FOLLOWERS

Showing posts with label BAB KHAS : SIHIR (Pelalau). Show all posts
Showing posts with label BAB KHAS : SIHIR (Pelalau). Show all posts

Thursday, June 10, 2010

SIHIR PELALAU : HILANG NAFSU KAHWIN (As-Syifa' Melaka : 013-2006363)



SOALAN:

Umur saya hampir 30 tahun. Bercinta entah berapa kali, tetapi berakhir begitu sahaja. Mula berkenalan, bercinta betul-betul rancak, tetapi akhirnya lesap tidak berpenghujung. Itulah hidup saya. Gagal bercinta, gagal nak kahwin seumpama makan tosei di kedai mamak. Rasa tak nak makan lagi, tapi minggu depan pergi makan.

Pernah ketika saya setuju berkahwin, pasangan saya enggan. Ketika dia bersedia hendak kahwin, saya rasa bosan. Apabila kedua-duanya setuju, muncul orang ketiga dalam keluarga menghalang. Entah berapa kali saya mandi bunga dan limau. Tertanya-tanya dalam hati, seolah-olah saya tidak yakin kepada qadak dan qadar. Saya ada bersembahyang istikharah di tengah malam, tetapi keadaan tetap sama. Saya terlalu risau dengan masa depan saya. – Dara.

JAWAPAN :

Seseorang itu sama ada lelaki ataupun perempuan sukar mendapat jodoh, terhalang daripada mendapat jodoh, ataupun langsung tidak mendapat jodoh tidak semestinya berlaku akibat pelalau.

Banyak faktor menyebabkan berlakunya demikian, yang boleh dikaitkan dengan diri orang berkenaan, dengan faktor luaran ataupun kedua-duanya sekali. Manusia normal yang mempunyai akal dan berupaya berfikir menggunakan akalnya, mempunyai nafsu dijadikan oleh Allah mempunyai hasrat berumah tangga.
Bagi seseorang Islam, berkahwin itu adalah salah satu daripada sunah Rasulullah s.a.w yang perlu dilakukan. Dalam keadaan tertentu, manusia, baik lelaki ataupun perempuan tidak mustahil boleh terhalang daripada berkahwin akibat daripada sihir, iaitu perbuatan manusia yang dibantu oleh jin jahat yang selalunya terdiri daripada syaitan. Itulah dinamakan “pelalau”.

Akibat sihir pelalau, seseorang itu boleh hilang nafsu berkahwin. Terhalang daripada berkahwin. Adakalanya apabila pihak lelaki setuju hendak berkahwin dengan perempuan tertentu, pihak perempuan menolak. Begitulah sebaliknya boleh berlaku. Adakalanya pasangan ini telah bersetuju berkahwin, tetapi ibu bapanya tidak setuju. Selalunya si ibu akan membantah keras perkahwinan yang dirancang tanpa sebab jelas.

Si ibu mungkin mengancam akan membunuh diri kalau perkahwinan diteruskan, tidak mengaku anak, menuduh anak derhaka dan sebagainya. Mungkin seseorang itu bertunang selama dua tahun, tetapi apabila hampir hari perkahwinan, rasa benci itu lahir pada diri si perempuan menyebabkan rancangan itu dibatalkan. Tidak ada sebab jelas berlakunya perubahan itu selain kerana rasa benci kahwin. Hilang nafsu hendak berkahwin dan sebagainya.

Si perempuan mungkin masih ada rasa ingin kahwin, tetapi perasaan itu dikuasai oleh perasaan atau pengaruh luaran yang tidak dapat dijelaskan menyebabkan rasa benci kahwin itu menguasai dirinya. Boleh juga berlaku di mana pihak lelaki ketika bertemu dengan perempuan yang hendak dijadikan isteri itu melihat wajahnya dengan wajah yang hodoh, menakutkan akibat sihir tadi menyebabkannya terus memberhentikan hasratnya setakat itu sahaja, tetapi perempuan tersebut sebenarnya seorang yang cantik.

Terlalu banyak perbicaraan ataupun contoh memperlihatkan ataupun bukti menunjukkan bahawa sihir pelalau itu boleh berlaku. Biar apa yang berlaku antara pasangan yang hendak berkahwin itu, akhirnya ia akan menjurus kepada keputusan yang satu, iaitu terhalang untuk berkahwin, menyebabkan seseorang itu sukar berkahwin atau bertemu jodoh untuk selama-lamanya.

Walaupun demikian, apa yang perlu diterapkan dalam pemahaman kita, kegagalan mendapatkan jodoh tidak semestinya akibat sihir seperti dijelaskan tadi. Banyak sebab kenapa amalan sihir ini boleh berlaku. Mungkin seseorang itu pada satu ketika pernah bercinta dan berjanji untuk berkahwin dengan seseorang.

Apabila berpindah, menemui pasangan lain, dia meninggalkan kekasih lamanya. Hal yang sama boleh berlaku kerana rasa hasad dengki, sakit hati dan sebagainya. Biarpun sihir itu merupakan satu rahsia yang tidak diketahui umum, melahirkan natijah-natijah mencarik adat ataupun luar biasa seperti yang dijelaskan, melahirkan natijah-natijah yang tidak dapat difikir oleh akal, bagaimana hal demikian boleh berlaku, namun Allah tetap memperlihatkan tanda-tanda membuktikan seseorang itu terlibat dengan sihir.

Di antara tanda-tanda yang lumrah berlaku ialah adanya gangguan ketika tidur, sama ada ketika hendak terlena, ataupun ketika nyenyak tidur. Seseorang itu mungkin diganggu mimpi mengerikan, seolah-olah mendengar letupan kuat, merasa ditikam, dilanggar sesuatu objek besar sebaik-baik hendak terlena. Ia mungkin bermimpi dengan mimpi melihat ular, harimau, anjing hitam besar yang menakutkan ketika sedang tidur. Dikejar oleh lembaga-lembaga yang menggerunkan, menyebabkannya lari tercungap-cungap dan terjaga dalam keadaan berpeluh badan. Mimpi-mimpi seperti ini selalunya berlaku berturut-turut, sama ada pada malam yang sama, atau malam-malam lain yang boleh berlakunya gangguan kesihatan.

Ada orang yang berada dalam keadaan normal ketika ia tidak memikiri tentang jodoh. Ia mungkin hanya bersahabat biasa, tetapi apabila persahabatan itu menjadi serius dan berazam untuk bertunang, ia akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan, berulang kali dalam kekerapan tertentu, timbul rasa benci terhadap pasangannya tanpa sebab yang jelas, mengamuk dan sebagainya, akhirnya hubungan mereka terputus. Saya bersimpati dengan masalah yang saudari hadapi. Saudari perlu memahami masalah ini dengan yakin agar saudari tabah menghadapi dan akhirnya berupaya menghadapi hidup seperti orang lain.

Dalam al-Quran jelas tersebut tentang adanya sihir, begitu juga daripada keterangan hadis-hadis. Kerana itu kewujudan amalan sihir itu adalah sesuatu yang hak, yang benar-benar berlaku dengan izin Allah s.w.t. Iktikad saudari tidak rosak, kerana mempercayai adanya sihir, kerana ia sesuatu yang jelas, yang disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis, malah Rasulullah sendiri pernah terkena sihir.

Orang yang tidak mempercayai adanya sihir secara langsung atau tidak langsung menafikan kandungan al-Quran. Kesilapan yang besar dalam hal yang berkaitan dengan sihir atau jin ini ialah keyakinan tentang berkuasanya makhluk-makhluk ini mempengaruhi kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesenangan ataupun kesusahan. Dengan demikian timbullah rasa takut dalam diri manusia, menyebabkan timbulnya pelbagai pantang larang yang berkaitan dengan tempat-tempat yang dianggap berjin, timbulnya rasa hormat, menyebabkan lahirnya pelbagai adat istiadat ataupun upacara yang berkaitan dengannya, seperti upacara memberi makan jin-jin yang diistilahkan sebagai membuang ancak, bela kampung, semah dan sebagainya.

Apabila seseorang itu berkeyakinan bahawa makhluk ini boleh mendatangkan kecelakaan, seperti penyakit, kemalangan, kematian ketika makhluk ini marah, akibat perbuatan manusia yang melanggar pantang larang, ataupun menyebabkan seseorang itu sembuh apabila makhluk ini dipuja, melalui rangkaian jampi, mentera ataupun serapah dengan ungkapan-ungkapan kata biasa juga dengan pelbagai sajian yang diberi, maka manusia itu sebenarnya mempercayai bahawa pada makhluk ini ada kuasa (qudrah), pada hal zat yang mempunyai qudrah ialah Allah sahaja, yang qadim.

Dengan demikian, secara tidak langsung orang berkenaan telah menyamakan qudrah Allah dengan apa yang dianggap “kuasa” atau keupayaan memberi kecelakaan atau keamanan kepada manusia pada jin-jin tadi. Orang yang berbuat demikian melakukan perbuatan syirik, yang dinamakan “musyrik”. Kalau ramai, mereka ini dinamakan “musyrikin” atau musyrikun.” Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa syirik.
Orang Melayu menggunakan bunga, dimasukkan dalam air mandi dalam usaha mencari jodoh. Bunga selalunya cantik, malah lambang kecantikan. Setiap orang sukakan bunga. Sempena dengan kecantikan bunga dan kegemaran manusia melihatnya, bunga dicampur dalam air mandi agar orang lain gemar kepadanya. Apabila dimasukkan dalam air mandi, diharapkan, orang juga suka kepada mereka yang mandi menggunakan bunga tadi. Amalan ini tidak salah atau boleh merosakkan akidah.

Kesilapan timbul apabila seseorang itu berkeyakinan bahawa air mandi bunga itu mempunyai kuasa atau kekuatan untuk menarik orang yang melihatnya lalu datang meminang, pada hal bunga itu adalah merupakan objek tumbuh-tumbuhan biasa semata-mata.

Kesilapan lain ialah apabila bunga tadi dijampi atau dipuja dengan menggunakan kalimah-kalimah yang dilarang oleh Islam, yang mengandungi puja-puja terhadap jin-jin, mengandungi kalimah-kalimah syirik, mengandungi kata-kata yang tidak difahami maknanya, kalimah-kalimah yang tidak boleh ditafsirkan, mengandungi nama berhala, juga melibatkan amalan sihir yang melibatkan jin-jin.

Saudari berada dalam keadaan seperti yang saudari jelaskan. Apabila saudari mencari punca sebenar kepada masalah sekarang, ini tidak bererti bahawa saudari tidak percaya kepada qadak dan qadar Ilahi. Saudari menderita sakit, lalu berubat, ini bukan bererti saudari tidak percaya qadak dan qadar Allah s.w.t.

Sembahyang istikharah dilakukan apabila seseorang itu sukar untuk melakukan pilihan yang terbaik. Manakala sembahyang hajat untuk memohon sesuatu daripada ihsan Allah. Merujuk kepada kes saudari, kalau saudari benar-benar terkena sihir pelalau, seperti yang didakwa oleh teman-teman, saudari sewajarnya berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkaman sihir, membolehkan saudari hidup seperti manusia biasa. Semoga Allah memberkati usaha saudari. Insya-Allah.

Mingguan Malaysia 20 May 2007
Contoh: Penulis: Dr Amran Kasimin
Terbitan asal: Mingguan Malaysia 20 May 2007 url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/22438

Tuesday, June 8, 2010

SIHIR PELALAU : Penghalang Jodoh Seorang Wanita (As-Syifa' Melaka : 013-2006363)

SOALAN: Banyak orang telah meminang saya. Rasanya lebih daripada lima orang, tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Begitu juga hubungan saya dengan lelaki, mula-mula serius, tetapi akhirnya hilang begitu sahaja, sehinggalah sekarang ini saya berumur 29 tahun.
Adakah saya ini akan membujang hingga ke tua. Adakah ia berpunca daripada rupa atau tingkah laku saya. Saya seorang perempuan yang sederhana dan mempunyai rupa yang tidak kurang cantiknya, berbanding dengan teman-teman yang telah bersuami.
Adakah saya berkemungkinan kena sihir atau pelalau seperti yang difahami oleh sesetengah orang?
– INA AINA, Segamat

JAWAPAN: Dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan jodoh, banyak perkara yang perlu dikaitkan. Ia berbeza menurut keadaan atau latar belakang individu yang terlibat. Punca ataupun sebab yang dimiliki oleh seseorang, tidak semestinya boleh diaplaikan kepada orang lain.

Kerana itu memang ada logiknya kalau masalah jodoh ini disandarkan kepada Tuhan, biarpun ia melibatkan sebab musabab latar belakang manusia itu sendiri, malah qadak dan qadar itu sebenarnya memang daripada Tuhan.

Orang yang tidak berkahwin, terutamanya golongan wanita tidak boleh dikaitkan dengan rupa paras yang kurang cantik, perwatakannya yang kasar, cacat dan sebagainya, biarpun tidak dapat dinafikan kecantikan, tingkah laku lemah lembut dan lain-lain sifat tertentu itu menjadi impian dan idaman kebanyakan orang.

Allah s.w.t. menjadikan setiap satu itu berpasangan. Itulah di antara tanda-tanda kebesaran-Nya. Orang lelaki yang cukup anggota tetapi memiliki isteri yang cacat mata, ataupun sebaliknya. Persoalan bagaimana pasangan yang tidak boleh melihat keindahan dunia itu boleh bertemu dengan pasangannya adalah di luar keupayaan manusia untuk menentukannya.

Manusia hanya berupaya merancang. Allah adalah penentu yang sebenar. Kerana itulah manusia perlu menyandarkan setiap sesuatu kepada Allah, setelah berusaha, bertawakal dan berdoa lalu akhirnya berpasrah dan menerima setiap qadak dan qadar itu dengan rela dan ikhlas hati. Sesungguhnya Allah itu mahukan setiap hamba itu menerima qadak dan qadar ketentuannya dengan penuh kerelaan.

Merujuk kepada soalan saudari, saya tidak tahu sama ada saudari masih belum menemui jodoh sehingga sekarang kerapa pelalau, atau kerana sebab-sebab lain seperti yang dijelaskan.
Ketentuan sebab yang saudari nyatakan, di luar keupayaan saya untuk menjelaskan, walaupun demikian keterangan berikut akan menjawab pertanyaan saudari.

Pelalau adalah satu istilah dalam ilmu kebatinan Melayu yang melibatkan sihir. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.

Sihir jenis ini dilakukan oleh manusia dengan bantuan makhluk halus, di antaranya untuk mengunci nafsu manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan untuk berkahwin.

Kesan daripada terkuncinya nafsu, tabiat orang yang terlibat mungkin akan berubah, menjadi pendiam, tidak aktif, dalam keadaan murung, menyendiri dan tidak kurang di antara mereka yang bertindak di luar kebiasaan, akibat daripada tekanan jiwa ataupun akibat sihir pelalau, atau kerana kedua-duanya.

Selain daripada pelalau kunci nafsu kahwin, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya halangan-halangan menyebabkan usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu tidak kesampaian.

Seorang gadis yang terkena sihir jenis ini mungkin berminat hendak mengahwini seseorang jejaka, tetapi pasangannya mungkin akan menolaknya, begitulah sebaliknya.

Pasangan ini mungkin telah bertunang bertahun lamanya, tetapi pada saat menunggu hari berlangsung, pihak perempuan atau lelaki enggan berkahwin dengan tunangnya, tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Halangan mungkin tercetus daripada sikap ibu bapa atau salah seorang daripadanya, yang selalunya berlaku pada ibu kepada perempuan berkenaan. Mungkin ibu tadi mengancam akan membunuh diri kalau anak perempuannya tetap berkahwin dengan pasangannya atau ia tidak akan mengaku anak buat selama-lamanya dunia dan akhirat.

Ahmad An-Nuhas at-Tumi, dalam bukunya bertajuk Syifau ‘r-Rahman li ‘s-Sihri wa ‘l-hasad wa amradi ‘l-Jann, muka surat 55-60 menyatakan yang dia telah didatangi oleh seorang bapa bersama seorang gadis, memberitahu yang dia adalah seorang pekerja mempunyai ijazah Alamiyah, tetapi dia sering tidak berupaya menahan marah.

Dia telah menemui banyak doktor jiwa, tetapi tidak berhasil mengatasi masalah yang dihadapi. Bapanya mengadu masalah anaknya yang tidak mahu berkahwin.
Syeikh Ahmad telah bertanyakan latar belakang si gadis dan mendapati adanya tanda-tanda gangguan, lalu ia membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, gadis tersebut kelihatan menggeletar, lalu menjerit dan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan tidak sedarkan diri ini telah berlaku dialog di antara Syeikh dan jin yang ada dalam tubuh gadis, menyebabkan berlakunya rasukan.

PINANGAN


Ketika ditanya apakah punca menyebabkan si gadis menolak pinangan orang yang hendak mengahwininya, jin yang mengeluarkan suara melalui lidah gadis menyatakan bahawa dialah yang melakukannya kerana dia terlalu sayang kepadanya.

Ketika ditanya bagaimana hal ini boleh berlaku, jin itu menjelaskan bahawa apabila ada orang lelaki datang meminang dia (jin) tadi akan menjadikan wajah orang yang meminang itu begitu hodoh pada pandangan si perempuan, jadi timbulnya rasa benci yang bersangatan.

Setelah syeikh tadi membacakan ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada ‘ayat-ayat azab’ jin itu akhirnya keluar dengan izin Allah. Gadis tersebut sembuh dan akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.

Dalam buku yang sama, muka surat 57, Syeikh Ahmad menghuraikan pengalamannya ketika didatangi oleh seorang lelaki yang datang bersama anak perempuannya, yang dikatakan memang rajin membaca al-Quran, tetapi sejak dua minggu lalu, dia telah meninggalkan sembahyang dan cepat marah biarpun kerana perkara yang kecil.

Setelah merasakan perempuan berkenaan menghadapi masalah gangguan, syeikh mula membaca doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, perempuan tadi kedengaran ketawa dan terus menerus ketawa berpanjangan, diikuti tangisan yang bersangatan.

Ketika ditanya, jin yang berada dalam diri perempuan tersebut selama sebulan tetapi tidak berjaya masuk dalam badannya kerana perempuan itu selalu berpuasa dan sembahyang. Tetapi sejak dua minggu lalu, iaitu selepas bulan Ramadan, perempuan berkenaan telah marah yang bersangatan membolehkan jin masuk dalam tubuh.

Setelah dirawat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, jin itu keluar dengan izin Allah. Perempuan tadi terjaga dan bertanya apa yang telah berlaku dalam dirinya.
Syeikh Ahmad, menyuruhnya agar sentiasa membaca al-Quran, zikir-zikir di waktu pagi dan petang. Kepada bapa gadis itu, Syeikh memberi nasihat agar tidak mempercayai kata-kata jin, yang masuk ke dalam tubuh anak gadisnya itu atas permintaan manusia.

Pada satu ketika lain Syeikh Ahmad telah didatangi oleh seorang perempuan muda yang menyandang jawatan tinggi, tetapi tidak mahu berkahwin. Ketika ditanya, kenapa tidak mahu berkahwin, dia menyatakan: Saya telah turun darah nazif sejak satu tahun, tidak mahu sembuh biarpun puas berubat. Saya merasa sesak dada setiap kali ada lelaki yang datang hendak meminang,’’.

Ketika dibacakan doa, seluruh jarinya kelihatan menggeletar menunjukkan adanya gangguan. Syeikh telah menyuruhnya membaca surah Yasin, as-Saffat, ad-Dukhan. Selepas seminggu, gadis tadi memberitahu yang darahnya telah berhenti setelah tiga hari dia membaca surah-surah berkenaan. Gadis ini akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.

Berdasarkan contoh-contoh yang saya jelaskan tadi, ternyata pelalau yang saudari tanyakan, yang menyebabkan seseorang itu sukar menemui jodoh ataupun tidak menemui jodoh memang sesuatu yang benar boleh berlaku.

Pelalau adalah salah satu cabang ilmu sihir. Sihir tidak berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin, sama ada iblis atau syaitan.
Banyak tanda untuk membuktikan sama ada seseorang itu sukar menemui jodohnya kerana pelalau ataupun sebab yang berpunca daripada perlakuan orang yang terlibat, tanpa melibatkan pelalau.

PERTOLONGAN


Kaedah yang berkesan mengatasi masalah yang berkaitan pelalau ialah dengan meminta pertolongan daripada yang arif menggunakan ayat-ayat al-Quran, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad. Kaedah lain dengan memperkuatkan roh iaitu bertakarub kepada Allah s.w.t.
Untuk keterangan mengenai kaedah-kaedah rawatan yang perlu dilakukan, saudari boleh merujuk buku bertajuk: Merawat diri akibat sihir dengan bermunajat, 1998. Percetakan Watan, Kuala Lumpur.

Tidak mudah untuk menentukan sama ada seseorang itu tidak berkahwin berpunca daripada faktor luaran diri sendiri atau kerana sihir (pelalau).

TANDA-TANDA TERKENA SIHIR PELALAU


Di antara tanda-tanda seseorang itu kena sihir ialah adanya gangguan ketika hendak tidur. Bermimpi sesuatu yang mengerikan, seperti didatangi binatang buas, ditikam lembing, dilanggar kereta dan sebagainya.

Begitu juga dengan bermimpi melihat sesuatu yang menakutkan, seperti dikejar hantu, harimau, ular dan sebagainya. Jatuh dari tempat yang tinggi dan lain-lain lagi.

Tanda-tanda lain seperti mendengar suara yang ganjil di dalam rumah, di atas rumah atau paip dan suis lampu terbuka sendiri. Kadang-kadang dia mendengar suara memanggilnya, biarpun tidak ada manusia di sekelilingnya.

Tanda lain yang lumrah terjadi seperti berbau sesuatu yang luar biasa seperti bau wangi, padahal tidak ada minyak wangi tumpah, terbau busuk, bau darah, kemenyan, bau orang mati, nanah dan sebagainya. Bau-bau ini mungkin dihidu oleh diri mangsa sendiri atau seisi rumah.

Sering berlaku mangsa terlihat makhluk yang ganjil, dengan rupa yang menakutkan. Objek-objek seumpama ini selalunya sekelip mata sahaja.

Ketika seorang diri di rumah terasa adanya makhluk di sebelahnya, meremang bulu roma, manakala telinga menjadi tebal pada waktu-waktu tertentu.

Apa yang berlaku pada mangsa pelalau, ialah hilang rasa untuk berkahwin atau untuk meneruskan hubungan dengan seseorang biarpun sebelum ini ia terlalu mengharap benar agar hubungan itu berakhir dengan perkahwinan.

ARKIB : 27/08/2006
Pelalau kunci nafsu: Soal Jawab Bersama: DR.AMRAN KASIMIN
Sunting dan siar semula oleh Pusat Perubatan Islam As-Syifa' Melaka

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts