FOLLOWERS

Wednesday, October 6, 2010

TIADA NIKAH BATIN DALAM ISLAM?

SOALAN:

Saya amat bersyukur kerana suami saya berubah untuk mengerjakan sembahyang dan berwirid begitu khusyuk kelihatannya. Selama ini, ia terlalu jarang sembahyang, jauh sekali hendak sembahyang sunat. Selain tidak mempunyai latar belakang agama, kerjanya begitu renyah, menjual sayur di pasar.
 
Adalah menjadi masalah dan persoalan kepada saya apabila ia terlalu berahsia ke mana ia pergi setiap minggu atau dua minggu sekali. Kata-katanya selalu memperkatakan tentang Tuhan atau tauhid dan ilmu sufi. Gurunya didakwa mempunyai makam tinggi, berlainan dengan orang lain, menyebabkan sebahagian daripada gajinya diberikan kepada gurunya. Ketika berbual, dia juga ada menyentuh tentang “nikah batin” yang saya pernah dengar, tetapi tidak faham. Adakah suami saya ini melakukan ajaran sesat?
 
JAWAPAN:

Perlu difahami bahawa kumpulan tarikat atau amalan sufi pernah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di negara kita. Ia juga di antara kegiatan yang perlu dilakukan dalam usaha menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Walaupun demikian, terdapat kumpulan tarikat yang sesat, tidak ubah seperti amalan kebatinan yang menggunakan unsur-unsur Islam, seperti penggunaan ayat-ayat al-Quran, zikir dan sebagainya yang mengelirukan.
 
“Nikah batin” adalah istilah yang direka, merujuk kepada hubungan antara lelaki tertentu yang selalunya terdiri daripada guru ajaran sesat dengan perempuan ajnabi, sama ada terdiri daripada perempuan yang bersuami atau tidak ataupun masih dara.
 
Guru berkenaan dikatakan mempunyai makam yang tinggi, mencapai martabat nabi-nabi atau rasul-rasul, wali-wali ataupun muqarrabin. Lantaran keistimewaan itu, ia terkecuali ataupun diberi keistimewaan oleh Allah berbanding manusia lain.
 
Mereka terkecuali daripada berpuasa, sembahyang, haji dan sebagainya termasuk keperluan memenuhi syarat-syarat perkahwinan. Mereka tidak memerlukan wali, akad, ijab dan kabul, saksi juga mahar. Mereka boleh berkahwin dengan isteri orang.
 
Dalam satu kes melibatkan beberapa orang lelaki di Johor, kumpulan ini diajar oleh gurunya yang dikatakan mengguna kitab “kasfu “l-Asrar”. Mereka belajar ilmu mengenal diri di mana dikatakan, “Sesiapa yang mengenal dirinya, bererti ia mengenal Tuhan.” Mereka yang mempelajari ilmu ini mendakwa diri mereka itu sebahagian daripada Tuhan, hasil daripada mengenal diri tadi.
 
Sembahyang tidak wajib kerana sembahyang bererti menyembah Tuhan. Oleh kerana manusia sebahagian daripada Tuhan, kalau sembahyang bererti dia menyembah diri sendiri kerana Tuhan ada pada setiap insan. Dikatakan juga “kalau orang yang tidak faham dalam perkara ini mengenai Tuhan, ia memang tidak faham, akan tetapi orang yang betul-betul faham, akan mempercayai benarnya ajaran ini.
 
Puasa bererti menahan diri, dari segi tauhid bererti sabar, puas hati dan menurut ajaran tasauf ertinya merdeka. Puasa, sembahyang dan perintah yang lain bererti memperhambakan diri. Manusia sekarang bebas merdeka daripada perhambaan, kerana itu kalau sudah merdeka bukan hamba, buat apa memperhambakan diri kepada Tuhan.
 
Menurut kumpulan ini, Rukun Islam tidak wajib. Nikah tidak wajib kerana nikah adalah perjanjian antara manusia dengan Tuhan.
 
Berbeza dengan sifat-sifat ataupun alasan-alasan yang dijadikan hujah mereka yang terlibat dengan ajaran sesat, kumpulan ini meninggalkan amalan Rukun Islam atas alasan kerana mengenal diri, menyebabkan diri manusia itu sebahagian daripada Tuhan. Apa yang dapat dipelajari daripada latar belakang amalan ajaran sesat ini ialah wujudnya penggunaan unsur-unsur Islam dalam usaha-usaha memesongkan iktikad seseorang.
 
Taha Abdullah Al-Afifi dalam bukunya Makaidu Sy-Syatin, 1978, ms 132, menceritakan kisah yang diceritakan oleh As-Syeikh Abdul Qadir al-Khailani r.a sendiri di mana pada satu hari, ketika beliau berjalan dalam panas terik, juga menyebabkan hampir mati kerana kehausan, tiba-tiba datang sekumpulan awan di langit dengan tiupan angin sejuk sehingga keluar hembusan sejuk dari mulutnya.
 
Tiba-tiba kedengaran suara, menyerunya, “Wahai Abdul Qadir. Aku Tuhanmu.” Aku menjawab “Engkau Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia!”
 
Suara itu kedengaran buat kali kedua, “Ya Abdul Qadir, aku Tuhanmu, Aku telah halalkan bagimu, apa yang kuharamkan selama ini,” aku berkata kepadanya, “Engkau penipu, bahkan kau syaitan.”
 
Tiba-tiba awan yang menyelubungi itu berkecai. Dari arah belakang aku mendengar suara, “Wahai Abdul Qadir, engkau terselamat daripadaku kerana kebijaksanaan tentang agama. Sesungguhnya aku telah tipu dengan cara yang sama sebelummu sebanyak 70 orang lelaki.”
 
Abdul Qadir ditanya bagaimana dia tahu bahawa suara yang mengaku dirinya Tuhan itu adalah syaitan. Beliau menjawab ringkas menyatakan: Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada sesuatu yang haram menjadi halal, begitulah sebaliknya.
 
Bermaksud bahawa andainya terdapat perubahan hukum, seperti sembahyang, puasa, haji yang selama ini wajib, yang dikatakan tidak perlu dilakukan lagi akibat keistimewaan pada diri seseorang itu, maka dakwaan tersebut daripada syaitan.
 
Walaupun penyelewengan seperti ini jelas, namun ia boleh mengelirukan, menyebabkan adanya orang-orang tertentu terjebak. Hal demikian ialah kerana kejahilan mereka yang tidak memahami ajaran agama biarpun mereka berwirid, sembahyang dan berpakaian tidak ubah seperti pakaian orang alim. Golongan ini termasuk dalam golongan “abid” (orang yang memperhambakan diri kepada Allah, tetapi jahil ajaran Islam).
 
Dalam sebuah hadis marfu riwayat Ibn Adiy, seorang fakih itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang abid. Bermaksud bahawa iblis dan syaitan tidak gentar dengan orang yang kuat beribadah kepada Allah semata-mata.
 
Lebih jelas dinyatakan bahawa amalan nikah batin diadakan-adakan semata-mata untuk kepentingan nafsu. Si mangsa dalam keadaan terpaksa menyerahkan diri kepada individu tertentu, mungkin kerana rasa hormat sebagai guru, yang berselindung atas nama guru tarikat ataupun guru sufi.
 
Dengan ilmu kebatinan yang dimiliki, yang dibantu oleh jin-jin juga mereka mengeksploitasi mangsa yang diingini dalam keadaan terpukau, separuh tidak sedarkan diri dan tidak berupaya untuk melawan.
 
Mereka ini selain daripada menjadi guru tarikat sesat, juga sering melibatkan diri dengan amalan kebatinan yang melibatkan rawatan. Ketika rawatan, si suami atau waris tidak dibenarkan bersama, mungkin disuruh duduk di luar bilik, sambil berzikir agar sakit yang dideritai oleh mangsa cepat hilang.
 
Dalam masyarakat Melayu, kejadian seperti ini menyebabkan hubungan suami isteri renggang ataupun terputus dan bagi yang belum berkahwin, maruah diri tercemar akibat dirogol dan sebagainya. Selain daripada itu, bukan mudah bagi mereka yang terlibat dengan mangsa rogol, yang diistilahkan sebagai “nikah batin” tadi berhadapan dengan guru ajaran sesat ataupun mereka yang melibatkan diri dengan amalan kebatinan. Biar dalam keadaan apa sekalipun untuk apa tujuan dan muslihat, andainya amalan ini dibiarkan, kegiatan tersebut akan menambah lagi masalah sosial.
 
Baginda adalah hamba yang maksum dan dijanjikan syurga. Walaupun demikian, baginda tetap sembahyang sehingga akhir hayatnya, biarpun ketika gering. Baginda memperbanyakkan ibadah waktu malam. Ketika ditanya oleh Sayidatina Aishah tentang ibadah yang dilakukan, baginda dengan tegas menjawab, “bukankah aku ini termasuk dalam golongan hamba yang tahu bersyukur.”
 
Kata-kata baginda bermaksud, biarpun Allah telah meletakkan martabatnya begitu tinggi, terpelihara daripada dosa dan dijanjikan syurga, tanggungjawab dirinya terhadap Tuhan yang tetap tidak gugur dan mesti dilakukan. Sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan Allah, baginda memperbanyakkan ibadahnya sebagai tanda bersyukur.
 
Biar betapa istimewa seseorang itu, kerana ilmunya, pangkatnya, termasuk sifat takwa yang dimiliki, ia tetap wajib melakukan setiap yang diwajib oleh syarak, melakukan Rukun Islam dan mempercayai Rukun Iman. Mereka yang menyatakan bahawa amalan rukun itu tidak wajib, kerana mempunyai kedudukan istimewa, hakikatnya terkeluar dari Islam.
 

Penulis:  Dr Amran Kasimin
Terbitan asal: 19 September 2007
url artikel: http://grenbara.bravejournal.com/entry/

No comments:

Post a Comment

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG