. Kesembuhan dari penyakit-penyakit fizikal yang diistilahkan “Syifa’”kerana sifat syifa’ itu yang mudah dilihat iaitu penyakit fizikal dan kesembuhan pun boleh dilihat.
2. Kesembuhan dari penyakit-penyakit kerohanian yang diistilahkan “Rahmah”. Rahmah agak sukar dilihat seperti penyakit-penyakit kerohanian tidak mudah dilihat kerana ia tersembunyi di dalam diri manusia. Kesembuhannya pun tidak dapat dilihat dengan mudah.
Oleh yang demikian ada dalam Al-Quranul Karim ayat-ayat penyembuh yang boleh digunakan sebagai ikhtiar kesembuhan samada untuk penyakit jasmani mahupun rohani.
Khusus mengenai istilah Syifa’ yang bererti kesembuhan penyakit, Al-Quranul Karim menyebut sebanyak enam kali yang dikenali sebagai Ayat Syifa’ (Ayaatus Syifa’) iaitu ayat-ayat yang bermaksud seperti berikut:
1. Dan kami turunkan Al-Quran yang padanya ada (ayat) penyembuh penyakit (fizikal) dan kerahmatan (Kerohanian) bagi orang yang beriman. (Al-Isra’ 82)
2. “ Katakanlah Al-Quran itu adalah petunjuk dan penyembuh penyakit bagi orang yang beriman” (Fussilat 44)
3. “ Keluar`dari perut lebah itu madu yang bermacam-macam warna, padanya terdapat kesembuhan bagi penyakit manusia” (An-Nahli 69)
4. “ dan apabila saya sakit dialah (ALLAH) yang menyembuhkannya.”
(As-Syuaara’ 80)
5. ”dan disembuhkan (penyakit) di dalam dada-dada kaum yang beriman.” (At-Taubat 14)
6. “ Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari tuhanmu dan penyembuh (penyakit) yang berada di dalam dada-dada manusia. (Yunus 37)
Perkataan syifa’ dalam kamus “Al-Munjid” berakar kata dari syafiya, syifa’ bermakna kesembuhan dari sesuatu penyakit atau Allah Ta A’la menyembuhkan si pulan daripada penyakitnya.
Ketika membuat tafsiran ayat-ayat Syifa’ khasnya ayat 82 Surah Al-Isra’ ,Al-Maraaghi menyebut bahawa Qataadah berkata ;
“Sesungguhnya Allah menjadikan Al-Quran itu penyembuh penyakit dan rahmat bagi orang yang beriman”
(tafsir Al-Maroghi 15:86)
Membaca ayat-ayat Al-Quran tertentu sebagai ikhtiar penyembuhan kepada penyakit dengan penumpuan kepada kesakitannya adalah disepakati Ulamak tentang keharusannya kerana jelas daripada ayat tadi yang menyebut ayat sebagai perantaraan untuk penyembuhan.
Oleh sebab itu Ulamak-ulamak terdahulu hinggalah terkini telah melibatkan diri dalam usaha pengubatan manusia dengan menggunakan Al-Quran . Mereka telah banyak menulis kitab. Antaranya kitab-kitab yang bermaksud :
1. Mengubati penyakit dengan Al-Quran oleh Ridha Az Zarkaawi
2. Berubat dengan Al-Quran oleh Abdul Mun’im Qindil
3. Mengubati Sihir dengan Al-Quran dan As-Sunnah oleh Salehhudin Mahmud.
4. Sistem Al-Quran dalam Pengubatan oleh Usamah Al-Iwadhi.
5. Pengubatan daripada AL-Quran dan As-sunnah oleh Abdul Latif Al-Baghdadi.
6. Pengubatan didalam Al-Quran dan As-Sunnah oleh Mohammad Mahmud Abdullah
7. Kesembuhan Penyakit dengan Doa oleh Mohammad Mahmud Abdullah.
8. Mengubati Penyakit dengan Air dan Doa oleh Darul Hadhzarah.
Dan banyak lagi kitab yang senada dengan yang tersebut.
AS-SUNNAH DAN PENGUBATAN PENYAKIT
Keseluruhan kitab-kitab Hadith tidak pernah ketinggalan daripada peruntukan satu bab yang disebut sebagai “Bab Pengubatan Penyakit dari As sunnnah” Dalam bab itu diperturunkan hadith-hadith sahih yang menunjukkan Rasullullah (S.A.W) mengubati sakit dalam beberapa peristiwa yang berlaku berkait dengan pengubatan.
Umum mengetahui bahawa Rasullullah bukanlah seorang pengubat (Tabib) seperti yang dikenali pada hari ini. Muhammad adalah Rasullullah (S.A.W). Tugas asasinya adalah menerima wahyu dan menyampaikan kepada umatnya. Segala perintah Allah dilaksanakan sepenuh kehendaknya. Baginda adalah contoh utama dalam semua hal penghidupan untuk diikuti oleh sekelian umatnya .
Islam yang dibawa Rasulullah (S.A.W) adalah suci dan lengkap sempurna (Syumul) maka dengan sendirinya difahami bahawa Al-Quran dan As-Sunnah memberi petunjuk dalam semua hal penghidupan manusia termasuk perubatan kerana ianya adalah salah satu keperluan asasi manuasia.
Layak sebagai seorang Rasul bahawa ianya dikenali sebagai Rasulullah sahaja. Mengatasi segala gelaran-gelaran lain yang dimiliki oleh manusia dari zamannya kerana hingga keakhirannya tidak ada yang bergelar Rasullullah melainkan baginda seorang sahaja.
Dalam hal pengubatan, baginda memberi tunjuk ajar dengan menyebut dan mengamalkan asas-asas umum sebagai panduan dengan meletakkan garis-garis utama yang harus dan tidak harus; Yang halal untuk diikuti dan yang haram untuk dijauhi.
Keseluruhan as-Sunnah yang dapat diteliti maka dapatlah disimpulkan bahawa Rasullullah (S.A.W) menunjuk ajar umatnya perkara-perkara berikut:-
1. Rasullullah mengubat.
Rasullullah mengubat pesakit yang datang kepadanya memohon diubati
Hadith Usman Bin Al-As
2. Rasullullah menyuruh pesakit memakan ubat sahaja
Hadith Abu Said Al-khudri
3. Rasulullah tidak merawat sebaliknya mengajar pesakit itu bacaan-bacaan Ruqyah untuk orang itu menjadi perawat
Hadith Usman bin AlAs.
4. Rasullullah tidak merawat malah menyuruh pesakit pergi menemui perawat yang mahir (pakar) yang terdapat di zamannya
Hadith Jabir bin Abdullah.
5. Rasulullah membaca ruqyah (doa penyembuhan) dan merujukkanya kepada pengubat mahir (pakar)
Hadith Ismail bin Muhammad bin Said bin Abi Waqas
6. Rasullullah sendiri sakit , Allah mendatangkan Jibrail kepadanya untuk merawat baginda.
(Hadith Abi Said Alkhudri)
7. Rasullullah sakit Aishah binti Abu Bakar mengubatnya
(Hadith Aishah)
8. Rasullulllah mengarahkan seorang pesakit makan ubat berulang kali hingga sembuh
(Hadith Abu Said Al-Khudri)
9. Rasullullah menyuruh sahabat memastikan punca penyakit “Al-Ain” dan disuruh yang menyebabkan penyakit itu merawatnya dengan air wudhu’nya”
(Hadith Ibnu Abbas)
10. Rasullullah merestui pengubatan dengan “ruqyah” Al Fatihah ke atas seorang yang di sengat kala jengking.
(Hadith Abi Said Al-Khudri)
11. Rasullullah melarang ubat-ubat yang haram.
(Hadith Abu Daud, daripada Abi Darda’)
12. Rasullullah bersabda kepada pengubat : Sesiapa yang boleh menolong penyakit untuk kesembuhan maka lakukanlah.
(hadith Jabir)
13. Abu Said Al-Khudri merawat seorang yang disengat kala jengking dengan membaca Surah Al-Fatihah dan sembuh serta merta dan mengambil upah daripada perbuatannya; telah direstui oleh Rasullullah dan meminta satu saham dari upah tersebut.
(Hadith riwayat Bukahri dan Muslim)
Kepelbagaian petunjuk membuktikan Rasulullah amat peka dalam hal pengubatan penyakit dan disarankan berbagai-bagai cara pengubatan sesuai dengan baginda sebagai pembawa hidayah dan meluaskan bidang-bidang yang boleh diterokai oleh umatnya dalam menangani permasalahan penyakit.
Hadith –hadith yang tersebut tadi adalah panduan umum yang merupakan petunjuk Rasulullah dalam pengubatan. Ianya amat berguna untuk menjadi panduan perawat dalam menangani masalah kesihatan manusia.
METODOLOGI PENGUBATAN ISLAM
Penyakit-penyakit fizikal telah diisyaratkan pengubatannya oleh Rasullullah (S.A.W) dalam hadithnya yang bermaksud ,
“ daripada Ibnu Abbas (r.a) katanya Rasullullah (S.A.W) mengatakan : Kesembuhan penyakit berada pada berbagai-bagai cara penyembuhannya, antaranya:
1. Makan ubat (Madu Lebah sebagai contoh sahaja)
2. Pembedahan ( pisau tukang bedah)
3. Besi panas (Al-kay)
DOA SEBAGAI SATU CARA (METOD)
Terlalu banyak hadith-hadith yang menerangkan doa sebagai suatu rawatan antaranya Rasullullah (S.A.W) sendiri mendoakan :
“ Saya mohon dari Allah yang Agung Tuhan Arash yang agung agar disembuhkan penyakit ini.
(Sahih At-Tirmizi)
Rasullullah mendoakan Saad bin Abi Waqas ketika sakitnya:
“ Ya Allah sembuhkanlah Saad ( 3 Kali)”
(Sahih Al-Bukhari)
Aishah (r.a) meriwayatkan hadith bahawa Rasullullah (S.A.W) telah mengubati keluarganya yang sakit dengan cara meletakkan tangannya di tempat sakit dan membaca doa:
“Ya Allah Tuhan Manusia, sembuhkanlah sakit ini, kamu sahajalah (ya Allah) penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan darimu, kesembuhan yang tidak meninggalkan keburukannya.”
Abdullah Amru ibnu Al–‘As menceritakan bahawa Rasullullah (S.A.W) menyuruh penziarah orang sakit agar mendoakan kepadanya:
“YA Allah , sembuhkanlah hambamu ini agar dia boleh memererangi musuh Mu atau bolehlah dia berjalan untuk menunaikan solat”
(Sahih Abu Daud)
Membaca ayat Al-Quran untuk penyembuhan
(Al-Isra’ ayat 82, Fussilat 44, At-Taubah 14, Yunus 37 dan lain-lain)
KISAH CERITA AYAH SAYA SEMBUH BERKAT BANTUAN ABAH HJ MALIK IBRAHIM
ReplyDeleteAssalamualaikum saya atas nama Rany anak dari bapak Bambang saya ingin berbagi cerita masalah penyakit yang di derita ayah saya, ayah saya sudah 5 tahun menderita penyakit aneh yang tidak masuk akal, bahkan ayah saya tidak aktif kerja selama 5 tahun gara gara penyakit yang di deritanya, singkat cerita suatu hari waktu itu saya bermain di rmh temen saya dan kebetulan saya ada waktu itu di saat proses pengobatan ibu temen saya lewat HP , percaya nda percaya subahana lah di hari itu juga mama temen saya langsung berjalan yang dulu'nya cuma duduk di kursi rodah selama 3 tahun,singkat cerita semua orang yang waktu itu menyaksikan pengobatan bapak kyai hj Malik lewat ponsel, betul betul kaget karena mama temen saya langsung berjalan setelah di sampaikan kepada hj Malik untuk berjalan,subahanallah, dan saya juga memberanikan diri meminta no hp bapak kyai hj malik, dan sesampainya saya di rmh saya juga memberanikan diri untuk menghubungi kyai hj Malik dan menyampaikan penyakit yang di derita ayah saya, dan setelah saya melakukan apa yang di perintahkan sama BPK kyai hj Malik, 1 jam kemudian Alhamdulillah bapak saya juga langsung sembuh dari penyakitnya lewat doa bapak kyai hj Malik kepada Allah subahanallah wataala ,Alhamdulillah berkat bantuan bpk ustad kyai hj Malik sekarang ayah saya sudah sembuh dari penyakit yang di deritanya selama 5 tahun, bagi saudara/i yang mau di bantu penyembuhan masalah penyakit gaib non gaib anda bisa konsultasi langsung kepada bapak kyai hj Malik no hp WA beliau 0823-5240-6469 semoga lewat bantuan beliau anda bisa terbebas dari penyakit anda. Terima kasih