FOLLOWERS

Sunday, July 15, 2012

AMALAN SIHIR, SUSUK DAN FITNAH DALAM POLITIK


SOALAN:
Kali ini, terang-terang di depan mata saya, individu yang hendak menjadi calon pemilihan bahagian menghulurkan wang kepada beberapa orang ketua cawangan agar mengundinya, juga beberapa orang barisan jawatan kuasa yang disenaraikan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak ada saksi dan pihak lawannya lebih kurang sama.
 
Pihak yang lagi satu pula saya mendapat khabar menggunakan khidmat pak kiai untuk menang, supaya lawannya kalah, orang mengundinya. Persoalan saya ialah adakah amalan menggunakan khidmat kiai itu boleh menyebabkan pengundi-pengundi tertentu akan memilihnya, berubah daripada niat asal untuk mengundi seseorang. Adakah dengan amalan seumpama ini seseorang itu menjadi lemah hatinya, rasa kasihan apabila melihat calon ataupun, adakah dengan berbuat demikian, seseorang itu akan tunduk ketika merenung matanya, atau ketika mata seseorang itu ditenung.
 
Saya macam tidak percaya perkara-perkara mengarut seperti ini, biarpun saya yakin menggunakan khidmat pak kiai itu perkara biasa. – Hamba Allah, Bangi.

 
JAWAPAN:
Secara pasti saya tidak dapat menjawab soalan saudara. Contohnya, A mahukan ia menang dalam satu pertandingan atau pencalonan. Dalam kumpulan pengundi, terdapat orang yang menyokongnya dan ada pula mereka yang akan mencalonkan pihak yang lain.
 
Lalu A tadi bertemu dengan orang- orang tertentu, Pak Kiai contohnya, seperti yang saudara jelaskan dalam soalan ini. Pengundi dikumpulkan di satu tempat tertutup, atau tempat terbuka, lalu air yang dibekalkan oleh Pak Kiai tadi diberi minum kepada pengundi dengan mencampurkannya dalam minuman.
 
Natijah daripada minum air tadi, pengundi menjadi lembut hati, rasa kasihan berubah fikiran dari asal berazam hendak mencalonkan calon B, tetapi setelah minum atau terminum air kopi dan air teh yang dibekalkan oleh Pak Kiai tadi pengundi akhirnya mengundi calon A.
 
Apabila persoalan seperti ini dikemukakan kepada saya, bukan mudah bagi saya dengan tepat dapat menjawabnya. Kalaulah amalan seperti ini boleh berjaya, tentunya ramai calon memenangi pilihan raya itu hasil membawa air yang dibekalkan oleh Pak Kiai.
 
Terlalu banyak faktor yang lebih munasabah dan rasional yang dapat diterima akal dalam menentukan kemenangan atau kekalahan seseorang calon. Ia melibatkan latar belakang calon, pendidikan, ketokohan, keterampilan diri, termasuklah hubungan individu dengan grass root dan sebagainya.
 
Calon yang berpendidikan lebih menyerlah pada mata pengundi, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Allah menjelaskan tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu.
 
Cara berfikir, bertindak dan cara mengatasi masalah. Calon yang berpendidikan tinggi menyedari betapa pentingnya ilmu dan kerana itu ia akan berusaha untuk menjadikan rakyat jelata manusia yang berilmu. Kejayaan mendirikan sekolah di kawasannya menjadi kebanggaan, jihad baginya, kepuasan yang tidak ada nilai bandingan.
 
Namun demikian, calon yang kurang berilmu akan lebih menonjolkan sesuatu yang bersifat zahiriah, materialistik, lantaran itu tidak pelik sekiranya ada orang-orang tentu yang beria-ia mengumpul harta sebanyak boleh. Menggunakan kuasa dan kemudahan yang dimiliki untuk kepentingan diri. Dengan demikian kepentingan rakyat terabai, menyebabkan rakyat yang selama ini terlalu mengharap kepadanya, yang sentiasa memerhati tingkah-lakunya sedikit demi sedikit merasa mual.
 
Dari sinilah lahirnya golongan manusia yang membina istana yang dihuni oleh deretan kereta mewah, biarpun imbuhan yang diberi dan tempoh menjadi pemimpin itu tidak mewajarkannya memiliki harta sebegitu banyak.
 
Kesemuanya ini mempengaruhi kemenangan atau kekalahan seseorang calon bagi tempoh berikutnya. Rakyat jelata merenung tajam setiap langkah yang diatur oleh seorang pemimpin dengan rasa penuh meluat dari hari ke hari. Rasa tidak senang dan meluat dimuntahkan apabila tiba masanya, iaitu ketika pilihan raya, yang berkemungkinan seseorang itu kecundang.
 
Allah memberi kaedah-kaedah, peraturan dan jalan-jalan yang sewajarnya dilalui untuk menjadi seorang pemimpin. Namun saya beranggapan, dan seseorang itu sering lupakan diri, lupakan persaudaraan, biarpun sesama Islam dan pelbagai macam lupa apabila sesuatu tindakan itu melibatkan kuasa yang hendak dimiliki, melibatkan harta banda dan pangkat.
 
Dari sinilah manusia akan berpolitik dalam politik dengan cara menabur wang seperti yang banyak berlaku. Calon kalau tidak memberi suapan dari tangannya, kempen manager jadi penggantinya. Inilah di antara kekuatan yang terjadi untuk memastikan kemenangan. Mainan menggunakan ‘Pak Kiai’, sama ada tempatan ataupun import dari tanah seberang bukan faktor utama untuk menentukan kemenangan atau kecundangnya seseorang biarpun tidak dapat dinafikan ia boleh dimanfaatkan.
 
Mencari sebab
 
Selain daripada wang yang ditabur, pertandingan selalunya melibatkan perbuatan mencari atau mengorek-ngorek sesuatu sebab yang boleh dijadikan alat untuk memalukan lawan, menyebabkan pengundi boleh melihatnya hina, tidak boleh dipercayai, tidak layak dan sebagainya. Itulah yang dinamakan ‘fitnah’. Biarpun Islam menganggap fitnah itu sebagai dosa besar, kejahatan fitnah lebih dahsyat daripada membunuh, tetapi pada amalannya, fitnah memfitnah menjadi instrumen utama, seumpama tidak boleh dielakkan.
 
Apabila tiba musim pencalonan, maka ketika itulah segala yang tersembunyi akan dibongkar dan dikorek, apatah lagi apabila seseorang itu memang terlibat dengan kemungkaran atau masalah tertentu, pergaduhan rumah tangga, antara anak isteri, anak terlibat dengan dadah, hutang kereta tidak dibayar, perkahwinan di sempadan, skandal seks dan sebagainya. Disebarkan juga berapa besar rumah calon, berapa orang isteri, berapa buah kereta dan lain-lain lagi.
 
Segala-galanya berlaku iaitu membuka aib atau mereka-reka aib tanpa ada rasa bersalah atau simpati, semata-mata kerana mahukan kuasa. Ajaran agama tinggal teori lapuk yang dipandang dengan mata sebelah.
 
Berbalik kepada soalan yang saudara kemukakan, saya ingin mengungkap kembali cerita Hang Tuah, yang mengembara ke Terengganu, berjaya melarikan Tun Teja. Tidak pasti sama ada cerita ini benar-benar berlaku ataupun semata-mata rekaan seseorang pengarang untuk golongan istana, untuk memperlihatkan betapa hebatnya pahlawan Melayu, yang dinamakan Hang Tuah. Hebat dan dianggap hero kerana berjaya melarikan anak dara orang yang datang ke Terengganu dari Melaka.
Setelah berlawan dengan pahlawan Terengganu dan Tun Teja berada dalam kapal, Hang Tuah telah membaca manteranya, menyebabkan Tun Teja terasa berahi dan kasih kepada Hang Tuah.
 
Apabila kapal tersebut hampir tiba di Melaka, Hang Tuah telah membaca jampi manteranya, menyebabkan Tun Teja lupakan Hang Tuah, lalu dengan tidak semena-mena merindui Raja Melaka.
 
Terdapat unsur-unsur sihir dalam amalan Hang Tuah ini. Dalam Hikayat Hang Tuah dijelaskan ia berbuat demikian dengan menggunakan jampi mantera, tidak menggunakan air, seperti yang saudara utarakan, iaitu air yang dibekalkan oleh Pak Kiai, yang penting ialah daripada merasa sayang dan berahi kepada Hang Tuah, yang berjaya melarikannya dari istana Terengganu, Tun Teja menjadi rindu dan berahi kepada Raja Melaka hasil mantera yang dibaca pada hal ketika itu Tun Teja tidak pernah melihat wajah Raja Melaka. Rindunya lahir semata-mata hasil jampi mantera yang dihembus dan dihambur oleh Hang Tuah.
 
Kalaulah perubahan kasih dan berahi Tun Teja itu boleh berlaku dan berubah orang yang belum pernah dilihat iaitu Raja Melaka, adakah mustahil seorang pengundi atau ketua cawangan yang asalnya berazam hendak mencalonkan nama calon A bertukar fikiran lalu memilih nama B setelah minum atau terminum air yang dibekalkan Pak Kiai?
 
Air tabiatnya menghilangkan haus. Tetapi dalam kes ini, pemilihan ketua bahagian, atau apa-apa pemilihan, wai imma untuk memilih atau mendapatkan seorang gadis untuk dijadikan isteri bagaimana air yang diberi minum itu boleh mengubah keputusan seseorang daripada memilih calon A kepada calon B.
 
Minum air biasa akan menghilangkan haus, tetapi minum atau terminum air yang dibekalkan oleh Pak Kiai boleh mengubah keputusan seseorang. Hal demikian membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur sihir dalam penggunaan air tadi, di mana air merupakan perantaraan untuk melakukan amalan sihir.
 
Sihir tidak akan berlaku kecuali adanya penglibatan iblis dan syaitan. Saya telah jelaskan seseorang itu boleh melakukan macam-macam perkara dalam usaha untuk berkuasa, termasuk melakukan amalan sihir, seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Walaupun demikian, pemahaman demikian tidak ada dalam pemikiran pembaca hikayat berkenaan kerana Hang Tuah adalah pahlawan Melayu terbilang.
 
Sekarang ini kita dihidangkan dengan cerita-cerita yang dinamakan “susuk”. Majalah-majalah dan surat khabar juga turut memperkatakannya. Dalam masyarakat Melayu, susuk selalunya dirujuk kepada amalan menggunakan bahan-bahan tertentu untuk tujuan supaya menjadi kuat, kebal, betah dipukul dan sebagainya.
 
Kalau ia dirujuk kepada kaum wanita, susuk selalunya digunakan pada bahagian muka, yang menggunakan bahan jarum emas, serbuk intan, serbuk berlian dan sebagainya.
 
Dengan berbuat demikian, wajah seseorang itu kelihatan sentiasa cantik, pemandang menjadi gemar melihatnya seperti melihat emas, berlian ataupun permata. Muka dikatakan terus tegang biarpun usia tua yang selayaknya berkerepot.

Muka yang diberi markah C oleh seorang pengadil seni, menjadi berubah, mendaki markah A++, diminati ramai apabila berlakon, suaranya berkumandang memukau pendengar termasuk burung-burung yang terbang di awan berhenti apabila mendengar suaranya, menurut deklamasi penyair.
 
Adakah semuanya ini boleh berlaku. Jawapannya, ialah memang boleh berlaku dengan izin Allah, biarpun adakalanya tidak berlaku, menyebabkan pengamalnya, iaitu orang yang menggunakan susuk perasan semata-mata. Merasa orang lain melihatnya cantik, pada hal pandangan orang tidak berubah.
 
Berubah

Soalannya, kalau muka menjadi berubah menurut orang yang melihatnya, hasil menggunakan susuk, macam mana pula ia boleh berlaku. Dalam masalah ini saya merujuk kepada pertunjukan silap mata di tepi jalan. Sebelum menjual ubat yang dibawa, tukang silap mata memohon maaf kepada penonton, menyatakan dia hendak mencari makan dengan membuat pertunjukan silap mata.
 
Seorang budak yang berada bersamanya, dibaringkan di atas sekeping tikar. Mukanya ditutup dengan sehelai kain merah hingga ke dada, lalu ia memasukkan tangannya di bawah kain dan menusukkan pisau di tangannya menembusi leher budak tadi.
 
Darah berbuih keluar. Bau hanyir menyelubungi kawasan sekitarnya. Pertunjukan berakhir setengah jam selepas itu, iaitu selepas memungut derma daripada penonton dan ubat dijual.
 
Ketika saya minum cendol di warung berhampiran, budak yang sama, yang lehernya ditembusi pisau sepanjang satu kaki, duduk di sebelah saya sama-sama memesan cendol. Persoalannya, adakah apa yang kita lihat itu benar-benar berlaku. Semuanya adalah dusta, tetapi ia kelihatan seumpama ditembusi pisau, kerana mata kita ketika itu telah disihir menyebabkan kita melihat sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku. Sihir tidak berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin atau iblis dan syaitan.

Dengan menggunakan sihir pandangan seseorang mungkin boleh berubah melihat sesuatu yang tidak berlaku. Begitu juga dengan perubahan sama ada daripada memilih calon A kepada memilih calon B.
 
Mingguan Malaysia online 05/10/2008




http://grenbara.bravejournal.com/entry/29970

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts