FOLLOWERS

Sunday, June 20, 2010

IBLIS BOLEH MENIRU RUPA MANUSIA KECUALI MENYERUPAI WAJAH RASULULLAH (As-Syifa' Melaka : 013-2006363)

Makhluk-makhluk halus terbentuk daripada zat halus (athir) yang tidak ada halangan bagi zat itu untuk menyerupai sesuatu yang dikehendaki. Ia juga boleh menembusi sesuatu, yang tidak disekat atau dihalangi oleh bahan-bahan udara, air dan sebagainya.

Makhluk-makhluk halus boleh merupa kepada bentuk yang mereka ingini dengan izin Allah jua dan boleh masuk atau keluar dari mana-mana baha­gian tanpa sekatan.
Pada satu ketika isteri Rasulullah S.A.W. yang bernama Safiyyah men­ziarahi baginda yang sedang beriktikaf di masjid. Ketika Safiyyah hendak meninggalkan masjid baginda telah mengiringinya sampai ke pintu masjid. Pada waktu yang sama datang dua orang lelaki daripada golongan Ansar lalu memberi salam. Rasulullah menjawab salam tadi dan berkata:
"Sila kamu berdua masuk. Dia ini ialah Safiyyah binti Hay'.,
Mendengar kata Rasulullah, mereka berdua pun Mengucap "Subhanallah".

Kemudian Rasulullah bersabda:
"sesungguhnya syaitan itu memasuki tubuh manusia menurut aliran darah. Dan sesungguhnya aku takut syaitan itu akan mencampakkan sesuatu dalam hati kamu berdua."

Peristiwa di atas terjadi pada bulan Ramadan. Menurut kebiasaannya Rasulullah S.A.W. sejak 21 hingga akhir bulan Ramadan akan berada di masjid siang dan malam untuk beriktikaf.

Pada satu malam Safiyyah berkunjung ke masjid kerana sesu­atu keperluan. Ketika pulang baginda menghan­tarnya hingga ke pintu masjid. Dua orang sahabat yang datang itu berlalu dengan cepat menyingkir diri setelah melihat Rasulullah S.A.W. bersama seo­rang wanita, yang dirasakan mungkin bukan muhrimnya. Pada fikiran sahabat tadi, dengan berbuat demikian, Rasulullah S.A.W. tidak akan merasa malu bile berjumpa dengan mereka.

Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W. menerangkan keadaan yang sebenar, menyatakan perempuan yang bersamanya itu ialah isterinya. Baginda khuatir kalau silap faham atau rasa curiga itu akan menim­bulkan fitnah besar, lebih-lebih lagi sekiranya hal ini terdengar oleh orang-orang munafik, seperti peristiwa yang telah menimpa Aishah, pada peristi­wa hadithu ‘l-ifg.

Dalam kitab Gharaibu Wa ajaibi l'Jinn karangan al-Qadi Baharuddin menyebutkan tentang adanya jin yang separuh rupanya seperti manusia, namanya Shaqq, kerjanya menghalangi orang yang musafir bersendirian dan adakalanya membi­nasakan dia.

Sebuah hadis riwayat daripada Muaz bin Jabal menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah mem­berikan tamar sedekah kepadanya untuk dijaga. Tamar yang diletakkan dalam sebuah bilik itu dida­pati semakin berkurangan setiap hari. Lalu ia men­gadu kepada baginda. Rasulullah S.A.W memberi­tahu bahawa itu adalah perbuatan syaitan lalu menyuruhnya menunggu. Pada waktu malam datanglah satu lembaga menyerupai gajah. Apabila tiba ke pintu lembaga itu masuk melalui celah­- celah pintu setelah bertukar daripada rupa asalnya.

Apabila ditangkap dan diberi amaran untuk dibawa ke hadapan Rasulullah S.A.W, lembaga itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya lagi. Pada keesokan harinya apabila ditanya oleh Rasulullah S.A.W apakah yang telah dilakukan olehnya terhadap orang tawanannya itu, Muaz berkata bahawa lembaga itu telah dilepaskan sete­lah ia berjanji tidak akan datang lagi. Rasulullah S.A.W menjawab bahawa lembaga itu akan datang dan menyuruh Muaz menunggu.

Pada malam yang kedua Muaz telah menunggun­ya dan menangkap lembaga tadi tetapi melepaskan­nya apabila ia merayu dan berjanji tidak akan datang lagi.

Pada malam ketiga lembaga tadi datang lagi lalu ditangkap. Akhirnya ia dilepaskan oleh Muaz sete­lah memberitahu kegunaan dua ayat Al-Quran iaitu ayat al-Kursi dan ayat di akhir surah al­Baqarah. Jika ayat-ayat ini dibaca dalam sebuah rumah, syaitan tidak akan datang ke rumah tersebut.

Sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Ubai bin Kaab, menyatakan dia mempunyai satu bekas berisi tamar yang dipertaruhkan kepadanya. Tiba-tiba didapati isinya telah susut. Pada satu malam dia telah terjaga, tiba-tiba terlihat bayangan seorang budak. Lalu dia memberi salam kepada budak tadi dan dijawab salamnya. Apabila ditanya siapa dia yang sebenarnya, adakah jin atau manu­sia. Lembaga itu menjawab mengatakan bahawa ia adalah jin. Ubai bin Kaab meminta supaya lembaga itu menghulurkan tangannya. Apabila dihulurkan, didapati tangan itu seperti tangan anjing begitu juga rambutnya. Bila ditanya adakah jin dijadikan sedemikian rupa. Dijawab, bahawa bentuk jin adalah lebih dahsyat daripada dirinya.

Lebih rendah martabatnya

Berdasarkan ringkasan maksud hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa makhluk-makhluk halus berupaya menjelmakan dirinya dalam berbagai­-bagai bentuk kecuali rupa Rasulullah S.A.W.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa seorang pemuda kaum Ansar telah membunuh ular dalam rumahnya lalu ular itu mati. Rasulullah S.A.W bersabda:

.. "sesungguhnya di Madinah ini terdapat golongan jin yang telah Islam. Maka apabila kamu lihat sesu­atu tanda pada mereka, maka berilah amaran tiga hari. Jika ternyata kepada kamu sesudah itu, maka bunuhlah ia kerana sesungguhnya dia itu syaitan.”

Sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Said al-Khudri yang telah menceritakan bahawa pada satu hari ia didatangi seorang tamu. Tiba-tiba tamu itu melihat ular dan hendak membunuhnya. Abu Said telah melarangnya membunuh ular tadi dan menceritakan suatu cerita Yang pernah berlaku pada Ammar.

Seperti yang dijelaskan bahawa makhluk­-makhluk halus itu ada tiga jenis, iaitu jin, syaitan dan iblis. Di antara jin jin tersebut, ada yang beragama Islam, Yahudi, Kristian, Majusi dan ada Yang menganut bermacam macam penyembahan dan kepercayaan seperti manusia juga.

Syaitan lebih rendah martabatnya daripada jin dan ifrit kerana hidup mereka semata-mata untuk mengganggu dan membinasakan makhluk-makhluk Allah. Makhluk-makhluk halus merupakan makhluk-makhluk yang hidup mempunyai roh yang membolehkan mereka hidup berketurunan. Mereka mempunyai batasan umur yang telah ditetapkan oleh Allah seperti manusia juga. Jin akan mati apa bila tiba ajalnya, tetapi umur syaitan (keturunan iblis) adalah panjang yang hanya akan berakhir dengan tiupan sangkakala pertama.

Dalam peristiwa yang menyebabkan iblis dilaknat dan dihukumkan kafir oleh Allah, iblis telah memo­hon kepada Allah agar umurnya juga keturunannya dipanjangkan seperti yang termaktub dalam surah al-Hijr: 36 bermaksud:

"Wahai Tuhanku, (kalau demikian) berilah aku
tangguh sampai hari mereka akan dibangkitkan."


Allah telah memperkenankan permohonannya dengan firmannya seperti yang termaktub dalam surah al-Hijr: 37-38 yang bermaksud:

"Dia (Allah) berfirman:
Maka sesungguhnya engkau adalah daripada mereka
yang diberi tang­guh, sampai hari waktu yang ditentukan."

Petikan dan siar semula RENCANA AKHBAR & DARUSSYIFA'

bersama TG Dato' Dr.Haron Din

1 comment:

  1. As Salam Ustaz, Mohon izin amal ayat al-Kursi dan ayat di akhir surah al­Baqarah untuk diri dan keluarga dunia akhirat..

    Semoga Allah merahmati Ustaz.

    ReplyDelete

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG