FOLLOWERS

Monday, June 7, 2010

PERBOMOHAN DAN AZIMAT : Edisi Ilmiah Sebagai Rujukan Oleh JAKIM (Siar semula oleh As-Syifa' Melaka:013-2006363)

PERBOMOHAN DAN AZIMAT

Takrif

Istilah bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan cara tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi. Oleh itu istilah perbomohan di sini adalah bermaksud sebarang aktiviti berkaitan dengan pengubatan yang dilakukan oleh seseorang bomoh.

Takrif azimat menurut Al-Mujam al-Wasit ialah al-ruqyah, iaitu suatu jampi. Maksud al-Ruqyah menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi ialah bahawa seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami.

Manakala dalam Kamus Al-Mujam fi al-Lughah wa al-Alam disebut bahawa al-Ruqyah bermaksud memohon pertolongan ataupun bantuan untuk memperoleh sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan yang melampaui kekuatan tabie.



Prinsip-prinsip Perbomohan dan Matlamatnya



(a) Matlamat perbomohan hendaklah bagi tujuan kebaikan, seperti untuk memberi kesihatan kepada tubuh badan, kerukunan rumah-tangga dan hidup bermasyarakat. Adalah dilarang sama sekali bagi tujuan membalas dendam, membuat aniaya, menakut-nakutkan ataupun mengugut orang lain.

(b) Setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa perbomohannya bersumber daripada Nabi Muhammad s.a.w., para anbiya atau diambil daripada al-Quran dan al-Hadith atau berasal daripada amalan para sahabat Nabi s.a.w. atau lain-lain, tanpa mengemukakan bukti yang kukuh berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith.


Adab dan Tatasusila Amalan Perbomohan

(a) Bomoh tidak boleh mendakwa dan mengaitkan sesuatu musibah adalah akibat daripada angkara kejahatan makhluk ghaib.

(b) Bomoh tidak boleh takbur dan tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.

(c) Bomoh hendaklah melarang pesakitnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.

(d) Bomoh hendaklah mengikut adab sopan dan tatatertib Islam ketika menolong seseorang sama ada bersendirian atau bersama pesakit.

(e) Bomoh hendaklah menjaga kesopanan tatasusila dan adab-adab sebagai seorang Islam.

(f) Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya seperti mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus dari Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah, atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.

(g) Amalan perbomohan tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri, dan sebagainya.

(h) Bomoh tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti wali syeikh, rijal al-ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning dan lain-lain.

(i) Bomoh tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami dan bercampuraduk dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menganggap bahawa tangkal mempunyai kuasa.

(j) Bomoh tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya kerana dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir atau bercampuraduk dengan ayat-ayat al-Quran.

(k) Bomoh tidak boleh membaca mana-mana ayat al-Quran secara songsang.

(l) Bomoh tidak boleh menggunakan kitab al-Quran secara tidak wajar, seperti syarat; menggantung al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu jika berpusing begini dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semua ini termasuk menghina al-Quran (Istihza).

(m) Bomoh tidak boleh meninggalkan ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang l ima waktu dan ibadat lainnya ketika melakukan perbomohan.

(n) Bomoh tidak boleh mengamalkan perbuatan menurun, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.

(o) Penggunaan jampi dibolehkan dengan syarat;

(i) Menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.
(ii) Menggunakan bahasa yang dapat difahami.
(iii) Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit sembuh daripada penyakitnya, sebaliknya Allah S.W.T. yang berkuasa.


Hukum Mengamalkan Perbomohan dan Azimat

Hukum mengamalkan perbomohan adalah harus, dengan syarat ianya tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Dalam sejarah Islam, memang wujud cara pengubatan tertentu sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Selain daripada cara-cara biasa, mereka juga menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit-penyakit tertentu.

Walau bagaimanapun, penggunaan tangkal azimat adalah haram dan syirik jika mengandungi perkataan-perkataan yang tidak dapat difaham maknanya, atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda yang najis atau kotor. Namun begitu, menggunakan Kalamullah, namaNya atau sifatNya atau zikrullah adalah tidak salah.
Larangan penggunaan azimat adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w.; Maksudnya:
Dari Ibnu Masud r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.

Bentuk Penerbitan Berkaitan dengan Perbomohan dan Azimat Yang Dilarang

(A) Semua penerbitan yang memaparkan kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas syarak, sama ada al-Quran atau al-Hadith.

Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosikan penggunaan rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal.
(ii) Penerbitan yang menceritakan tentang kekebalan seseorang secara luar biasa kononnya kerana ilmu hitam yang diamalkannya.

(B) Semua penerbitan yang mempromosikan tulisan-tulisan dan rajah-rajah yang dicampuraduk dengan huruf Arab dan kalimah-kalimah al-Quran serta tidak boleh difahami maksudnya.

Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosikan bentuk-bentuk jampi dan pelindung diri seperti menjampi cincin, minyak wangi, rantai, keris, cebisan kain tertentu untuk dijadikan sebagai pelindung diri, ilmu kebal serta ilmu pengasih, dan seumpamanya.
(ii) Penerbitan yang mempromosikan cara-cara membuat azimat bagi tujuan mendapat perlindungan.
Contohnya:
(i) Penerbitan mengenai amalan menjampi kepada objek-objek atau rajah-rajah yang dicampuradukkan dengan ayat-ayat suci al-Quran untuk tujuan tertentu.
(ii) Penerbitan yang memaparkan upacara perbomohan dan amalan menjampi dalam bahasa-bahasa atau sebutan yang tidak dapat difahami maksudnya.

(D) Semua penerbitan yang mengatkan sesuatu pengeras dengan sesuatu akibat.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan peristiwa bagaimana seseorang itu menjadi tidak siuman sepanjang hayatnya, gara-gara tidak memberi pengeras yang dikehendaki sewaktu rawatan perbomohan.

(e) Semua penerbitan yang memaparkan kepercayaan kepada sial dan mudharat yang menimpa seseorang atau diri sendiri.

Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan seorang ibu muda sukar untuk bersalin, gara-gara melanggar pantang larang supaya jangan mandi di sungai.

(f) Semua penerbitan yang memaparkan penyembelihan binatang bagi tujuan bukan syarie.

Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan upacara penyembelihan kambing sebagai korban bagi upacara menurun yang dilakukan oleh sekumpulan pemuja kubur.

(g) Semua penerbitan yang memaparkan perlakuan bomoh dengan bacaan tertentu yang menggunakan kuasa ghaib dalam upacara perbomohan..

Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan upacara perbomohan sedang diadakan dengan segala jampi mentera dan suasana memanggil jin sebagai khadam.

(h) Semua penerbitan yang memaparka supaya taat setia kepada bomoh atau seseorang pada sesuatu perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat.

Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosi kebaikan sesuatu ajaran atau amalan perbomohan yang jelas menggunakan ilmu sihir atau berunsur maksiat.

Garis Panduan ini diharap akan dapat memberikan panduan kepada para penerbit media cetak, elektronik dan perfileman serta semua pihak, dalam usaha memurnikan kandungan bahan-bahan penerbitan, berdasarkan prinsip dan nilai-nilai agama yang luhur, mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tarikh : 21 November 2005 [Wan Esma binti Wan Ahmad] Editor :
PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman] : Siar semula oleh As-Syifa' Melaka:013-2006363

1 comment:

  1. Do you want to get 30 bitcoin-related referrals per month, totally free?

    Here is Exactly How:

    1. Claim 3,000 (50,000 max.) free satoshi per 24 hours from the Mellow Ads Faucet.

    2. Start a 24 hours network campaign (define your budget with all of your avail. satoshi) advertising a bitcoin related referral URL.

    3. When the campaign is completed, re-claim and re-start.

    ReplyDelete

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts

CAPAIAN BLOG