FOLLOWERS
Sunday, October 10, 2010
Thursday, October 7, 2010
BENCI ANTARA SUAMI ISTERI AKIBAT SIHIR.
SOALAN:
Sejak kebelakangan ini, pergaduhan sering berlaku dalam rumah tangga. Saya cukup meluat dan benci melihat suami dan rasa lega apabila dia keluar rumah. Apabila ada masalah biarpun sedikit, saya seumpama terdorong meninggikan suara. Saya rasa macam ada desakan supaya saya meminta cerai dan lidah saya pernah terpacul meminta cerai, biarpun bukan kehendak saya. Saya baru enam bulan berkahwin dan menyayanginya. Adakah sakit yang saya alami ini berlaku pada orang lain?
Jawapan:
Lumrahnya, tempoh berkahwin enam bulan adalah waktu pasangan berbulan madu. Kalau boleh tak mahu berpisah, biarpun sekejap. Namun puan bermasalah. Meluat tengok suami, rasa lega apabila dia keluar rumah. Ini bererti bahawa puan tidak dapat menikmati atau menghayati matlamat perkahwinan yang sebenar, iaitu hidup berkasih sayang, tenang dan rukun damai.
Puan perlu faham, setiap sesuatu yang berlaku di luar kebiasaan pasti ada puncanya. Menurut Umar Sulaiman (1985:75-75), di antara cara atau kaedah iblis syaitan menyesatkan manusia ialah dengan mengajar ilmu sihir kepada manusia. Ilmu inilah yang digunakan untuk memisahkan pasangan suami isteri. Perpisahan ini merupakan tumpuan iblis dan syaitan.
Menurut Wahid Abdul Salam Bali (1412H:57), pelanggan akan menemui tukang sihir dan meminta daripadanya agar ia memisahkan pasangan tertentu. Tukang sihir akan meminta daripadanya nama lelaki yang hendak disihirnya, berserta nama ibunya, kemudian dia akan meminta sesuatu benda, seperti rambut, baju, songkok dan sebagainya. Sekiranya bahan-bahan yang diperlukan itu tidak didapati, tukang sihir berkenaan akan melakukan sihir dengan menggunakan kalimah-kalimah sihir dan disuruh agar air yang dijampi tadi dituang di tempat laluannya, menyebabkannya terkena sihir apabila dia melangkahnya. Bahan air tadi boleh juga dimasukkan dalam makanan atau minuman.
Dalam masyarakat Melayu, tukang-tukang sihir selalunya akan meminta nama pasangan yang terlibat berserta nama ibu masing-masing, juga bahan-bahan tertentu, seperti gambar, baju, kain, seluar dalam atau apa jenis pakaian yang telah dipakai. Sekiranya bahan tadi tidak diperoleh oleh orang yang mempunyai hajat, kemungkinan tukang sihir tadi menyuruh jin yang mendampinginya, mengambil bahan-bahan tadi.
Terdapat keterangan daripada hadis-hadis menunjukkan bahawa jin-jin memang ada yang mencuri bahan-bahan tertentu, kepunyaan manusia. Dalam sebuah hadis daripada Buraidah, dia telah berkata: Aku mempunyai makanan. Maka aku dapati akan dia berkurangan. Lalu aku hendap pada waktu malam. Aku dapati ada lembaga padanya, lalu tangkap akan dia. Aku berkata: Aku tidak akan melepaskan dikau hingga aku bawa engkau kepada nabi. Lembaga tadi berkata: Sesungguhnya aku ini seorang perempuan yang banyak keluarga. Aku tidak akan datang lagi.
Begitulah yang dilakukan oleh lembaga tadi buat kali kedua dan ketiga. Tiap kali datang aku tangkap. Akhirnya lembaga tadi berkata: Lepaskan daku... aku akan ajarkan dikau sesuatu apabila engkau baca akan dia nescaya salah satu daripada golongan kami tidak menghampiri barang-barang engkau. Apabila engkau baring di atas tempat tidur bacalah untuk diri dan harta kau ayat al-Kursi. Aku telah memberitahu nabi, baginda telah berkata: Benarlah... walaupun dia pembohong.
Hadis ini menjelaskan bahawa bukan mustahil makhluk jin-jin itu mencuri sesuatu kepunyaan manusia, yang melibatkan objek tertentu. Dalam kes yang dijelaskan di atas, jin perempuan ini mencuri buah kurma untuk keperluan anaknya. Manusia yang berilmu, yang diberi kekuatan Allah, berupaya menangkap jin. Bermaksud bahawa manusia yang tidak berilmu, yang tidak diberi kekuatan oleh Allah, biarpun mereka termasuk dalam golongan khalifah di muka bumi, tidak berupaya berbuat demikian. Sebaliknya makhluk ini akan ditangkap, diganggu, ditipu dan ditakluki oleh jin-jin. Istinbat atau pengajaran hadis ini juga memperlihatkan bahawa ayat al-Kursi itu mempunyai fadilat istimewa dalam usaha menangani atau mengatasi masalah yang berkaitan dengan gangguan jin-jin. Dengan berbuat demikian, Allah akan menyelamatkan diri mereka yang mengamalkan atau membaca ayat al-Kursi, juga harta benda daripada gangguan dicuri oleh jin-jin. Itulah di antara rahsia bagaimana hendak mengatasi masalah yang berkaitan dengan jin-jin. Rahsia yang didedahkan sendiri oleh makhluk jin. Akhir sekali baginda memberi peringatan bahawa biarpun apa yang dikatakan oleh jin mengenai ayat al-Kursi itu benar, namun makhluk jin itu, iaitu iblis dan syaitan adalah makhluk pembohong.
Menurut Wahid Abdul Salam (142H: 55-57) sihir jenis ini juga boleh memisahkan anak dengan ibu, anak dengan bapa, adik-beradik, di antara teman, rakan syarikat perniagaan dan lain-lainnya. Perpisahan di antara pasangan suami isteri paling bahaya dan banyak berlaku.
Sihir jenis ini boleh menyebabkan timbulnya rasa benci yang bersangatan dengan tiba-tiba, berlaku syak-wasangka tidak boleh bertolak ansur, menyebabkan berlakunya perselisihan faham biarpun atas sebab-sebab yang kecil. Sihir juga menyebabkan berlakunya perubahan rupa suami pada mata isteri atau sebaliknya. Suami akan melihat isterinya dengan pandangan yang menyakitkan hati lagi hodoh. Biarpun isterinya cantik. Hal demikian berlaku kerana iblis yang terlibat dengan sihir itu mengubahkan rupa si isteri menjadi buruk dan menimbulkan rasa benci pada suami. Isteri ada kalanya melihat wajah suaminya dengan pandangan yang menakutkan. Al-Hafiz Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir (1:44) menjelaskan bahawa perceraian suami isteri boleh berlaku akibat sihir menyebabkan setiap pihak melihat pasangannya dengan pandangan yang buruk, atau lain-lain punca yang mendatang yang boleh menyebabkan berlakunya perceraian.
Menurut seorang responden, salah satu kaedah untuk memisahkan pasangan suami isteri ialah dengan menggunakan tahi besi . Bahan ini telah siap dibungkus untuk dijual. Setelah dibacakan mantera pembenci, bahan tersebut ditabur di tempat laluan pasangan yang terlibat, seperti di jalan masuk rumah, di depan tangga dan sebagainya. Tukang sihir memerintahkan jin-jin yang mendampinginya agar merasuk otak mereka yang melangkahi bahan tadi menyebabkan timbulnya rasa tidak tenteram, gelisah dan rasa benci-membenci. Tahi besi digunakan untuk tujuan ini kerana ia diperoleh daripada bahan besi yang dibakar.
Sempena daripadanya, betapa panas besi yang menyebabkan terjadinya tahi besi, maka begitulah panas, rasa gelisah dan tidak tenteram berlaku ke atas mereka yang melangkah tahi besi yang dijampi puja tadi. Nama ibu perlu disebut jelas kerana tidak mahu sihir yang ditujukan kepada individu tertentu itu tersalah sasaran. Nama bapa tersebut tidak semestinya membuktikan bahawa orang berkenaan benar-benar anak kepada nama lelaki (bapa) yang disebut tadi, mungkin dia hanya anak angkat.
Sebutan nama disertakan dengan nama ibu adalah lebih tepat atau pasti kerana orang yang berkenaan tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan lahir daripada perut ibu. Individu yang mempunyai kekuatan roh yang sentiasa mendampingkan diri kepada Allah dan dikasihi oleh-Nya akan terselamat daripada gangguan iblis dan syaitan. Begitulah Allah melindungi kekasih-Nya. Wahid Abdul Salam Bali (1412H: 59) menceritakan kisah seorang perempuan yang terlalu membenci suaminya akibat sihir. Ia berasa begitu lemas dan resah ketika berada di rumah. Pasangan ini menemui seorang perawat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran. Jin yang meresap dalam tubuhnya mengakui, yang ia datang dengan perantaraan sihir, untuk memisahkan pasangan ini. Perawat telah memukulnya banyak kali, tetapi tidak memberi kesan, ia telah berulang alik untuk mendapatkan rawatan selama sebulan di mana akhirnya jin tersebut meminta agar ia menceraikan dengan talak satu, kemudian merujuk semula. Perempuan berkenaan telah sembuh selama seminggu, tetapi sakit semula, lalu mereka menemui penulis yang juga perawat yang menggunakan ayat al-Quran. Ketika dirawat, perempuan tersebut telah menjerit yang akhirnya berlaku dialog di antara kedua-dua belah pihak.
Jin tersebut memberitahu namanya Syaqwan, beragama Nasrani. Ia masuk dalam tubuh si isteri untuk memisahkannya dengan suaminya. Perawat mencadangkan agar jin itu memeluk Islam seandainya ia mahu dan ia tidak dipaksa. Jin tersebut pada mulanya enggan keluar daripada tubuh mangsa dan memberitahu agar ia jangan menyusahkan diri kerana pesakit telah dibawa menemui ramai perawat, tetapi tidak berjaya. Setelah berlaku perbahasan dan perbincangan yang panjang, jin tersebut akhirnya memeluk Islam. Perawat bertanya sama ada jin tersebut memeluk Islam sepenuh hatinya, ataupun semata-mata untuk menipunya. Jin tadi menjawab, bahawa ia tidak berkuasa memaksanya memeluk Islam.
Ia memeluk Islam dengan sepenuh hati. Tetapi ia menyatakan bahawa ia sedang melihat satu kumpulan jin Nasrani mengancamnya dan menakut-nakutkan untuk membunuhnya. Perawat menyatakan untuk mengatasi perkara seumpama ini adalah mudah. Andainya ia telah memeluk Islam dengan jujur sepenuh hati, ia akan diberi senjata yang kuat, di mana tidak ada sesiapa pun yang berupaya menghampirinya. Jin tersebut telah meminta senjata yang dimaksudkan ketika itu juga, tetapi tidak diberi, kecuali setelah ia menjauhkan diri daripada melakukan kezaliman dan keluar daripada tubuh perempuan tadi. Jin tersebut mengaku yang ia telah memeluk Islam, tetapi tidak berupaya melepaskan diri daripada tukang sihir. Menurut perawat, adalah mudah untuk mengatasi masalah tersebut, asalkan ia mahu memberitahu di mana bahan-bahan sihir itu diletakkan.
Jin memberitahu bahawa bahan tersebut ditanam di bawah rumah tempat perempuan itu tinggal, tetapi ia tidak pasti di mana ia ditanam kerana di tempat tersebut adalah jin lain menjaga bahan-bahan sihir tadi. Apabila bahan-bahan yang ditanam tadi diketahui oleh manusia, jin tadi akan memindahkannya ke tempat lain. Ketika ditanya lebih lanjut, jin berkenaan mengakui telah melakukan sihir selama 10 atau 20 tahun, tetapi ia kurang pasti. Sebelum itu ia telah merasuk tiga orang perempuan. Syeikh Abdul Wahid telah memberi senjata kepada jin itu dengan menyuruhnya membaca ayat al-Kursi. Setiap kali kumpulan jin itu hendak mendekatinya, ia hendaklah membaca ayat berkenaan. Untuk melepaskan diri daripada tukang sihir, ia disuruh agar keluar daripada tubuh perempuan dan segera ke Mekah tinggal bersama jin-jin Islam di Masjidilharam.
Jin ini masih tidak pasti bahawa Allah akan mengampunkan dosa-dosanya kerana terlalu banyak melakukan maksiat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Penyayang (az-zumar: 53). Mendengarkan ayat al-Quran yang dibacakan itu, jin tadi menangis teresak-esak dan meminta agar perempuan yang dirasuknya itu memaafkannya apabila ia pergi nanti, lalu ia keluar daripada tubuh mangsanya. Beberapa hari selepas peristiwa itu, si suami datang menyatakan semuanya telah pulih seperti sedia kala dengan kehendak Allah.
Soal jawab bersama : Dato' Dr Amran Kasimin (Utusan Melayau)
Petikan dari : www.grenbara.bravejournal.com
Wednesday, October 6, 2010
TIADA NIKAH BATIN DALAM ISLAM?
SOALAN:
Saya amat bersyukur kerana suami saya berubah untuk mengerjakan sembahyang dan berwirid begitu khusyuk kelihatannya. Selama ini, ia terlalu jarang sembahyang, jauh sekali hendak sembahyang sunat. Selain tidak mempunyai latar belakang agama, kerjanya begitu renyah, menjual sayur di pasar. Adalah menjadi masalah dan persoalan kepada saya apabila ia terlalu berahsia ke mana ia pergi setiap minggu atau dua minggu sekali. Kata-katanya selalu memperkatakan tentang Tuhan atau tauhid dan ilmu sufi. Gurunya didakwa mempunyai makam tinggi, berlainan dengan orang lain, menyebabkan sebahagian daripada gajinya diberikan kepada gurunya. Ketika berbual, dia juga ada menyentuh tentang “nikah batin” yang saya pernah dengar, tetapi tidak faham. Adakah suami saya ini melakukan ajaran sesat? JAWAPAN:
Perlu difahami bahawa kumpulan tarikat atau amalan sufi pernah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di negara kita. Ia juga di antara kegiatan yang perlu dilakukan dalam usaha menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Walaupun demikian, terdapat kumpulan tarikat yang sesat, tidak ubah seperti amalan kebatinan yang menggunakan unsur-unsur Islam, seperti penggunaan ayat-ayat al-Quran, zikir dan sebagainya yang mengelirukan. “Nikah batin” adalah istilah yang direka, merujuk kepada hubungan antara lelaki tertentu yang selalunya terdiri daripada guru ajaran sesat dengan perempuan ajnabi, sama ada terdiri daripada perempuan yang bersuami atau tidak ataupun masih dara. Guru berkenaan dikatakan mempunyai makam yang tinggi, mencapai martabat nabi-nabi atau rasul-rasul, wali-wali ataupun muqarrabin. Lantaran keistimewaan itu, ia terkecuali ataupun diberi keistimewaan oleh Allah berbanding manusia lain. Mereka terkecuali daripada berpuasa, sembahyang, haji dan sebagainya termasuk keperluan memenuhi syarat-syarat perkahwinan. Mereka tidak memerlukan wali, akad, ijab dan kabul , saksi juga mahar. Mereka boleh berkahwin dengan isteri orang. Dalam satu kes melibatkan beberapa orang lelaki di Johor, kumpulan ini diajar oleh gurunya yang dikatakan mengguna kitab “kasfu “l-Asrar”. Mereka belajar ilmu mengenal diri di mana dikatakan, “Sesiapa yang mengenal dirinya, bererti ia mengenal Tuhan.” Mereka yang mempelajari ilmu ini mendakwa diri mereka itu sebahagian daripada Tuhan, hasil daripada mengenal diri tadi. Sembahyang tidak wajib kerana sembahyang bererti menyembah Tuhan. Oleh kerana manusia sebahagian daripada Tuhan, kalau sembahyang bererti dia menyembah diri sendiri kerana Tuhan ada pada setiap insan. Dikatakan juga “kalau orang yang tidak faham dalam perkara ini mengenai Tuhan, ia memang tidak faham, akan tetapi orang yang betul-betul faham, akan mempercayai benarnya ajaran ini. Puasa bererti menahan diri, dari segi tauhid bererti sabar, puas hati dan menurut ajaran tasauf ertinya merdeka. Puasa, sembahyang dan perintah yang lain bererti memperhambakan diri. Manusia sekarang bebas merdeka daripada perhambaan, kerana itu kalau sudah merdeka bukan hamba, buat apa memperhambakan diri kepada Tuhan. Menurut kumpulan ini, Rukun Islam tidak wajib. Nikah tidak wajib kerana nikah adalah perjanjian antara manusia dengan Tuhan. Berbeza dengan sifat-sifat ataupun alasan-alasan yang dijadikan hujah mereka yang terlibat dengan ajaran sesat, kumpulan ini meninggalkan amalan Rukun Islam atas alasan kerana mengenal diri, menyebabkan diri manusia itu sebahagian daripada Tuhan. Apa yang dapat dipelajari daripada latar belakang amalan ajaran sesat ini ialah wujudnya penggunaan unsur-unsur Islam dalam usaha-usaha memesongkan iktikad seseorang. Taha Abdullah Al-Afifi dalam bukunya Makaidu Sy-Syatin, 1978, ms 132, menceritakan kisah yang diceritakan oleh As-Syeikh Abdul Qadir al-Khailani r.a sendiri di mana pada satu hari, ketika beliau berjalan dalam panas terik, juga menyebabkan hampir mati kerana kehausan, tiba-tiba datang sekumpulan awan di langit dengan tiupan angin sejuk sehingga keluar hembusan sejuk dari mulutnya. Tiba-tiba kedengaran suara, menyerunya, “Wahai Abdul Qadir. Aku Tuhanmu.” Aku menjawab “Engkau Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia!” Suara itu kedengaran buat kali kedua, “Ya Abdul Qadir, aku Tuhanmu, Aku telah halalkan bagimu, apa yang kuharamkan selama ini,” aku berkata kepadanya, “Engkau penipu, bahkan kau syaitan.” Tiba-tiba awan yang menyelubungi itu berkecai. Dari arah belakang aku mendengar suara, “Wahai Abdul Qadir, engkau terselamat daripadaku kerana kebijaksanaan tentang agama. Sesungguhnya aku telah tipu dengan cara yang sama sebelummu sebanyak 70 orang lelaki.” Abdul Qadir ditanya bagaimana dia tahu bahawa suara yang mengaku dirinya Tuhan itu adalah syaitan. Beliau menjawab ringkas menyatakan: Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada sesuatu yang haram menjadi halal, begitulah sebaliknya. Bermaksud bahawa andainya terdapat perubahan hukum, seperti sembahyang, puasa, haji yang selama ini wajib, yang dikatakan tidak perlu dilakukan lagi akibat keistimewaan pada diri seseorang itu, maka dakwaan tersebut daripada syaitan. Walaupun penyelewengan seperti ini jelas, namun ia boleh mengelirukan, menyebabkan adanya orang-orang tertentu terjebak. Hal demikian ialah kerana kejahilan mereka yang tidak memahami ajaran agama biarpun mereka berwirid, sembahyang dan berpakaian tidak ubah seperti pakaian orang alim. Golongan ini termasuk dalam golongan “abid” (orang yang memperhambakan diri kepada Allah, tetapi jahil ajaran Islam). Dalam sebuah hadis marfu riwayat Ibn Adiy, seorang fakih itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang abid. Bermaksud bahawa iblis dan syaitan tidak gentar dengan orang yang kuat beribadah kepada Allah semata-mata. Lebih jelas dinyatakan bahawa amalan nikah batin diadakan-adakan semata-mata untuk kepentingan nafsu. Si mangsa dalam keadaan terpaksa menyerahkan diri kepada individu tertentu, mungkin kerana rasa hormat sebagai guru, yang berselindung atas nama guru tarikat ataupun guru sufi. Dengan ilmu kebatinan yang dimiliki, yang dibantu oleh jin-jin juga mereka mengeksploitasi mangsa yang diingini dalam keadaan terpukau, separuh tidak sedarkan diri dan tidak berupaya untuk melawan. Mereka ini selain daripada menjadi guru tarikat sesat, juga sering melibatkan diri dengan amalan kebatinan yang melibatkan rawatan. Ketika rawatan, si suami atau waris tidak dibenarkan bersama, mungkin disuruh duduk di luar bilik, sambil berzikir agar sakit yang dideritai oleh mangsa cepat hilang. Dalam masyarakat Melayu, kejadian seperti ini menyebabkan hubungan suami isteri renggang ataupun terputus dan bagi yang belum berkahwin, maruah diri tercemar akibat dirogol dan sebagainya. Selain daripada itu, bukan mudah bagi mereka yang terlibat dengan mangsa rogol, yang diistilahkan sebagai “nikah batin” tadi berhadapan dengan guru ajaran sesat ataupun mereka yang melibatkan diri dengan amalan kebatinan. Biar dalam keadaan apa sekalipun untuk apa tujuan dan muslihat, andainya amalan ini dibiarkan, kegiatan tersebut akan menambah lagi masalah sosial. Baginda adalah hamba yang maksum dan dijanjikan syurga. Walaupun demikian, baginda tetap sembahyang sehingga akhir hayatnya, biarpun ketika gering. Baginda memperbanyakkan ibadah waktu malam. Ketika ditanya oleh Sayidatina Aishah tentang ibadah yang dilakukan, baginda dengan tegas menjawab, “bukankah aku ini termasuk dalam golongan hamba yang tahu bersyukur.” Kata-kata baginda bermaksud, biarpun Allah telah meletakkan martabatnya begitu tinggi, terpelihara daripada dosa dan dijanjikan syurga, tanggungjawab dirinya terhadap Tuhan yang tetap tidak gugur dan mesti dilakukan. Sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan Allah, baginda memperbanyakkan ibadahnya sebagai tanda bersyukur. Biar betapa istimewa seseorang itu, kerana ilmunya, pangkatnya, termasuk sifat takwa yang dimiliki, ia tetap wajib melakukan setiap yang diwajib oleh syarak, melakukan Rukun Islam dan mempercayai Rukun Iman. Mereka yang menyatakan bahawa amalan rukun itu tidak wajib, kerana mempunyai kedudukan istimewa, hakikatnya terkeluar dari Islam.
Penulis: Dr Amran Kasimin
Terbitan asal: 19 September 2007 url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/
Penulis: Dr Amran Kasimin
Terbitan asal: 19 September 2007 url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/
DOA UNTUK MENGHILANGKAN SAKIT APABILA DIGIGIT BINATANG BISA.
Apabila anda atau sesiapa jua digigit binatang atau haiwan berbisa seperti kala jengking, lipan, ular dan sebagainya, maka boleh menggunakan ikhtiar berikut bagi menghilangkan sakit bisa daripada merebak ke dalam tubuh pesakit. Usaha dan berdoalah kerana pasti Allah akan memberikan kita kesembuhan.
KAEDAH RAWATAN
1. Al-Fatehah
2. Surah Al-Ikhlas
3. Surah Al-Falaq
4. Surah An-Nas
5. Bismillah 5
BAHAN RAWATAN
1. Garam Kasar
2. Air
BAHAN RAWATAN
1. Garam Kasar
2. Air
Dibacakan turutan ayat di atas dan kemudiannya dihembuskan kedalam air yang bercampur garam. Rendamkan kaki pesakit kedalam baldi yang ada campuran garam tersebut beberapa ketika. Boleh juga kemudian sekali menjirus air ke tempat yang sakit, insyaAllah bisa akan reda dan akan beransur hilang. Apapun silalah rujuk kepada pengamal perubatan yang mahir dalam bidang ini.
As-Syifa' Melaka : 013-2006363
Monday, October 4, 2010
ISU SEMASA DI P.PINANG : Hukum Menerima Wang Sumber Tidak Jelas
Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.
DARI SUDUT HUKUM
Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.
Fakta berikut perlu difahami:
1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.
Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.
Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.
2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.
Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.
3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.
Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)
PANDANGAN ULAMA MAZHAB
Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)
Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)
Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)
Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)
Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang
ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)
RINGKASAN DALIL
Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-
1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)
Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.
2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]
3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.
KESIMPULAN
* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.
-----------------------------------------------
Petikan dari, http://www.harakahdaily.net/
Daripada, www.zaharuddin.net
Sunday, October 3, 2010
AS-SYIFA' MELAKA : TAZKIRAH : WASIAT SAYYIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH
1. Peringatan buat dirimu yang mana pasar itu merupakan suatu tempat yang boleh merosakkan akhlak.
2. Sesuatu yang hendak dicapai oleh keelokan budi pekerti itu ialah rasa malu seseorang pada diri sendiri.
3. Tiada pusaka peninggalan yang lebih bermanfaat daripada elok budi pekerti.
4. Cucikan hati kamu dengan beradab sebagaimana api membakar sesuatu dengan kayu.
5. Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain.
6. Elok pekerti merupakan gedung ketika berhajat padanya.
7. Kualiti setiap sesuatu itu dinilai pada kebaikannya.
8. Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
9. Sekiranya kamu merasa letih kerana melakukan sesuatu yang baik maka keletihan itu kan hilang dan perbuatan baik yang kamu lakukan terus kekal.
10. Jika kamu tidak mahu melupakan segala kebaikan yang dilakukan maka kamu hendaklah mengulangi di dalam membuat kebaikan itu.
11. Ratapilah saudaramu dengan berbuat baik padanya dan jauhilah kejahatannya dengan bersedekah padanya.
12. Sesuatu yang tidak elok untuk diperkatakan sekalipun ia benar iaitu puji diri sendiri.
13. Seelok-elok kesihatan itu adalah memberi sesuatu dan ketaatan merupakan gedung yang tidak akan musnah.
14. Dua nikmat yang sering dilupakan ialah kesihatan dan keselamatan.
15. Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti.
16. Banyak berhutang akan menggelincirkan orang yang benar kepada pendustaan.
17. Tepati janji merupakan kembar kepada benar.
18. Kemarahan orang yang berakal dilihat pada tindak tanduknya dan kemarahan yang ada pada orang jahil itu dapat dilihat melalui perkataannya.
19. Permulaan bagi perasaan marah itu adalah hilang pertimbangan manakala penghabisannya pula adalah perasaan menyesal.
20. Tidak dikira lemah lembut jika ia timbul ketika redha tetapi lemah lembut yang sebenar akan timbul ketika dalam keadaan marah.
21. Sesiapa yang tunduk kepada perasaan marah menyebabkan akhlaknya kurang.
22. Bagi setiap nikmat ada kunci yang membukanya dan ada kunci yang akan menyelaknya yang mana kunci pembukanya adalah sabar dan kunci penyelaknya adalah malas.
23. Sesiapa yang malas tidak akan menunaikan tanggungjawabnya.
24. Ketua kepada kejahilan itu adalah gedung kemalasan
Petikan dari : http://www.aki2004.wordpress.com/
Subscribe to:
Posts (Atom)
Man Ana ???
- Md Zaini Zainal
- Melaka, Malaysia
- Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com
Popular Posts
-
S oalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga say...
-
Masalah binatang yang bernama tikus yang kadangkala terlalu banyak menghuni di rumah kita menjadi satu masalah yang amat sukar dihadapi. Sel...
-
SOALAN: Saya sering menghadapi masalah tidur. Sekiranya baru balik dari berjalan jauh, deruan dan bunyi hon kenderaan akan datang menerjah ...
-
Abstrak : Saka adalah perkataan yang sangat ditakuti kini dalam masyarakat kita berbanding dengan perkataan pusaka. Saka lebih sinonim den...
-
Bagi pasangan suami isteri kebanyakan pernah merasai betapa susahnya menjaga anak yang mengalami demam panas. Saat suhu badan anak melepasi ...
-
MUSIBAH banjir yang melanda negeri di Pantai Timur Semenanjung tanah air pada ketika ini mengajak minda umat Islam untuk merenung akan kek...
