FOLLOWERS

Showing posts with label BAB KHAS : SAKA. Show all posts
Showing posts with label BAB KHAS : SAKA. Show all posts

Monday, May 31, 2010

HURAIAN SAKA (As-Syifa' Melaka : 013-2006363)

DEFINISI SAKA

Saka adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama sehingga sebati dengan diri manusia tersebut. Ianya berlaku samada seseorang itu sedar atau tidak kerana ianya diwarisi dari keturunannya. Saka ini wujud apabila nenek moyang terdahulu mempelajari ilmu tertentu yang membabitkan jin dan diperturunkan kepada pembawa saka tanpa diketahui atau boleh jadi juga jin tersebut sendiri memilih untuk mendampingi keturunan yang dikehendaki.

Jin tersebut oleh nenek moyang pembawa saka apabila mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka hidup, mereka telah bersahabat dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama. Nama-nama seperti hantu raya, pelesit, pontianak, polong dan lain-lain memang terkenal di kalangan masyarakat melayu. Namun hakikatnya semuanya adalah sama iaitu makhluk Allah s.w.t. yang dikenali dengan nama jin dan syaitan.

DALIL

Persahabatan antara jin dan manusia dalam bentuk 'khadam' dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t.:




Ertinya:
"Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan..." - Surah al-Jin: 6

Jin yang dijadikan khadam inilah akhirnya menjadi saka yang perturunkan dari ayah ke anak dan keturunan yang seterusnya (mereka yang mempunyai pertalian darah). Ini disebabkan perjanjian yang telah dibuat oleh nenek moyang denan jin tersebut dan mengundang masalah dan penderitaan kepada keturunannya.


PERTALIAN DIANTARA JIN DAN SAKA

Terdapat pertalian yang erat antara jin dan saka! Jin yang diwariskan seumpama harta peninggalan itulah yang dikenali sebagai saka.

Dalilnya: Dari Abu Tha'labah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:



Ertinya:


"Jin itu mempunyai tiga jenis: Satu jenis yang mempunyai sayap dan berterbangan di udara, satu jenis yang berbentuk ular-ular dan anjing-anjing dan satu jenis yang berpindah-randah."

Jin yang berpindah-randah seperti yang disebutkan diklasifikasikan sebagai jenis jin yang menjadi saka disebabkan jenis jin ini yang mampu berpindah-randah dari satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya.


CIRI-CIRI ORANG MEMILIKI SAKA

Secara umumnya orang yang memiliki saka akan mempunyai kebolehan untuk mengubat orang yang sakit disebabkan jin dan syaitan tetapi dengan cara yang meragukan dari sudut syariat, antaranya:


1. Kebanyakkan mereka mempunyai kebolehan mengubat melalui kaedah ‘menurun’. Caranya ialah jin tersebut memasuki tubuh orang yang mempunyai saka tersebut dan kemudiannya menyamar sebagai para wali Allah dan orang-orang soleh seperti Syeikh Abdul Qodir al-jilani, Syeikh Bahauddin an-Naqsyabandi, Syeikh Abu Hassan as-Syazili dan sebagainya. Namun hakikatnya ia cumalah jin yang datang daripada saka.

2. Pembawa saka mampu beubat tetapi menggunakan jampi yang mempunyai unsur-unsur syirik yang boleh menggugurkan syahadah dan iman.

3. Pembawa saka mampu berubat tetapi menggunakan jampi yng langsung tidak dapat difahami.

4. Pengamal perubatan yang kebolehannya datang dari saka selalunya sering melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat.

5. Ada di kalangan mereka mendapat ilmu kebolehan mengubat melalui mimpi tanpa belajar.


MASA SAKA BERPINDAH

Saka berpindah sebaik sahaja pembawa saka yang terdiri daripada nenek moyang yang membuat perjanjian dengan jin tersebut meninggal dunia. Apabila pembawa saka meninggal dunia, jin saka tersebut tidak mempunyai perumah/pembela maka ia mencari perumah/pembela baru dari kalangan anak cucu tuannya yang telah mati itu tadi.


PROSES PERPINDAHAN SAKA

Berikut adalah kronologi bagaiman jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka tersebut:

Apabila nenek moyang yang membela jin tersebut mati; jasadnya mati setelah rohnya keluar dari jasadnya. Namun begitu, jin yang berdamping dengan nenek moyang itu tidak mati kerana umur jin bukannya seperti manusia.
Apabila jasad perumah saka itu dikebumikan, jin tersebut bebas dan berada dalam keadaan seperti layang-layang yang terputus talinya. Lalu ia berkeliaran di atas bumi mencari rumah tumpangannya yang baru. Perihal nyawa jin dan syaitan yang ternyata lebih panjang dari unsur manusia.

Firman Allah s.w.t.:




Maksudnya:"Iblis menjawab:'Beri tangguhlah saya sampai waktu dibangkitkan.' Allah berfirman :"Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus.............Surah al-a'raf: ayat 14-16


Kemudiannya saka tersebut akan bepindah kepada anak cucu sebagai perumah yang baru. Kebiasaannya jin tersebut akan berpindah kepada anak cucu yang ada mengamalkan jampi-jampi tertentu yang diambil dari si mati.

Saka juga boleh berpindah dari si mati kepada warisnya apabila anak cucu tersebut ada menyimpan mana-mana barang tinggalan si mati.
Saka juga berpindah kepada anaka cucu yang secara pengamatannya merupakan waris yang menjadi orang harapan kepada keluarga pada masa hadapan khususnya orang harapan kepada si mati yang menyimpan saka tadi.


Orang yang berpotensi mewarisi saka adalah orang yang tinggal bersama si mati semasa hidupnya iaitu serumah denganngya.


MEREKA YANG MENJADI SASARAN SAKA

Anak cucu yang sangat cetek pengetahuan agamanya.

Anak cucu yang melazimi maksiat dan sering melanggar peraturan agama.
Anak cucu yang sentiasa meninggalkan ibadat wajib seperti solat dan puasa.
Adakalanya anak cucu yang kuat pegangan agamanya kerana jin dan syaitan sangat mengidamkan supaya orang yang taat berjaya disesatkan.
Anak cucu yang lemah; fizikal dan antibodinya. ini akan memudahkan jin untuk bertapak di dalam badan mangsanya.
Anak cucu yang memang menginginkan sangat apa yang dipunyai oleh nenk moyang mereka. Apabila saka ini diwarisi seolah-olah orang mengantuk disorongkan bantal.
Anak cucu yang memang mengidamkan kehebatan dengan pelbagai kelebihan di hadapan manusia walaupun dengan cara yang mencabar syariat Allah s.w.t.


TANDA SESEORANG MEMPUNYAI SAKA


Gejala pada waktu tidur:

Susah tidur malam, tidak boleh tidur kecuali setelah besusah payah.
Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
Mimpi buruk yang dikenali kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang mengancamnya lantas menjerit meminta pertolongan, malangnya tiada siapa mendengar. Biasanya terjadi dalam keadaan 'kena tindih'.
Mimpi perkara yang menakutkan dan menyeramkan.
Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus dan sbagainya. Kalau bermimpi dipatuk ular, kemungkinan petanda bahawa sihir telah pun masuk ke dalam jasadnya.
Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
Ketawa, menangis dan menjerit-jerit ketika sedang tidur.
Berdiri dan berjalan ketika tidur.
Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
Mimpi berada di kawasan kotoran atau kawasan perkuburan.
Mimpi berada di tempat sunyi.
Mimpi terserempak atau melihat makhluk dengan rupa yang menakutkan atau diistilahkan sebagai hantu.
Mimpi melihat budak kecil. Bermimpi budak kecil menyusu dan rasa sayangkannya (ini berlaku kepada golongan wanita).
Mimpi melihat salib atau gereja.
Mimpi bertemu paderi.
Merintih dan menangis ketika tidur.


Gejala pada waktu jaga:

Selalu pening, para pengamal perubatan moden tidak dapat mengean penyakit dan dikatakan penyakit misteri.
Selalu lalai daripada mengingati Allah s.w.t.
Hilang ingatan dan mungkin mnjadi gila. Gila adalah berpunca dari jin. Dalam bahasa arab, orang gila digelar 'majnun'. majnun bermaksud dijinkan iaitu isim maf'ul.
Sering lesu dan malas.
Rasa sakit di salah satu anggota badan dan doktor tidak berupaya mengubatinya.
Sentiasa terasa sakit di belakang terutama di tulang belakang.
Lenguh di sendi-sndi utama.
Melihat sesuatu yang pelik semasa jaga.
Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati. Biasanya doktor menakrifkannya sebagai kanser.
Perlu diingat kanser berpunca daripada jin.
Terasa seolah-olah terdapat sesuatu di bawah tapak kaki. Seperti terpijak batu atau telur.
Mudah panik dan kaget apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan kehidupan.
Sentiasa mengantuk teutamanya dalam majlis ilmu.
Mudah marah dan panas baran.
Emosional dan terlalu sensitif.

Orang memiliki saka sukar untuk mendapat anak.
Banyak perkara ganjil berlaku di dalam hidup seperti pernah berjumpa dengan orang aneh namun orang lain tidak dapat melihatnya dan sebagainya.
Tidak berupaya untuk hidup dengan sempurna kerana menghidap pelbagai penyakit moden malah penyakit aneh yang tidak mampu didianogsiskan.
Mungkin juga berpotensi menghidap penyakit kanser kerana kanser mempunyai pertalian yang rapat dengan gangguan jin.
Tidak suka bergaul dengan manusia lain dan kurang suka hidup bermasyarakat.
Sangat sensitif dan mudah terasa dengan kata-kata orang.
Kadangkala tahu perkara-perkara mustahil diketahui oleh orang-orang lain. Namun hakikatnya ia adalah bisikan iblis dan jin.
Anak kepada anak cucu yang mempunyai saka sentiasa banyak menangis semasa kecil dan semasa besar berperangai dengan perangai yang buruk.
Anak cucu yang mempunyai saka suka melawan cakap ibu bapa dan orang lebih tua.
Kehidupan menjadi suram dan tidak ceria serta selalu dalam keadaan tegang


(Petikan dari blog ust.Suhaimi.www.penawar.com : teman perawat sekampung diu Temerloh)

Wednesday, May 26, 2010

SAKA : TERIMA MELALUI MIMPI (As-Syifa' Melaka : 013-2006363)

Bapa mertua saya seorang yang pandai mengubat, dan telah meninggal dunia dua tahun lalu. Beberapa bulan lepas, dua orang teman rapatnya datang, mereka memberitahu telah bermimpi atau dapat mesej supaya suami saya mengambil alih tempat bapa mertua saya. Suami saya menerima. Mulai tarikh itu, dia menjadi baik, hilang panas barannya, tidak pernah tinggal sembahyang. ``Itulah kebaikan bersahabat dengan jin. Boleh membimbing manusia, membetulkan kesalahan dan memberi pertolongan,'' kata suami saya. Ada adik-beradik suami saya yang lain mengamalkan seperti dilakukan oleh suami saya. Nama mertua saya diseru untuk meminta pertolongan kerana mereka menganggapnya tidak mati.


.

.

.

.

.

.

JAWAPAN: Perlu dijelaskan bahawa mimpi itu ada tiga jenis, iaitu mimpi yang benar, seperti mimpi wahyu yang diturunkan melalui mimpi. Contohnya ialah mimpi daripada Allah subhanahu wa taala yang memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail.


Peristiwa ini dijelaskan dalam al-Quran (as-Saffat: 102): Maka tatkala anak itu sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapati akan daku termasuk dalam golongan orang yang sabar.


Mimpi kedua ialah mimpi daripada iblis dan syaitan. Mereka yang melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, yang berusaha untuk menghalau iblis dan syaitan yang mengganggu di kilang-kilang, di sekolah-sekolah dan sebagainya sering didatangi mimpi di mana jin-jin yang mengganggu tempat berkenaan meminta supaya mereka menyembelih binatang dan darahnya diberi makan kepada makhluk tadi. Amalan ini dinamakan semah, iaitu amalan memberi makan jin-jin. Begitu juga yang berlaku di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan menyembah pantai, menyemah kampung dan sebagainya.


Selain melalui mimpi, makhluk ini sering meminta diberi makan melalui perantaraan lidah manusia iaitu ketika seseorang itu dalam keadaan menurun.


Mimpi ketiga ialah mimpi mainan tidur. Mimpi jenis ini yang paling banyak berlaku ke atas orang yang menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak akan bermimpi dengan mimpi yang menakutkan, hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga. Orang yang dibebani oleh hutang berkemungkinan besar akan terbawa-bawa dalam mimpi, berjumpa dengan orang yang memberi hutang merayu supaya memberi tempoh sementara kepadanya, jangan membawa kesnya ke mahkamah.


Mimpi yang dialami oleh dua orang teman rapat kepada bapa mertua puan yang telah meninggal dunia itu adalah mimpi jenis kedua, iaitu mimpi daripada iblis dan syaitan. Berkemungkinan makhluk ini, iaitu makhluk yang pernah mendampingi bapa mertua puan ketika hidupnya, menyebabkan mereka boleh terlibat dengan rawatan tradisional, datang dalam mimpi, untuk memberitahu supaya suami puan mengambil alih tempat bapanya yang telah meninggal dunia.


Pada kebiasaannya, makhluk yang datang itu menjelma rupa seorang lelaki, berjubah warna hijau atau putih, berserban, yang ada kalanya memegang tasbih. Itulah di antara keistimewaan yang Allah subha nahu wataala anugerahkan kepada jin-jin, yang tergolong dalamnya iblis dan syaitan. Kerjanya menjelmakan diri dalam mimpi manusia. Makhluk ini menjelma dalam mimpi sedemikian rupa supaya manusia terkeliru, yang datang itu bukan iblis dan syaitan, tetapi manusia, alim warak, zuhd dan takwa. Jubah yang dipakai berwarna hijau, kerana hijau itu warna kegemaran rasulullah s.a.w. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah.


Maksud ``mengambil alih'' yang dimaksudkan oleh mimpi tadi, ataupun mesej yang disalurkan melalui mimpi tadi ialah supaya ilmu yang dimiliki oleh bapa mertua puan yang telah meninggal dunia itu ``diambil'' oleh suami puan. Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang melibatkan jin-jin yang terangkum dalamnya. Apabila ilmu milik pewaris teratas seperti yang dijelaskan ini diwarisi oleh salah seorang daripada waris yang ter-bawah, maka ilmu tersebut dinamakan ``saka''. Satu istilah yang begitu popular di kalangan orang Melayu sejak dahulu kala lagi, bermula dengan daripada zaman animisme, Hindu, Buddha dan setelah Islam mempengaruhi pemikiran orang Melayu hingga sekarang ini.


Apabila seseorang itu menerima ilmu seperti ini, ataupun mengambil alih ilmu yang dimiliki tadi, orang yang berkenaan akan mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh waris yang memiliki ilmu berkenaan, biarpun tanpa belajar ilmu-ilmu tersebut. Boleh merawat sakit, terutamanya sakit-sakit akibat gangguan iblis dan syaitan, akibat sihir, boleh menilik benda-benda ghaib dan sebagainya. Sebahagian besar daripada aktiviti yang dilakukan itu dibuat ketika dalam keadaan menurun.


Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu diresapi oleh jin-jin dalam tubuhnya, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri ataupun separuh tidak sedarkan diri. Ketika itulah ia akan melakukan rawatan dan sebagainya. Pada hakikatnya, yang membolehkan seseorang itu berbuat demikian adalah kerana adanya penglibatan jin-jin dalam tubuh. Tubuh manusia hanya menjadi alat ataupun sarung jin yang meresap dalam tubuh. Ketika dalam keadaan sedar, tidak diresapi oleh jin-jin, manusia berkenaan tidak boleh melakukan rawatan.


Walaupun demikian, oleh kerana makhluk yang masuk meresap dalam tubuh tadi ditukar kepada nama yang menarik, yang indah-indah, manusia sering menganggapnya bahawa amalan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Nama-nama yang sering disebut ketika seseorang itu dalam keadaan menurun ialah dinamakan sebagai wali-wali, tok syeikh, Puteri Gunung Ledang, Puteri Mayang mengurai. Roh Syeikh Abdul Kadir Jailani, roh wali Songo dan sebagainya. Dalam kes yang melibatkan bapa mertua puan yang telah meninggal, makhluk yang meresap dalam tubuh tadi mungkin dirujuk sebagai roh mertua puan.


Kecelaruan menjadi lebih sukar dibendung untuk difahami kebenarannya apabila unsur-unsur agama disatukan dalam amalan ini. Orang yang tidak cukup sembahyang menjadi cukup sembahyang, selalu membaca al-Quran dan sebagainya, serta memperingatkan orang lain jangan lupa sembahyang apabila tiba waktunya.


Sikap ini atau perubahan seperti ini memang baik, dan menarik. Walaupun demikian perlu diinsafi bahawa setiap orang itu wajib mendirikan sembahyang apabila dia seorang Islam, baligh, berakal suci daripada haid dan nifas, tidak buta ataupun tuli sejak kecil juga sampai seru kepadanya.

Sembahyang lima waktu itu wajib dan mesti dilakukan sepenuhnya, bukan hanya setelah seseorang itu ``mengambil alih'' mewarisi ilmu seperti yang puan jelaskan.


Iblis dan syaitan sentiasa menunggu-nunggu untuk mengganggu manusia. Ruang yang sering terbuka baginya ialah apabila seseorang itu dalam keadaan susah hati bersangatan dan dalam keadaan marah. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa marah itu daripada syaitan. Dalam kes yang puan utarakan, suami puan hilang sifat marahnya apabila menerima ilmu saka yang berkenaan. Ketahuilah bahawa selain menyebabkan seseorang itu marah iblis dan syaitan juga berupaya meredakan ataupun menghilangkan sifat marah atau panas baran seseorang itu dengan izin Allah, semata-mata untuk memperlihatkan kebaikan ataupun manfaat daripada memiliki ilmu ``saka'' yang melibatkan jin-jin tadi.


Umar Sulaiman Al-Asyqar dalam bukunya bertajuk Alamu `l-Jinn wa sy-Syayatin menyatakan bahawa Allah tidak memberi kekuatan kepada syaitan untuk menguasai atau memaksa manusia sesat atau kafir (al-Isra': 65, Saba': 21). Makhluk ini hanya berupaya menguasai mereka yang rela dan taat kepadanya, yang juga terdiri daripada golongan yang sesat (al-Hijr: 42). Mereka inilah yang menjadikan syaitan itu wali, bukan Allah subha nahu wataala mereka termasuk dalam golongan orang yang rugi (an-Nisa': 19).


Sesungguhnya permusuhan di antara iblis dan syaitan dengan manusia itu tidak akan reda buat selama-lamanya. Mereka menganggap Adam adalah punca kemurkaan Allah ke atasnya. Kerana itu makhluk ini akan terus-menerus memusuhi keturunan Adam (al-Isra': 62).

Berbanding dengan jin-jin, manusia lebih bertamadun kerana manusia adalah khalifah yang menguasai bumi. Iblis dan syaitan itu terkutuk, dilaknat dan kufur bakal penghuni neraka (an-Nisa; 52 & al-Hijr: 34). Tidak sesuai makhluk seperti ini membantu manusia yang dijadikan khalifah kecuali di kalangan manusia yang sesat.


Makhluk jin diberi Allah umur lebih panjang. Makhluk yang panjang umurnya lebih banyak menghadapi masalah, terutamanya masalah kesihatan. Kerana itu kalaulah jin-jin itu hendak beribadah kepada Allah seperti yang diperintahkan, makhluk ini perlu memberi keutamaan kepada makhluk jenisnya, bukan manusia. Pertolongan yang dilakukan terhadap manusia mempunyai muslihat tersendiri iaitu untuk menyesatkan, biarpun tidak dapat dinafikan bukan mustahil jin-jin itu akan hanya menambah lagi dosa dan kesesatan (an-Jinn: 6). Allah subha nahu wataala memberi amaran agar menjauhkan diri daripada jin-jin (Fatir: 6). Iblis dan syaitan akan berdampingan dengan mereka yang pendusta lagi banyak dosa (asy-Syu'ara: 221-222), iaitu seburuk-buruk teman (an-Nisa: 38). Sesungguhnya mereka akan memperoleh kehidupan yang sempit (Taha: 124).

Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin : Utusan Malaysia : 6.1.2002

(Disunting : As-Syifa' Melaka : 013-2006363)

Wednesday, February 10, 2010

SAKA


SAKA

llmu Saka Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri
Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.

Saka adalah sejenis gangguan makhluk halus yang berpunca sama ada daripada jin atau syaitan. Kebiasaannya proses terjadinya saka ini bermula apabila ada manusia yang ingin berdamping dengan makhluk halus dan akhirnya menggunakan kebolehan yang ada pada makhluk halus tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu.

Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional. Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.

Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.



Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia. Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa

Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja.

Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.

Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.

Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.



Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.
Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.



Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis

Jenis Pertama

Adalah seperti yang dijelaskan diatas yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Selain mencari barang hilang saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w.

Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur,sakit atau ketika tua.

Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhl;uk ini.

Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk keneraka bersamanya.

Jenis Kedua

Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh warisnya.

Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Senagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya.



Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya apabila sesuatu masaalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.

Hakikatnya masaalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan seperti luka,patah, keracunan, stress, depress dan sebagainya akibat gangguan ataupun sihir.
Segala punca gangguan ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden tetapi kesemua faktor yang dijelaskan berlaku kepada mangsa.



PROFESION SAKA

Sesetengah ilmu saka ini juga melibatkan makhluk halus yang berkaitan dengan profesion tertentu yang kadang-kala melibatkan haiwan tertentu seperti :-

1.SAKA HARIMAU. Saka jenis inilah yang menjadi pilihan kebanyakan pembelanya sebab ia lebih berani dan mampu menakutkan orang ramai apatahlagi musuh-mush ‘tuannya’. Bagi mereka yang berniat tidak baik kepada pembela saka ini atau ahli keluarganya atau rumah kediamannya atau kebunnya maka jin peliharaan tadi akan menjelma menjadi seekor harimau bagi tujuan menakutkan orang berkenaan.

2. SAKA BUAYA. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengawal atau menjinakkan haiwan buaya.

3. SAKA ULAR. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengawal atau menjinakkan haiwan ular.

4.SAKA BOMOH. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengubat pesakit-pesakit yang ada kaitan dengan makhluk halus.

5. SAKA KUAT. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan supaya ‘tuannya’ menjadi kuat boleh mengangkat barang-barang yang berat atau menjadikan ‘tuannya’ kebal daripada sebarang tikaman objek tajam.

6. SAKA SUSUK. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan supaya ‘tuannya’ lebih kelihatan cantik pada pandangan mata yang melihatnya walaupun hakikatnya dia tidak lagi cantik. Biasanya diamalkan oleh kaum wanita.

7. SAKA BIDAN. Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan perbidanan dan urutan selepas bersalin.



KESAN-KESAN BAIK KONONNYA YANG BOLEH DIPEROLEHI OLEH SESEORANG DARIPADA AMALAN SAKA ( jadi janganlah menerima saka ini)

1. Boleh melindungi diri,ahli keluarga dan harta benda.

2. Boleh mengawal banatang buas.

3. Boleh memberikan kekuatan dan kekebalan kepada pengamalnya.

4. Boleh menghasilkan daya tarikan yang berbentuk khayalan kepada orang yang memandangnya.

5. Boleh menguruskan lading dan kebunnya.

6. Boleh membuat orang sakit melalui bisikan-bisikan jin peliharaannya di telinga pembelanya.

7. Boleh meramalkan perkara-perkara ghaib.

KESAN BURUK DARIPADA SAKA

Sukar untuk melihat secara zahir kesan buruk daripada saka ini, namun apabila menggunakan kacamata agama berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka kelihatanlah kesan buruk diantaranya ialah :-

1. Boleh membawa syirik kepa Allah SWT kerana manusia bergantung kepada yang selain daripada Allah iaitu jin, syaitan dan makhluk halus.

2. Boleh mengganggu pembelanya jika pembelanya melanggar pantang larang seperti tidak menjamunya pada masa-masa tertentu. Atau tidak mengasapkan objek tertentu seperti keris dan sebagainya dengan asap kemenyan pada malam jumaat.

3. Boleh merosakkan hubungan suami isteri di mana makhluk halus saka ini boleh berupa dalam bentuk tuannya(pembela) dan menyetubuhi isteri tuannya sedangkan tuannya yang sebenar di tempat lain tanpa pengetahuan isteri tersebut.

4. Boleh memecah belahkan keluarga dan masyarakat selepas sesi rawatan di mana makhluk halus tadi akan memberitahu kepada pesakit kononnya yang membuatkan dia sakit ialah si fulan bin si fulan yang dengki kepadanya.

5. Boleh menipu daya pembelanya kerana mereka akan beramal dan berzikir dengan jumlah yang tertentu dalam tempoh tertentu kerana arahan makhluk halus.

6. Boleh menyebabkan pembelanya menjadi malas kerana bergantung harap kepada jin peliharaannya untuk menguruskan kerja sehariannya seperti menguruskan lading, menjaga ternakan, berburu, turun ke laut menangkap ikan, mengarahkan toyol mencuri duit dan sebagainya.

7. Boleh menyebabkan ‘tuannya’ susah keluar ruh ketika hendak mati seperti kehausan yang amat sangat dan sebagainya.

HUKUM SAKA PADA PANDANGAN AGAMA

Hukumnya adalah haram dan berdosa serta boleh menyebabkan syirik kepada Allah. Jika kita telah memilikinya maka berusahalah untuk membuannya. Jika kita bakal memilikinya, maka tolaklah daripada menerima saka tersebut.

Ini keraana iblis dan syaitan telah bersumpah di hadapan Allah SWT bahawa dia dan kuncu-kuncunya akan terus berusaha mengganggu, menipu danmenyesatkan manusia sehinggalah ruh manusia berpisah dar jasadnya sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud :
“Iblis berkata : Wahai Tuhanku, oleh kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, maka sesungguhnya aku akan menghiaskan segala jenis maksiat kepada manusia di muka bumi ini dan aku pasti akan menyesatkan mereka kesemuanya”.

Al-Quran telah menjelaskan bahawa manusia adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini bukannya malaikat atau jin yang merangkumi iblis dan syaitan. Mengapa manusia harus merendahkan darjatnya yang lebih tinggi daripada jin yang akhirnya terpengaruh dengan tipudaya jin.

Allah SWT telah memberi amaran kepada umat manusia supaya sentiasa berwaspada daripada iblis dan syaitan kerana makhluk halus ini ialah musuh ketat manusia sebagaiman ayat 60 Surah Yasin yang bermaksud :
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak Adam agar kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang jelas”.

RAWATAN TERHADAP SAKA

Cara membuang saka bukanlah dengan cara bersemah, membuang ancak dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi kita disuruh oleh Islam supaya membina pertahanan diri dengan amalan yang fardhu mahupun yang sunat. Banyakkan zikir dan doa yang boleh melindungi kita daripada gangguan syaitan seperti :-

1. Melazimkan diri dengan membaca ayat kursi selepas solat dan sebelum tidur atau ketika diganggu oleh makhluk halus.

2. Lazimmembaca doa mengusir syaitan dalam ayat 97-98 surah al-Mukminun.
2.1. Sentiasa membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah
2.2. Sering membaca ta’awwuz ketika hendak memulakan sesuatu kerja.
2.3. Amalkan pada setiap pagi dan petang dengan membaca al-Mu’awwizat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas) dengan duduk menghadap kiblat sambil menadah kedua belah tangan seperti orang berdoa. Selepas membaca Fatihah dan mu’awizzat tersebut, tiup ke tangan perlahan-lahan hingga habis nafas kemudian raup dua tapak tangan tadi ke muka, kepala dan seluruh anggota badan (yang boleh dicapai oleh tangan). Lakukanlah amalan ini sekali atau 3 kali sebagai perlindungan daripada gangguan jin dan syaitan. Ianya boleh dilakukan untuk diri sendiri atau anak isteri.

3. Bagi melindungi rumah kediaman pula hendaklah kita elakkan menyimpan sebarang patung di dalam rumah, pastikan bacaan al-Quran sering berkumandang di dalam rumah dan amalkan solat hajat beserta bacaan Yasin memohon kepada Allah SWT melindungi rumah kediaman kita.
4. Lazimkan diri untuk qiyammullail kerana syaitan akan kepanasan apabila mendekati manusia yang sentiasa melakukan ibadah di waktu malam.

5. Sentiasa berpuasa sunat pada hari-hari yang disunatkan berpuasa kerana ianya boleh menyempitkan saluran pergerakan syaitan dalam badan manusia.

6. Dapatkanlah rawatan daripada pengamal pengubatan Islam yang berasaskan syariat dan bukannya pengamal perubatan yang berasaskan makhluk halus atau berdampingan dengan jin dan syaitan.

7. Bakar tulisan, buku, tangkal azimat yang diterima.Boleh juga direndamkan ke dalam cuka atau garam dan kemudian dibuang ke sungai atau laut atau ditanam.

8. Jangan sebut nama pewaris atasnya.

9. Jangan jumpa pengamal ilmu saka itu.

10. Ingatlah, manusia hanya berikhtiar dan berusaha, kesembuhan milik Allah SWT. Yang penting jangan putus asa atau rasa jemu untuk terus berikhtiar mencari kesembuhan yang sebenar.

Kertas kerja dibentangkan oleh Ust.Mohd Fauzi Mustaffa dalam seminar perubatan Islam anjuran Iq Insan Training & Consultancy dan diedit oleh Ust Zaini Zainal)







Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts