Bapa mertua saya seorang yang pandai mengubat, dan telah meninggal dunia dua tahun lalu. Beberapa bulan lepas, dua orang teman rapatnya datang, mereka memberitahu telah bermimpi atau dapat mesej supaya suami saya mengambil alih tempat bapa mertua saya. Suami saya menerima. Mulai tarikh itu, dia menjadi baik, hilang panas barannya, tidak pernah tinggal sembahyang. ``Itulah kebaikan bersahabat dengan jin. Boleh membimbing manusia, membetulkan kesalahan dan memberi pertolongan,'' kata suami saya. Ada adik-beradik suami saya yang lain mengamalkan seperti dilakukan oleh suami saya. Nama mertua saya diseru untuk meminta pertolongan kerana mereka menganggapnya tidak mati.
.
.
.
.
.
.
JAWAPAN: Perlu dijelaskan bahawa mimpi itu ada tiga jenis, iaitu mimpi yang benar, seperti mimpi wahyu yang diturunkan melalui mimpi. Contohnya ialah mimpi daripada Allah subhanahu wa taala yang memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Peristiwa ini dijelaskan dalam al-Quran (as-Saffat: 102): Maka tatkala anak itu sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapati akan daku termasuk dalam golongan orang yang sabar.
Mimpi kedua ialah mimpi daripada iblis dan syaitan. Mereka yang melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, yang berusaha untuk menghalau iblis dan syaitan yang mengganggu di kilang-kilang, di sekolah-sekolah dan sebagainya sering didatangi mimpi di mana jin-jin yang mengganggu tempat berkenaan meminta supaya mereka menyembelih binatang dan darahnya diberi makan kepada makhluk tadi. Amalan ini dinamakan semah, iaitu amalan memberi makan jin-jin. Begitu juga yang berlaku di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan menyembah pantai, menyemah kampung dan sebagainya.
Selain melalui mimpi, makhluk ini sering meminta diberi makan melalui perantaraan lidah manusia iaitu ketika seseorang itu dalam keadaan menurun.
Mimpi ketiga ialah mimpi mainan tidur. Mimpi jenis ini yang paling banyak berlaku ke atas orang yang menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak akan bermimpi dengan mimpi yang menakutkan, hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga. Orang yang dibebani oleh hutang berkemungkinan besar akan terbawa-bawa dalam mimpi, berjumpa dengan orang yang memberi hutang merayu supaya memberi tempoh sementara kepadanya, jangan membawa kesnya ke mahkamah.
Mimpi yang dialami oleh dua orang teman rapat kepada bapa mertua puan yang telah meninggal dunia itu adalah mimpi jenis kedua, iaitu mimpi daripada iblis dan syaitan. Berkemungkinan makhluk ini, iaitu makhluk yang pernah mendampingi bapa mertua puan ketika hidupnya, menyebabkan mereka boleh terlibat dengan rawatan tradisional, datang dalam mimpi, untuk memberitahu supaya suami puan mengambil alih tempat bapanya yang telah meninggal dunia.
Pada kebiasaannya, makhluk yang datang itu menjelma rupa seorang lelaki, berjubah warna hijau atau putih, berserban, yang ada kalanya memegang tasbih. Itulah di antara keistimewaan yang Allah subha nahu wataala anugerahkan kepada jin-jin, yang tergolong dalamnya iblis dan syaitan. Kerjanya menjelmakan diri dalam mimpi manusia. Makhluk ini menjelma dalam mimpi sedemikian rupa supaya manusia terkeliru, yang datang itu bukan iblis dan syaitan, tetapi manusia, alim warak, zuhd dan takwa. Jubah yang dipakai berwarna hijau, kerana hijau itu warna kegemaran rasulullah s.a.w. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah.
Maksud ``mengambil alih'' yang dimaksudkan oleh mimpi tadi, ataupun mesej yang disalurkan melalui mimpi tadi ialah supaya ilmu yang dimiliki oleh bapa mertua puan yang telah meninggal dunia itu ``diambil'' oleh suami puan. Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang melibatkan jin-jin yang terangkum dalamnya. Apabila ilmu milik pewaris teratas seperti yang dijelaskan ini diwarisi oleh salah seorang daripada waris yang ter-bawah, maka ilmu tersebut dinamakan ``saka''. Satu istilah yang begitu popular di kalangan orang Melayu sejak dahulu kala lagi, bermula dengan daripada zaman animisme, Hindu, Buddha dan setelah Islam mempengaruhi pemikiran orang Melayu hingga sekarang ini.
Apabila seseorang itu menerima ilmu seperti ini, ataupun mengambil alih ilmu yang dimiliki tadi, orang yang berkenaan akan mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh waris yang memiliki ilmu berkenaan, biarpun tanpa belajar ilmu-ilmu tersebut. Boleh merawat sakit, terutamanya sakit-sakit akibat gangguan iblis dan syaitan, akibat sihir, boleh menilik benda-benda ghaib dan sebagainya. Sebahagian besar daripada aktiviti yang dilakukan itu dibuat ketika dalam keadaan menurun.
Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu diresapi oleh jin-jin dalam tubuhnya, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri ataupun separuh tidak sedarkan diri. Ketika itulah ia akan melakukan rawatan dan sebagainya. Pada hakikatnya, yang membolehkan seseorang itu berbuat demikian adalah kerana adanya penglibatan jin-jin dalam tubuh. Tubuh manusia hanya menjadi alat ataupun sarung jin yang meresap dalam tubuh. Ketika dalam keadaan sedar, tidak diresapi oleh jin-jin, manusia berkenaan tidak boleh melakukan rawatan.
Walaupun demikian, oleh kerana makhluk yang masuk meresap dalam tubuh tadi ditukar kepada nama yang menarik, yang indah-indah, manusia sering menganggapnya bahawa amalan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Nama-nama yang sering disebut ketika seseorang itu dalam keadaan menurun ialah dinamakan sebagai wali-wali, tok syeikh, Puteri Gunung Ledang, Puteri Mayang mengurai. Roh Syeikh Abdul Kadir Jailani, roh wali Songo dan sebagainya. Dalam kes yang melibatkan bapa mertua puan yang telah meninggal, makhluk yang meresap dalam tubuh tadi mungkin dirujuk sebagai roh mertua puan.
Kecelaruan menjadi lebih sukar dibendung untuk difahami kebenarannya apabila unsur-unsur agama disatukan dalam amalan ini. Orang yang tidak cukup sembahyang menjadi cukup sembahyang, selalu membaca al-Quran dan sebagainya, serta memperingatkan orang lain jangan lupa sembahyang apabila tiba waktunya.
Sikap ini atau perubahan seperti ini memang baik, dan menarik. Walaupun demikian perlu diinsafi bahawa setiap orang itu wajib mendirikan sembahyang apabila dia seorang Islam, baligh, berakal suci daripada haid dan nifas, tidak buta ataupun tuli sejak kecil juga sampai seru kepadanya.
Sembahyang lima waktu itu wajib dan mesti dilakukan sepenuhnya, bukan hanya setelah seseorang itu ``mengambil alih'' mewarisi ilmu seperti yang puan jelaskan.
Iblis dan syaitan sentiasa menunggu-nunggu untuk mengganggu manusia. Ruang yang sering terbuka baginya ialah apabila seseorang itu dalam keadaan susah hati bersangatan dan dalam keadaan marah. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa marah itu daripada syaitan. Dalam kes yang puan utarakan, suami puan hilang sifat marahnya apabila menerima ilmu saka yang berkenaan. Ketahuilah bahawa selain menyebabkan seseorang itu marah iblis dan syaitan juga berupaya meredakan ataupun menghilangkan sifat marah atau panas baran seseorang itu dengan izin Allah, semata-mata untuk memperlihatkan kebaikan ataupun manfaat daripada memiliki ilmu ``saka'' yang melibatkan jin-jin tadi.
Umar Sulaiman Al-Asyqar dalam bukunya bertajuk Alamu `l-Jinn wa sy-Syayatin menyatakan bahawa Allah tidak memberi kekuatan kepada syaitan untuk menguasai atau memaksa manusia sesat atau kafir (al-Isra': 65, Saba': 21). Makhluk ini hanya berupaya menguasai mereka yang rela dan taat kepadanya, yang juga terdiri daripada golongan yang sesat (al-Hijr: 42). Mereka inilah yang menjadikan syaitan itu wali, bukan Allah subha nahu wataala mereka termasuk dalam golongan orang yang rugi (an-Nisa': 19).
Sesungguhnya permusuhan di antara iblis dan syaitan dengan manusia itu tidak akan reda buat selama-lamanya. Mereka menganggap Adam adalah punca kemurkaan Allah ke atasnya. Kerana itu makhluk ini akan terus-menerus memusuhi keturunan Adam (al-Isra': 62).
Berbanding dengan jin-jin, manusia lebih bertamadun kerana manusia adalah khalifah yang menguasai bumi. Iblis dan syaitan itu terkutuk, dilaknat dan kufur bakal penghuni neraka (an-Nisa; 52 & al-Hijr: 34). Tidak sesuai makhluk seperti ini membantu manusia yang dijadikan khalifah kecuali di kalangan manusia yang sesat.
Makhluk jin diberi Allah umur lebih panjang. Makhluk yang panjang umurnya lebih banyak menghadapi masalah, terutamanya masalah kesihatan. Kerana itu kalaulah jin-jin itu hendak beribadah kepada Allah seperti yang diperintahkan, makhluk ini perlu memberi keutamaan kepada makhluk jenisnya, bukan manusia. Pertolongan yang dilakukan terhadap manusia mempunyai muslihat tersendiri iaitu untuk menyesatkan, biarpun tidak dapat dinafikan bukan mustahil jin-jin itu akan hanya menambah lagi dosa dan kesesatan (an-Jinn: 6). Allah subha nahu wataala memberi amaran agar menjauhkan diri daripada jin-jin (Fatir: 6). Iblis dan syaitan akan berdampingan dengan mereka yang pendusta lagi banyak dosa (asy-Syu'ara: 221-222), iaitu seburuk-buruk teman (an-Nisa: 38). Sesungguhnya mereka akan memperoleh kehidupan yang sempit (Taha: 124).
Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin : Utusan Malaysia : 6.1.2002
(Disunting : As-Syifa' Melaka : 013-2006363)
No comments:
Post a Comment